Ada hati yang mudah tersentuh dengan ayat-ayat al Quran hingga mudah mengalirkan air mata ketika solat. Ada juga yang menangis kerana rasa takut pada azab Allah, ada pula kerana rasa syukur yang menenangkan jiwa.
Persoalannya, apakah hukum menangis ketika solat, kerana tak dinafikan ia boleh menjejaskan bacaan. Dalam hal ini adakah ia membatalkan solat atau sebaliknya?
Hukum Menangis Dalam Solat
Persoalan ini dirungkai oleh Ustazah Asma’ Harun dalam satu perkongsian di akaun media sosialnya.
Ujarnya menangis bukanlah sesuatu yang asing dalam ibadah. Malah, al-Quran merakamkan sifat orang beriman yang apabila dibacakan ayat Allah kepada mereka, hati mereka luluh lalu mereka sujud serta menangis.
Firman Allah SWT:
خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
Maksudnya: “Mereka segera sujud serta menangis.” (Surah Maryam: 58)
Ads
Menangis dalam solat TIDAK membatalkan solat seseorang, tak dinafikan bahawa ada yang terkesan dengan makna bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca, seperti mendengar ayat-ayat tentang kiamat, azab dan seumpamanya.
Batal Jika Keluar Sebutan Dua Huruf
Namun, perlu dijelaskan bahawa di dalam Mazhab Syafie, sekiranya perbuatan menangis di dalam solat itu jelas mengeluarkan sebutan dua huruf (walaupun hurufnya tidak difahami) sama ada memiliki makna atau tidak atau satu huruf tetapi memiliki makna, maka solatnya BATAL.
Adapun jika tidak jelas sebutan dua huruf seseorang yang menangis tersebut maka solatnya TIDAK BATAL.
Selain dari itu, jika tangisan seseorang itu menyebabkan bacaan-bacaan dalam rukun qauli (contoh : Surah Al-Fatihah, Takbiratul ihram dll) rosak dan tidak diulang bacaan yang betul, maka solat seseorang itu BATAL akibat dari tangisannya ketika solat.
Imam al-Nawawi dalam kitabnya Khulasah al-Ahkam telah menulis bahawa tidak batal solat dengan menangis sekiranya ia terkeluar dari mulut dan tidak jelas bunyi dua huruf yang terkeluar daripadanya.
Ads
Ia berdasarkan firman Allah SWT:
خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
Maksudnya: mereka segera sujud serta menangis (Surah Maryam:58)
Diriwayatkan daripada Aisyah R.A, beliau berkata :
Ads
أَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ قَالَ فِي مَرضه: ” مروا أَبَا بكر يُصَلِّي بِالنَّاسِ ” قلت: إِن أَبَا بكر إِذا قَامَ مقامك لم يسمع النَّاس من الْبكاء، فَمر عمر يُصَلِّي بِالنَّاسِ، فَقَالَ: ” مروا أَبَا بكر فَليصل بِالنَّاسِ
Maksudnya: Rasulullah SAW berkata saat sakit menjelang kewafatannya : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat. Aisyah berkata: Jika Abu Bakar menggantimu, maka suaranya tidak didengari oleh orang ramai disebabkan oleh tangisannya. Sebaiknya suruhlah Umar untuk memimpin Solat. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat. (HR Bukhari, hadis sahih)
Dalam pada itu para fuqaha’ (ahli fiqh) telah menetapkan bahawa jika ada dua huruf berturut-turut keluar semasa menangis semasa solat, solat itu menjadi batal.
Namun, jika dia tidak dapat mengawal emosinya, itu tidak akan memudaratkannya selama ia tidak keluar dari solat. Contohnya, jika tangis itu disebabkan oleh musibah atau seumpamanya.
Apabila dipuji, timbul juga sedikit rasa bangga secara tidak sengaja. Adakah ada doa khusus yang diajarkan Nabi SAW yang perlu dibaca ketika kita dipuji.
Pertamanya, perlu diingatkan bahawa memuji-muji seseorang secara berlebihan di hadapannya dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.anh bahawa seorang lelaki telah memuji seorang lelaki yang lain di sisi Nabi S.A.W. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Celaka kamu. Kamu telah memotong leher sahabatmu, kamu telah memtong leher sahabat kamu. Sekiranya salah seorang daripada kamu semua ingin memuji sahabatnya sekalipun, hendaklah dia mengucapkan “aku menyangka fulan sedemikian dan Allah S.W.T lah sebenar yang menghitungnya, dan aku sama sekali tidak memuji seseorangpun mengatasi Allah S.W.T”. Sahih Muslim (3000)
YANG DIPUJI JANGAN RIAK, UJUB DAN TAKABBUR
Puji-pujian sesama manusia secara sederhana tidaklah dilarang, bahkan ia merupakan salah satu bentuk muamalah yang baik sesama manusia. Namun orang yang dipuji hendaklah berhati-hati dan memelihara hatinya daripada merasa riya’, ujub dan takabbur apabila mendengar pujian yang dilontarkan kepada dirinya.
