
Ramai anak muda hari ini berdepan dilema emosi yang berat. Di satu sisi, rasa kasih dan sayang terhadap ibu masih menebal dalam hati. Namun pada masa sama, setiap kali berkomunikasi, ada luka yang kembali terbuka sehingga timbul keinginan untuk menjauhkan diri.
Situasi ini biasanya berlaku apabila interaksi antara anak dan ibu sering dipenuhi dengan kritikan melampau, manipulasi emosi (guilt trip) atau konflik lama yang tidak pernah selesai. Akhirnya, kesihatan mental anak-anak mula terganggu dan jiwa mereka semakin rapuh.
Bagi anak-anak, lebih-lebih lagi yang belum berkahwin, mereka sangat memahami kedudukan seorang ibu dalam Islam bahawa syurga itu letaknya di bawah tapak kaki seorang ibu. Mereka tahu bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah tuntutan agama yang besar.
Namun dalam masa yang sama, mereka juga manusia biasa yang boleh terluka, letih dan terkesan dengan kata-kata atau layanan yang menyakitkan.
Secara umumnya, ramai yang memahami konsep anak soleh atau solehah sebagai anak yang perlu menurut semua kehendak ibu bapa, walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri. Termasuklah mengabaikan kesihatan mental dan emosi serta menerima segala layanan buruk secara pasif tanpa boleh bersuara.
Namun persoalannya, mengapa keadaan ini masih terus berlaku sedangkan isu kesihatan mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan? Antara ketakutan terbesar seorang anak ialah apabila dilabel sebagai “anak derhaka” hanya kerana cuba meluahkan rasa sedih, menetapkan sempadan atau memerlukan ruang untuk menenangkan diri.
Sesungguhnya Islam adalah agama yang adil. Ibu bapa mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra, ayat 23:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Ayat ini jelas menunjukkan betapa tinggi kedudukan ibu bapa dan besarnya tuntutan untuk menjaga adab terhadap mereka.
Namun begitu, Islam juga melarang sebarang bentuk kezaliman, termasuk kezaliman terhadap emosi dan mental seseorang. Tubuh badan, akal dan jiwa seorang anak juga merupakan amanah Allah SWT yang wajib dijaga.
Mentaati ibu ada sempadannya. Ketaatan tidak bermakna seorang anak perlu membiarkan dirinya terus dihancurkan akibat tekanan emosi atau penderaan mental. Menjaga jarak untuk merawat jiwa tidak sama dengan memutuskan hubungan.
Apabila seorang anak merasakan kesihatan mentalnya semakin terjejas, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan tanpa menderhakai ibu dan tanpa mengabaikan adab sebagai seorang anak.
BACA JUGA: Jauhkan Diri Daripada Ibu Bapa, Adakah Ia Dianggap Memutuskan Silaturahim?
Jika sebelum ini anda sentiasa menegur ibu selepas pulang dari kerja atau berkongsi cerita tentang apa yang berlaku di tempat kerja, namun perbualan itu sering berakhir dengan kata-kata yang menyakitkan, mungkin sudah tiba masanya untuk menetapkan sempadan.
Mengurangkan interaksi bukan bermaksud membenci atau membuang ibu daripada hidup. Ia sekadar langkah untuk mengelakkan pertengkaran berulang dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk bertenang. Dalam keadaan tertentu, diam dengan adab adalah lebih baik daripada terus bercakap hingga akhirnya terluka atau terlanjur kata.
Bagi anak yang tinggal sebumbung dengan ibu dan sering berdepan tekanan emosi, tinggal berasingan boleh menjadi salah satu solusi yang lebih baik. Duduk berasingan tidak bermakna tidak bertanya khabar langsung.
Anak masih boleh menziarahi ibu pada hujung minggu, bertanya khabar melalui panggilan telefon atau menghantar mesej melalui WhatsApp.
Malah, jarak fizikal kadangkala membantu memulihkan rasa hormat, mengurangkan konflik dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk lebih tenang.
Menjauhkan diri untuk merawat jiwa tidak sama dengan memutuskan silaturahim. Jarak itu dibuat bukan kerana benci, tetapi untuk menyelamatkan hubungan agar tidak semakin rosak.
Walau seburuk mana sekalipun kata-kata atau layanan yang diterima daripada seorang ibu, anak tetap perlu menjaga batas.
Jangan sesekali mengherdik, memaki, mencaci atau menghina ibu sendiri. Inilah garis sempadan yang tidak boleh dilanggar.
Dalam usaha menjaga kesihatan mental, seseorang anak tetap perlu memelihara adab. Jika tidak mampu menjawab dengan baik, diamlah.
Jika tidak mampu terus berada dalam perbualan yang menyakitkan, berundurlah dengan cara yang sopan. Jangan membalas luka dengan luka yang lebih dalam.
Walaupun tinggal berjauhan atau mengurangkan komunikasi, anak tetap tidak boleh mengabaikan kebajikan ibu, lebih-lebih lagi jika ibu tinggal bersendirian tanpa pengawasan orang lain.
Sempadan yang diletakkan adalah pada emosi dan komunikasi, bukan pada tanggungjawab dan ihsan. Selagi mampu, anak masih perlu memastikan keperluan asas ibu terjaga, bertanya khabar, membantu apabila diperlukan dan mendoakan kebaikannya.
Islam tidak meminta anak membiarkan dirinya musnah, tetapi Islam juga tidak mengajar anak membuang ibu daripada hidup. Yang dituntut ialah keseimbangan antara menjaga diri dan terus berbuat baik.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap penderitaan hamba-Nya. Dia mengetahui setiap air mata yang jatuh, setiap kata yang ditelan dan setiap usaha seorang anak untuk terus menjaga hubungan walaupun hatinya sendiri sedang sakit.
Menjaga kesihatan mental tidak menjadikan seorang anak itu derhaka, selagi tindakan yang diambil dibuat dengan niat yang baik, penuh adab dan tidak memutuskan tanggungjawab terhadap ibu.
Dalam kesedihan yang dipendam, jangan lupa untuk terus berdoa agar Allah SWT melembutkan hati seorang ibu dan memberi kekuatan kepada anak untuk terus bersabar dengan cara yang benar.
Luahkanlah segala rasa kepada Allah, kerana Dia Maha Mendengar. Kadangkala manusia tidak memahami luka yang kita tanggung, tetapi Allah tidak pernah terlepas pandang walau sedikit pun penderitaan hamba-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok