“Mandi Junub Lepas Subuh Tak Batal Puasa. Tapi Ada Sebab Kalau Kena Bayar Kafarah…” – Ustaz Mustafar Mohd Suki

Share

Walaupun sedang dalam bulan Ramadan, tetapi tidak membataskan hubungan batin antara suami dan isteri.

Namun ada waktu tertentu yang dibolehkan, misalnya selepas solat Isyak dan terawih hingga waktu sahur.

Walau bagaimanapun yang banyak mendatangkan kemusykilan, bagaimana hukumnya jika mandi junub selepas subuh. Adakah puasa akan terbatal dan perlu menggantikan dengan membayar kafarah.

Kemusykilan ini Sinar Islam ajukan kepada pendakwah, Ustaz Mustafar Mohd Suki.

Ini jawapan ringkas dan padat daripada agamawan ini:

“Hukum mandi junub disebabkan persetubuhan suami isteri selepas masuknya waktu fajar adalah dibenarkan. Ia tidak membatalkan puasa.

Berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim melalui riwayat Ummu Salamah RA bahawa: “Nabi Muhammad SAW pernah tersedar setelah terbitnya fajar, sedangkan baginda bersama dengan isterinya lalu baginda SAW mandi junub dan meneruskan puasa.”

Imam an-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu

bahawa melalui hadis itu, jumhur ulama berpendapat sah berpuasa dalam keadaan demikian. Akan tetapi, afdal melakukan mandi junub sebelum terbit fajar.

Pada masa sama, umat Islam dilarang mencari helah berbuka puasa untuk tujuan bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan kerana mencemarkan kesucian bulan berkenaan.

Jika perkara itu berlaku, maka para ulama Mazhab Syafie mewajibkan kafarah kepada suami isteri yang melakukan helah sedemikian.

Justeru, umat Islam wajib menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa, di samping memperbanyakkan ibadah dan amalan soleh,” katanya.

Sudah tahu jawapannya, jangan pula kita gunakan alasan ini untuk tidak berpuasa.

Jagalah ibadah puasa kita dengan sebaiknya. Bulan Ramadan ini hanya bertamu selama sebulan sahaja dalam setahun. Rugi andainya jika ia tidak dimanfaatkan dengan baik.

IKLAN