
Selalu sahaja orang berkata seorang ibu itu suka membebel. Sebenarnya ibu-ibu ini bukannya membebel tetapi memberi kata-kata nasihat. Nasihat dan doa seorang ibu itu menjadi pemangkin kejayaan si anak. Di kala sedang ‘down’ ibulah yang kita cari.
Setiap yang berlaku telah tersurat dan kita sebagai hambaNYA perlulah reda dengan apa jua yang telah DIA berikan.
Seperti Adi Putra, di saat dia merasakan kesal dengan kehidupannya sekarang sebagai seorang ‘public figure’ hanya kepada ibunya dia mengadu.
Me: ibu, kalau boleh dapat undurkan masa, adi tak nak jadi “Public Figure”, adi nak jadi org awam dan keje macam org awam.
Ibu: jgn cakap macam tu, kita hidup kedepan bukan kebelakang, tak baik cakap macam tu, kita kena trima hakikat apa yg dah tertulis utk kita.
Me: susah nak cakap ibu, buat salah tetap salah, ni buat baik pun tetap salah. Ni salah, tu salah, semua salah.
https://www.instagram.com/p/BlU-6CwAbSL/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=14h5r4gc1nnbi
JANGAN AMBIL PEDULI APA ORANG CAKAP
Ibu: knapa nak fikir apa org cakap, biar mereka nak kata apa, janji Allah tahu apa kebaikan yg kita buat, ada sebab dan hikmah knapa Adi jadi “public figure”, tentu ada asbabnya.
Me: entahlah ibu, harap, semua baik baik belaka.
Ibu: dengar sini, selagi ibu bernafas, Doa ibu tak pernah putus doa buat anak ibu dan istri. Kalau itu ketentuan Allah, teruskanlah perjuangan sebagai org dikenali dan manfaatkan sebaik mungkin. Dunia ini hanya sementara. Hidup ini juga utk memberi, membahagiakan dan menjayakan org dan Pasti Allah akan menjayakan dan bahagiakan kita krana itu Janjinya. Yg penting skali, pertama ingatlah Allah sentiasa. Dan ibu dan ayah. Doa mereka tidak sama seperti seorang ibu mendoakan kepada anaknya, walaupun yg tiada ibu, anggaplah seorang wanita yg sudah berumur seperti ibu mu, krana doanya juga sgt mustajab.
JANGAN LUPA SOLAT, JANGAN LUPA ALLAH
Me: baik ibu, adi akan sentiasa ingat sampai bila2 pesanan ibu. Dan adi akan trus berjuang utk duniawi dan ukhrawi. Restui dan doakan adi ibu. Ibu, jap, kadang2 bila ibu bercakap ni, boleh tahan juga, macam seniwati.
Ibu: kalau ibu tak jadi, anak ibu lah jadi. Dah Jgn lupa solat, jgn lupa Allah.
Me: baik Anje ibuku. ??
I luv u Ibu.
https://www.instagram.com/p/Boq-RwNAvSF/?utm_source=ig_web_copy_link
Syurga itu di bawah telapak kaki si ibu. Tiada seorang ibu yang mahu melihat anak kandungnya gagal dalam kehidupan. Di saat dilanda masalah, carilah ibumu kerana dialah penasihat yang terbaik!
Sumber kredit: @adipadiputra
Menantu Bukan Pilihan VS Mentua Perosak Rumah Tangga

Benar sekali kata pepatah yang hidup kita ini memang penuh cabaran dan tidak bermakna hidup, andai tidak disertakan dengan dugaan.
Jika tidakpun dari orang luar, keluarga sendiri yang menjadi punca. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Kisah pergolakan antara menantu dan mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
VIDEO KASHOORGA:
Tak Perlu Khidmat Doula, Suamilah Yang Sebenar-benarnya Doula

Kelahiran di rumah, bertemankan doula (peneman bersalin) dan menolak nasihat doktor untuk bersalin di hospital menjadi trend mutakhir ini. Apa yang amat dikesali kerana keputusan itu dibuat berdasarkan pemahaman salah mengenai apa itu kaedah Islamik dan apa yang tidak.