Terdapat satu doa yang baik yang diamalkan oleh seorang sahabat Baginda SAW, di mana diriwayatkan bahawa Adi bin Arthah –rahimahullah – (seorang ulama tabi’in) meriwayatkan:
كَانَ الرَّجُلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذَا زُكِّيَ قَالَ: اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dahulu ada seorang sahabat Nabi SAW, yang apabila dia dipuji mengucapkan: “Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui”. Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (761)
Terdapat juga riwayat daripada sebahagian ulama salaf yang berpesan dengan doa:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”
Dalam riwayat yang lain, terdapat tambahan lafaz:
وَاجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan. Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4524 dan 4534)
Maksudnya: Jangan kalian memuji-muji diri kalian sendiri, Kerana Dia-lah yang paling tahu siapa yang bertaqwa. Surah al-Najm (32)
Sufyan bin Uyainah pernah berkata,
قالت العلماء المدح لا يغر من عرف نفسه
Maksudnya: Para ulama mengatakan: pujian tidak akan menipu orang yang mengenali dirinya sendiri (dia tahu bahawa ia tidak sebaik itu dan sedar akan banyaknya dosa yang dilakukan). (Rujuk Hilyatul Auliya’ 7/302)
Adakah membiarkan pakaian bersidai pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan? Kerana kami (suami dan saya) dua-dua kerja, kadang bila sampai rumah dah senja jadi harap ada pencerahan daripada pihak Mufti. Terima kasih.
Kalau dah petang, pakaian masih belum diangkat di ampaian orang tua cukup marah. Kata mereka nanti diludah syaitan. Kita pun sampai sekarang masih mengikut kata-kata ini.
Tapi betul ke ada hadis yang mengatakan perkara ini. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini memberikan penjelasan tentang kepercayaan ini.
Masyarakat Islam Nusantara terkenal dengan pantang larang orang tua-tua. Hal ini bertujuan mendidik generasi muda agar dapat mempraktik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Meskipun kadang-kadang akibat daripada melanggar pantang larang itu tidak tercapai dek akal dan tidak berpijak pada bumi nyata, namun ia mempunyai nilai-nilai murni yang mampu mendidik generasi muda secara langsung mahupun tidak langsung. Unsur nilai yang diperolehi daripada pantang larang tersebut adalah pelbagai seperti sikap hormat, bersopan santun, sentiasa berwaspada, berbudi pekerti dan seumpamanya.[2]
Berkenaan dengan isu membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan, setelah diteliti tidak dijumpai nas syarak yang menyebutkan sedemikian.
Perkara ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu. Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan satu hadis iaitu Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah SWT kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”[3] Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Dalam memahami hadis ini, Imam Ibn ʻAbd al-Barr menyebut bahawa hadis ini menunjukkan perintah supaya menutup pintu-pintu pada malam hari terutama apabila tibanya senja itu adalah sunnah. Ia juga sebagai perlindungan kepada manusia daripada terkena kecelakaan atau keburukan syaitan dalam kalangan manusia dan jin.[4]
Selain itu, larangan berada di kawasan luar rumah ketika waktu senja kerana ketika itu syaitan aktif berkeliaran maka ditakuti kanak-kanak juga akan terkena gangguan daripada syaitan.[5] Bahkan pada waktu tersebut merupakan waktu kesukaan syaitan untuk menikmati kotoran dan kotoran itu kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak.[6]
Tidak dijumpai mana-mana nas syarak yang menyebutkan membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan.
Meskipun begitu, hal ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu yang bertujuan untuk mendidik generasi muda agar tidak keluar rumah di waktu senja.
Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang melarang keluar rumah ketika senja dan menyuruh supaya kesemua pintu rumah ditutup.
Kebelakangan ini sudah menjadi trend untuk kaum wanita termasuk Muslimah bercuti secara sendirian atau solo. Bukan saja dalam negeri tapi terbang sendirian ke luar negara. Malah mereka ini turut berkongsi di dalam media sosial percutian ini.
Namun begitu menjadi persoalan bolehkah seorang muslimah keluar melancong bersendirian. Bukankah perlu ditemani mahramnya?
Penjelasan dimulakan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.
Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)
Atau dalam riwayat yang lain:
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
Riwayat al-Bukhari (1763)
Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya[1]. Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.
Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.
Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram. Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/37-38].
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini.
Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.
Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
Pertama: Haram
Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.
Kedua: Harus
Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]
Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:
Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
-Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
-Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka:
يجوز للمرأة أن تسافر بدون مَحرَم بشرط اطمئنانها على الأمان في دينها ونفسها في سفرها وإقامتها وعودتها، وعدم تعرضها لمضايقاتٍ في شخصها أو دِينها.
Maksudnya: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.
Maksudnya: ‘Adiyy berkata: ” aku melihat seorang wanita mengendarai kenderaan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan tawaf di Ka’bah tanpa takut kecuali kepada Allah S.W.T.
Riwayat al-Bukhari (3595)
Maka, daripada hadith ini, ulama’ mengambilnya sebagai salah satu dalil yang mengharuskan permusafiran seorang wanita sekiranya aman. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menambah lagi:
ومما سبق يتبين لنا أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلًا. والله سبحانه وتعالى أعلم
Maksudnya: Dan berdasarkan keterangan ini, dapatlah difahami bahawa keamanan merupakan ‘illah di sisi fuqaha’ dalam mengharuskan dan juga menghalang permusafiran. Disebabkan itu, kami datangkan ke atasnya satu fatwa bahawa permusafiran wanita secara bersendirian menggunakan apa-apa cara musafir yang aman, laluan yang menjadi tumpuan orang ramai, kawasan yang tidak sunyi, sama ada di pelabuhan, lapangan terbang dan jalan perhubungan awam yang lain, maka ia dibenarkan secara syarak dan tiada kesusahan ke atasnya padanya (untuk bermusafir) sama ada permusafiran yang wajib, sunat atau harus, dan sesungguhnya hadith-hadith yang melarang wanita dari musafir tanpa mahram adalah kerana digantungkan pada keadaan ketiadaan aman, maka sekiranya wujud keamanan tidak terangkum pengharaman ke atas permusafiran secara asalnya.
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:
1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.
2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.
Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.