Membenci Diri Sendiri Seolah-Olah Menghina Ciptaan Allah Yang Indah

Share

Ada masanya apabila melihat diri di cermin, kita teringat kegagalan masa silam, kekurangan diri atau rupa paras yang dirasakan tidak menyenangkan. Dari situ timbul rasa rendah diri, tidak berguna dan akhirnya membenci diri sendiri.

Perasaan ini boleh hadir disebabkan pelbagai faktor. Mungkin kerana luka lama, kesilapan yang pernah dilakukan, jangkaan terlalu tinggi daripada orang sekeliling atau perbandingan berterusan dengan kehidupan orang lain. 

Namun perlu diingat, perasaan membenci diri sendiri bukanlah tanda seseorang itu lemah iman. 

BACA JUGA: Lemah Iman Punca Masalah Mental?

Sebaliknya, ia boleh menjadi tanda jiwa sedang berada dalam tekanan dan memerlukan sokongan serta bantuan.

Tanpa sedar, apabila kita terlalu keras menghina diri sendiri, kita sebenarnya sedang memperkecilkan ciptaan Allah SWT yang sangat indah. Sedangkan Allah telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Tin ayat 4:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Tiada satu pun ciptaan Allah dijadikan sia-sia. Setiap manusia diciptakan dengan nilai, tujuan dan hikmah tersendiri. 

Maka, apabila seseorang terlalu membenci dirinya, seolah-olah dia sedang meragui kebijaksanaan Allah yang telah menciptakannya dan menetapkan perjalanan hidupnya.

Bayangkan jika kita mengutuk sebuah lukisan. Sudah tentu kritikan itu akhirnya akan dikaitkan dengan pelukis yang menghasilkannya. 

Begitu juga apabila kita menghina diri sendiri secara berlebihan, seakan-akan kita sedang mempersoalkan aturan Allah terhadap diri kita.

Namun begitu, jangan pula menambah rasa bersalah sehingga menyebabkan tekanan jiwa. Jika perasaan membenci diri semakin kuat, itu bukan bermaksud Allah membenci kita. 

Jangan sesekali merasakan diri tidak layak menerima rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Pintu taubat, keampunan dan rahmat Allah jauh lebih luas daripada dosa serta kesalahan kita.

Belajarlah memandang diri dengan lebih belas kasihan. Maafkan kesilapan lalu, berhenti membandingkan hidup dengan orang lain dan latih hati untuk bersyukur walaupun bermula dengan perkara kecil. 

Setiap orang ada ujian, kelemahan dan perjalanan hidup masing-masing.

Jika rasa benci terhadap diri sendiri semakin melarat, mengganggu kehidupan harian atau membuatkan kita hilang semangat untuk meneruskan kehidupan, dapatkan bantuan daripada orang yang dipercayai atau rujuk pakar seperti kaunselor, psikologis atau doktor. 

Mencari bantuan bukan tanda lemah, tetapi tanda kita sedang berusaha untuk sembuh.

Kesimpulannya, belajarlah menyayangi diri sendiri kerana diri ini juga amanah daripada Allah SWT. 

Berhentilah menjadi hakim yang terlalu zalim terhadap diri sendiri. Kita mungkin pernah gagal, pernah tersilap dan pernah jatuh, tetapi itu tidak menjadikan kita tidak bernilai.

Allah mencintai hamba-Nya lebih daripada kita mampu mencintai diri sendiri. Jadi, berikan ruang kepada diri untuk sembuh, berubah dan kembali mendekat kepada-Nya.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah