
Memilih nama anak bukan perkara kecil kerana nama akan dipanggil sepanjang hayat dan membawa makna tersendiri.
Sebab itu dalam Islam, ibu bapa sangat digalakkan memilih nama yang baik, indah sebutannya serta mempunyai maksud yang elok.
Bagi setiap pasangan yang dikurniakan cahaya mata, pastinya nama anak menjadi antara perkara penting yang difikirkan.
BACA JUGA: Uyaina Arshad, Raja Syahiran Pilih Nama Berinspirasikan Cucu Rasulullah Untuk Anak Ketiga
Ada yang memilih nama sempena tokoh Islam, nama para nabi, nama sahabat, malah ada juga yang tertarik untuk menamakan anak dengan nama malaikat seperti Jibril, Mikail atau Israfil kerana menyangka nama tersebut membawa maksud yang baik.
Namun timbul persoalan, apakah hukumnya menamakan anak dengan nama malaikat?
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui potalnya, Imam al-Nawawi menyebut bahawa mazhab Syafi’e dan jumhur ulama mengharuskan pemberian nama anak dengan nama para anbiya’ dan malaikat.
Ini kerana tiada larangan yang sahih daripada Nabi SAW berkenaan perkara tersebut. Pandangan ini turut disokong oleh Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali.
Bagaimanapun, terdapat juga sebahagian ulama yang memakruhkan penggunaan nama malaikat tertentu. Antaranya Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril.
Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, namun pandangan tersebut bersandarkan hadis yang dikategorikan sebagai sangat lemah.
Dalam hal ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan cenderung berpandangan bahawa nama-nama khusus bagi malaikat seperti Jibril dan Mikail adalah makruh digunakan.
Ini kerana nama tersebut sangat sinonim dan khusus dengan malaikat. Tambahan pula, dalam kalangan para sahabat R.Anhum tiada yang menggunakan nama-nama tersebut.
Namun begitu, bagi nama seperti Malik, hukumnya adalah harus dan tidak makruh. Ini kerana nama tersebut turut digunakan oleh ramai ulama, termasuk Imam Malik bin Anas.
Begitu juga dengan nama Ridhwan yang biasa digunakan masyarakat, ia tidak termasuk dalam nama yang dimakruhkan.
Kesimpulannya, hukum menamakan anak dengan nama malaikat adalah harus secara umum. Namun, bagi nama-nama yang sangat khusus dan sinonim dengan malaikat seperti Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil, sebaiknya dielakkan kerana terdapat pandangan yang memakruhkannya.
Lebih selamat, ibu bapa boleh memilih nama yang jelas kebaikannya dan tidak menimbulkan khilaf. Antara nama yang sangat baik ialah Abdullah dan Abdurrahman, selain nama-nama para nabi seperti Muhammad, Ibrahim, Yusuf dan sebagainya.
Ingatlah, nama itu bukan sekadar sedap disebut atau mengikut trend semasa. Nama juga membawa doa dan harapan ibu bapa kepada anak. Maka pilihlah nama yang baik maknanya, elok sebutannya dan memberi identiti yang indah kepada si kecil sepanjang hidupnya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.