
Usia semakin meningkat dewasa, namun kegusaran dalam hati kadangkala masih sama seperti sejak kecil hingga ke hari ini. Persoalan seperti “Kenapa aku tak cukup bagus?” atau “Kenapa aku masih rasa bersalah walaupun perkara itu sudah lama berlalu?” terus bermain dalam fikiran, lalu membuatkan jiwa tidak tenang dan memikul beban yang tidak pernah benar-benar diselesaikan.
Hakikatnya, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak sedar bahawa mereka sedang membawa luka, kesilapan atau trauma masa lalu yang tidak diproses dengan baik ketika usia muda.
Akhirnya, ia menjadi duri dalam daging kepada diri sendiri, terus menghantui hingga ke alam dewasa.
Seseorang itu perlu memahami bahawa “pernah melakukan kesalahan” dan “diri saya adalah satu kesalahan” merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Islam tidak pernah mengajar kita untuk melabel diri sebagai hina hanya kerana sejarah silam. Sebaliknya, Allah SWT telah memuliakan manusia sejak awal penciptaannya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 70:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah memberi mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.”
Melalui ayat ini, jelas bahawa Allah SWT telah memuliakan hamba-hamba-Nya.
BACA JUGA: Healing Dengan Mendaki, Cara Tenangkan Hati Dan Dekatkan Diri Kepada Allah SWT
Walau apa pun yang pernah berlaku pada masa lalu, kita tetap bernilai di sisi Allah sebagai hamba-Nya.
Luka yang pernah dilalui bukan bukti kita lemah, tetapi antara pengalaman yang membentuk diri menjadi lebih matang dan tabah hingga ke hari ini.
Sepatutnya, kita bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini.
Bahkan, setiap ujian itu boleh menjadi sebab seseorang hamba menjadi lebih bertanggungjawab dalam mencari reda Allah di muka bumi ini.
Dalam pada masa yang sama, Islam juga mengajar kita agar tidak terus terperangkap dalam penyesalan yang berlebihan sehingga mempersoalkan takdir yang telah berlaku. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sekiranya sesuatu menimpa kamu, maka janganlah kamu ucap: ‘Kalau aku buat begini dan begitu.’ Tetapi ucaplah: ‘Allah telah menetapkan, dan apa yang Dia kehendaki, Dia lakukan.’ Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ membuka peluang kepada syaitan.”
Hadis ini menjadi panduan agar kita tidak terus tenggelam dalam ungkapan “kalau dulu aku tak buat begitu…” yang hanya menambah luka dalam jiwa.
Apabila terdetik kata-kata itu, istighfarlah dan gantikan dengan ucapan:
Qadarullah wa ma syaa’a fa‘ala — Ini takdir Allah, dan apa yang Dia kehendaki, Dia lakukan.
Mudah-mudahan ia menjadi penawar yang menenangkan hati.
Namun begitu, ini tidak bermaksud kita menafikan kesalahan silam.
Jika benar pernah melakukan dosa, maka jalan terbaik bukanlah terus membenci diri sendiri, tetapi kembali kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.
Taubat dalam Islam membuka ruang yang sangat luas untuk hamba memperbaiki dirinya. Allah tidak menutup pintu keampunan hanya kerana masa lalu kita gelap.
Taubat yang ikhlas menuntut kita menyesali dosa, berhenti daripada terus melakukannya dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Cuba renungkan, jika kita boleh memaafkan kesilapan orang lain terhadap diri kita, termasuk ibu bapa, adik-beradik atau rakan-rakan, mengapa begitu sukar untuk memaafkan diri sendiri?
Adakah diri kita langsung tidak layak diberi peluang kedua?
Sebab itulah Islam mengajar konsep ihsan, bukan hanya kepada orang di sekeliling, tetapi juga terhadap diri sendiri. Kita dituntut berbuat baik kepada diri, menjaga hati, dan sentiasa sedar bahawa Allah SWT melihat segala perjuangan kita, termasuk air mata yang tidak dilihat manusia.
Contohi kisah Nabi Adam AS dan Hawa. Setelah melakukan kesilapan, mereka tidak terus tenggelam dalam putus asa.
Mereka mengakui kesalahan dan segera memohon keampunan daripada Allah SWTdan memboca doa daripada Surah al-A’raf. Firman Allah dalam Surah al-A‘raf, ayat 23:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَاسِرِينَ
Maksudnya: “Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri. Dan jika Engkau tidak mengampunkan kami serta memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk dalam kalangan orang yang rugi.”
Daripada kisah ini, kita belajar bahawa kesalahan bukan penamat segalanya. Selagi masih ada penyesalan, taubat dan usaha untuk berubah, maka masih ada harapan di sisi Allah SWT.
Justeru, jika anda sedang berada dalam keadaan sering menyalahkan diri sendiri, ingatlah untuk melakukan muhasabah, iaitu menilai diri untuk diperbaiki, bukan mu‘aqabah, iaitu menghukum dan mendera diri tanpa belas kasihan.
Amalkan doa Nabi Adam AS itu sebagai doa harian agar Allah mengurniakan ketenangan dan keampunan.
Jika keadaan yang dialami sudah berada pada tahap yang lebih serius dan mengganggu kehidupan seharian, jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar.
Islam tidak melarang ikhtiar, bahkan menggalakkan kita mencari jalan rawatan dan pemulihan.
Kesimpulannya, masa lalu adalah sejarah yang mendewasakan kita, bukan penjara yang menghukum kita sepanjang hidup.
Jika benar ada dosa semalam, segeralah bertaubat. Jika ada luka lama, rawatlah dengan sabar dan kasih sayang terhadap diri sendiri. Jangan biarkan kesalahan semalam menentukan nilai diri kita hari ini.
Jika Allah SWT sudi mengampunkan, maka sudah tiba masanya untuk kita belajar memaafkan diri sendiri.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







