
Berbuat baik dengan ibu bapa ialah kewajiban yang dituntut dalam Islam. Namun demikian, hubungan kekeluargaan seseorang itu tidak selalunya indah dan kadangkala konflik yang berlaku menyebabkan kita rasa ingin menjauhkan diri.
Persoalannya, adakah tindakan menjauhkan diri daripada kedua ibu bapa ini dibenarkan dalam Islam atau tidak?
Penting untuk kita fahamkan dahulu apakah yang dimaksudkan dengan Silaturahim. Menurut portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, silaturahim dalam Islam secara khususnya merujuk kepada hubungan kasih sayang dan persaudaraan yang terjalin melalui pertalian darah dan nasab, sama ada daripada pihak bapa mahupun ibu.
BACA JUGA: Ibu Memburuk-Burukkan Anak Hingga Terguris Hati, Apa Yang Perlu Dilakukan?
Walaupun istilah ini sering digunakan secara umum untuk hubungan sesama Muslim atau rakan taulan, para ulama menjelaskan bahawa hakikat silaturahim yang wajib disambung dan haram diputuskan adalah tertumpu kepada kaum kerabat (kaum keluarga), manakala hubungan sesama manusia yang lain secara umumnya disebut sebagai ukhuwwah Islamiyyah.
Islam sangat menekankan hubungan kasih sayang itu, terutamanya terhadap ahli keluarga terdekat. Menjaga hubungan ini bukan sekadar adat tetapi juga menurut perintah Allah SWT.
Secara dasarnya, haram hukumnya bagi seseorang memutuskan hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Jubair bin Mut’im RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan tali silaturrahim (hubungan kekeluargaan).”
Riwayat al-Bukhari (5984) dan Muslim (2556)
Walaubagaimanapun, jika sebab anda menjarakkan diri itu untuk mengelakkan kemudaratan (penderaan fizikal dan mental yang melampau) atau untuk menjaga ketenangan jiwa, ia mungkin dibenarkan secara sementara.
Syarat utamanya, menjauhkan diri bukannya memutuskan hubungan secara total. Sekurang-kurangnya kita masih perlu bertanya khabar atau berikan bantuan jika mereka dalam kesusahan.
Berbuat baik terhadap ibu bapa itu tidak semestinya menuntut kita untuk tinggal sebumbung jika keadaan tidak mengizinkan.
Sebagai anak, kita juga boleh mendoakan kesejahteraan mereka, memberikan nafkah bulanan dan menggunakan bahasa yang lemah lembut ketika berkomunikasi.
Apabila kita berasa terlalu lama menjauhkan diri itu, muhasabah diri anda semula. Adakah kita menjauhkan diri ini untuk menjaga kesihatan diri atau ego sahaja.
Jika hubungan kita dan ibu bapa tegang sebelum itu, gunakan platform atas talian untuk berbaik berbanding berjumpa secara depan-depan.
Jika keadaan menjadi semakin teruk, dapatkan nasihat daripada kaunselor bertauliah untuk menyelesaikan konflik anda.
Kesimpulannya, tidak salah untuk menjauhkan diri daripada ibu bapa untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri. Tetapi, anda harus sentiasa ingat bahawa berbuat baik terhadap ibu bapa adalah salah satu cara untuk ke syurga.
Walaupun jarak yang diambil itu untuk menjaga kesihatan mental, hubungan hati dan tanggungjawab sebagai seorang anak jangan pernah dilupakan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