Ajal memang ditentukan qada dan qadar. Namun harus kita ingat bahawa Islam menekankan kepentingan ikhtiar dan pengetahuan jelas yang dapat membantu kita membuat keputusan bersandarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir laman Facebooknya tentang isu doula.
Doula atau suami. Yang mana lebih baik?
Sebutlah apa pun tugas seorang Doula, itu sebenarnya juga tugas seorang suami dan lebih lagi. Sebagai peneman semasa proses kelahiran? Suami lebih baik. Sebab suami sendiri ada semasa proses paling awal semuanya ini terjadi.
Sebagai pemberi semangat kepada Isteri sebelum, semasa dan selepas kelahiran? Suami lebih baik. Suami lebih mengenali isteri berbanding Doula. Menghabiskan masa setiap hari dengan isteri. Memahami kehendak isteri dari hujung rambut hingga hujung kaki.
SUAMI LEBIH BAIK
Sebagai pemudah urusan isteri selepas bersalin seperti menjaga isteri, menyediakan makanan, menguruskan anak-anak dan termasuklah menyediakan persekitaran yang baik untuk Isteri? Suami lebih baik kerana suami lebih tahu tahap keselesaan yang diperlukan isteri. Anak – anak juga lebih kenal ayahnya dan privasi rumah terus terjaga. Ini lebih baik dari ada orang luar yang berkeliaran di rumah sendiri.
KAWAN YANG DISEWA
Kenapa Doula dikatakan diperlukan? Doula ini sendiri bermula di luar negara di mana ramai wanita yang bersalin tidak ditemani sesiapa disebabkan hubungan yang tiada batasan. Akhirnya, seorang wanita terpaksa menanggung kesemuanya seorang diri.
Dari sini datangnya peranan “peneman” atau dengan nama komersialnya Doula. Jangan terkejut, orang yang sunyi dan orang yang memerlukan sokongan, sanggup membayar orang lain untuk menjadi peneman di saat yang memerlukan ini. Dengan erti kata lain kawan yang disewa.
Berbeza sedikit di Malaysia di mana hubungan antara lelaki dan wanita tidak seteruk dan sebebas di negara luar. Kebanyakan wanita yang melahirkan anak, boleh dikatakan mempunyai seorang suami di sisi.
Jadi, adakah seorang wanita di Malaysia masih memerlukan Doula? Ya dan tidak?
Jawapannya YA, apabila keadaan amat memerlukan. Buat wanita yang kehilangan suami, sama ada kerana penceraian, kematian atau pun disebabkan masalah perhubungan bebas. Di tahap ini, jika seorang wanita itu tiada sahabat handai, saudara mara atau pun malu dengan keadaan yang sedang dialaminya, memang dia memerlukan segala sokongan dan dorongan dari segi emosi yang Doula berikan.
Jawapannya TIDAK pula ialah apabila wanita yang bakal melahirkan itu mempunyai suami. Memang tanggungjawab suami menyediakan segalanya dari A sampai Z, menjaga emosi isteri, menjadi peneman isteri, pemberi semangat semasa isteri berjuang, memberi kasih sayang, mengingatkan yang semua yang dilalui ini berbaloi dan bersedia apabila diperlukan pada sebelum, semasa dan selepas proses kelahiran.
Jika suami tidak boleh menjadi seperti yang di atas kerana kekangan tempat kerja yang jauh dan sebagainya, carilah orang yang boleh mengganti semua tugas itu. Mula dengan adik beradik, saudara mara dahulu. Jika tiada, Doula boleh memainkan peranan yang tidak lebih dari yang dinyatakan di atas.
Namun, jika si suami tidak boleh menjalankan tugasan wajib seorang suami seperti yang saya nyatakan kerana malas, tiada inisiatif dan tidak rasa itu semua penting, anda sepatutnya boleh berhenti menjadi suami. Kita namakan sahaja anda sebagai penderma sperma. Derma dan tinggal. Jika anda di tahap ini, andalah antara punca kenapa Doula ini wujud.
Jadi, tepuk dada tanya diri. Anda rasa Doula atau suami yang lebih baik untuk sentiasa berada di sisi?
DOULA HANYALAH PENEMAN
Sekali lagi saya tekankan, Doula hanya berfungsi sebagai peneman, pemberi galakkan, menyokong emosi dan fizikal. Tidak lebih dari itu dan Doula ini sebenarnya tidak perlu wujud jika semua suami menjaga isterinya dengan baik.
Suamilah Doula yang sebenar-benarnya. Kalau selama ini suami anda telah temankan anda semasa bersalin dan sepanjang masa dari awal kelahiran hingga selepas kelahiran, bolehlah minta suami print sendiri sijil Doula. Kerana Doula di Malaysia sendiri tidak diiktiraf KKM pun.
Saya amat terkesan dengan kenyataan Professor Imelda Balchin.
“Doula tidak ada apa-apa training perubatan untuk mengenali apakah kecemasan.”
Baca dan fikirkan kenyataan itu. Jika anda tidak rasa bimbang langsung, terpulanglah untuk meletakkan nyawa anda di tangan Doula. Saya secara peribadi, sama sekali tidak akan benarkan.
Sumber kredit: Akhtar Syamir dan Berita Harian Online
Punya Tiga Anak Autisme, Pasangan Suami Isteri Ini Pernah Dikeji, Dicaci Dan Disindir

Kuat sungguh ujian yang menimpa keluarga ini. Bayangkan tiga orang cahaya mata ke semuanya menghidap autisme tahap teruk. Tidak tergambar kepayahan pasangan suami isteri ini memelihara anak-anak syurga yang tentunya memerlukan penjagaan yang rapi. Allahuakbar. Moga kedua pasangan suami isteri ini dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus memelihara anak-anak syurga ini.
DIKEJI, DICACI DAN DISINDIR
Dikeji, dicaci dan disindir dengan pelbagai perkataan cukup menghiris hati amat berbekas kepada pasangan suami isteri ini hanya kerana dikurniakan semua tiga cahaya mata menghidap autisme tahap teruk.
Siti Aishah Abdul Rahim, 46 dan suaminya, Sulong Ibrahim, 53, bagaimanapun tabah melalui perjalanan sukar, penuh cabaran dan bertekad berkorban membesarkan tiga anak lelaki autisme yang kini sudah menginjak dewasa.
Muhammad Asraf, 24, Muhammad Faiz, 20 dan Muhammad Firdaus Hafizi, 12, dijaga umpama bayi kecil walaupun sudah remaja dengan fizikal dan bentuk tubuh lelaki bujang serta bersekolah di Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK), Batu Arang, Selangor.
Makan, mandi, keperluan penjagaan diri lain semuanya perlu diurus dan dipantau Siti Aishah dan suami kerana mereka tiada keupayaan dan kebolehan bercakap walaupun sepatah ayat seperti anak lain.
Lebih menyedihkan, ketiga-tiga anaknya itu semakin agresif dan mudah melenting sejak usia menginjak dewasa terutama anak kedua yang juga penghidap Sindrom Fragile X, iaitu sejenis penyakit gangguan kognitif.
HAMPIR DI BALING SETERIKA
“Sejak dilahirkan mereka memerlukan perhatian dan kini kami perlu melalui pelbagai cabaran berbeza dan hebat sejajar dengan usia mereka yang sudah menginjak dewasa.
“Mereka sudah pandai mengamuk sehingga anak kedua, Muhammad Faiz pernah cuba membaling saya dengan seterika.
“Begitu juga dengan anak lain, mudah mengamuk, menjerit-jerit dan melempar objek yang ada di depan mata. Kunci atau objek kecil lain dibaling begitu saja jika mengamuk,” katanya mereka mula agresif sejak masuk usia remaja.
Saat paling sukar perlu menjaga mereka yang meningkat usia apabila perlu dikhatankan.
Siti Aishah turut berhadapan bebanan emosi untuk menerangkan kepada anak proses berkhatan adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan.
“Semua anak dikhatankan ketika berusia tujuh tahun. Muhammad Firdaus Hafizi, contohnya sehingga sekarang seakan berdendam kerana menyangka saya menyebabkan kesakitannya ketika dikhatankan. Bayangkan pada hari pertama berkhatan, dia melompat seperti biasa kerana tidak faham keadaan diri,” katanya.
ANGGAP TAKDIR DAN DUGAAN
Lebih mencabar apabila beliau dan suami pernah disindir memiliki semua anak autisme disebabkan kifarah Allah.
“Saya menganggap ini takdir dan dugaan. Saya berharap masyarakat tidak memandang serong kepada kami,” katanya.
Segala kesukaran, cabaran dan pengorbanan membesarkan anak dilalui dengan ketabahan meskipun berendam dengan air mata hampir setiap hari kerana tidak boleh berdikari sama seperti anak normal lain.
“Jika sudah sampai ajal, saya mahu mati bersama anak-anak atau lebih awal dari saya kerana bimbang tiada siapa mampu menggalas tanggungjawab besar ini.
“Mereka tidak boleh berdikari. Mandi, cuci najis, kencing, makan dan segala-galanya saya yang lakukan bersama suami, ” katanya.
BEKAS PESAKIT KANSER PAYUDARA
Lantas Siti Aishah yang juga bekas pesakit kanser payudara dan suaminya, amat berharap kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan pusat jagaan khusus untuk anak austisme peringkat teruk.
Semakin meningkat remaja, ketiga-tiganya melalui fasa baharu dalam kehidupan mereka termasuk naluri untuk berkahwin walaupun tidak tahu makna sebenar erti perkahwinan.
“Mereka tidak minta mahu berkahwin tetapi apabila lihat adegan pernikahan di televisyen, mereka mahu melakukan perkara sama.
“Perkahwinan anak tiada dalam kamus hidup saya cuma sebagai manusia biasa, mereka ada naluri dan perasaan untuk disayangi dan dihormati masyarakat,” katanya.
Mereka sudah melalui proses biologi sebagai manusia biasa dan kematangan reproduktif sebagai anak bujang semakin hari semakin terserlah.
“Seperti remaja normal lain, anak ada naluri dan ‘keinginan’ sebaik saja akil baligh. Bezanya mereka tidak tahu segan dan lakukan apa saja tanpa tahu ia betul atau salah.
“Walaupun tidak faham perbuatan seperti onani itu salah, saya terangkan juga. Saya akan sentiasa bercakap dengan mereka seolah-olah mereka faham dan melarang perbuatan salah,” katanya.
TIDAK PERNAH KESAL
Beliau berkata, setiap hari ada perkara dan cabaran baharu yang perlu ditempuhi.
Siti Aishah mengalami kesukaran membawa anak keluar sama ada untuk temu janji ke hospital, aktiviti sosial lain dan apatah lagi bercuti atau berjalan ke pusat beli-belah.
“Saya pernah cuba tetapi gagal mengawal mereka yang diumpamakan seperti bom jangka kerana mengamuk tidak kira masa, tidak boleh melihat orang memandang atau ketawakan mereka.
“Ada juga yang takut nak bersalam kerana takut berjangkit pada anak mereka,” katanya.
Bukan saja berkorban masa dan tenaga membesarkan anugerah Ilahi ini, Siti Aishah dan suami juga lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di luar kerana bimbang anaknya mengasari dan melakukan perkara tidak disukai masyarakat.
“Saya dan suami sentiasa berdoa diberi kesihatan yang baik. Saya tidak kisah masa muda dan tua kami hanya untuk mereka, selain mahu orang sekeliling tidak memandang serong pada kami lagi,” katanya.
Beliau berkata, cukuplah pandangan serong orang terhadap keluarganya.
“Kami tidak kesal dikurniakan tiga anak istimewa dan mahu terus diberi kekuatan sampai ke hujung nyawa menunaikan tanggungjawab menjaga mereka,” katanya.
Sumber kredit: Berita Harian Online
VIDEO: