
Masuk musim Hari Raya Aidiladha, ramai dalam kalangan masyarakat kita akan mengambil peluang memasak daging lembu korban sebagai lauk juadah harian.
Selain daging, ada juga yang gemar menikmati bahagian lain seperti lidah, perut, organ dalaman dan sebagainya. Namun, dalam menyediakan hidangan berasaskan lembu, kita juga perlu cakna bahawa bukan semua bahagian haiwan sembelihan itu elok dimakan.
Walaupun lembu tersebut disembelih secara sah mengikut syarak, ia tidak bermakna semua bahagiannya digalakkan untuk dimakan. Ada bahagian tertentu yang hukumnya makruh kerana sifatnya yang kotor, menjijikkan atau menjadi tempat takungan sisa buangan.
Perkara ini penting untuk diketahui, lebih-lebih lagi oleh tukang masak, pemotong daging dan mereka yang menguruskan agihan daging korban.
Dalam masyarakat kita, pelbagai hidangan berasaskan lembu cukup popular seperti sup utara, sup lidah, sup tulang dan masakan organ dalaman. Namun, sebelum dimasak atau diagihkan kepada orang lain, sebaiknya bahagian-bahagian yang makruh ini dikenal pasti terlebih dahulu.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am ayat 145:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor, atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa memakannya kerana darurat, sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Berdasarkan ayat ini, Islam dengan jelas mengharamkan beberapa jenis makanan seperti bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan haiwan yang disembelih bukan kerana Allah SWT.
Bagaimanapun, darah yang masih berbaki di celah urat atau melekat pada daging selepas dibasuh dengan bersih adalah dimaafkan.
Dalam pada masa yang sama, terdapat beberapa bahagian haiwan sembelihan yang dinyatakan makruh untuk dimakan.
Perkara ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Baginda SAW tidak suka tujuh bahagian daripada kambing iaitu darah, pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina , kelenjar, pundi kencing
(Riwayat al-Baihaqi)
Walaupun hadis tersebut dinilai lemah, menurut portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat juga riwayat daripada Abu Hanifah yang menyatakan bahawa bahagian seperti pundi hempedu, zakar, dua testis, faraj betina, kelenjar dan pundi kencing adalah makruh untuk dimakan. Adapun darah, hukumnya telah sabit sebagai haram.
Ini bermakna, bahagian-bahagian tersebut bukanlah dihukum haram seperti darah, tetapi makruh kerana dianggap kotor, menjijikkan atau berada pada tempat yang berkaitan dengan sisa buangan haiwan.
Dari sudut kesihatan pula, beberapa organ seperti pundi kencing, hempedu dan kelenjar juga mempunyai fungsi tertentu dalam tubuh haiwan. Ada antaranya terlibat dengan proses penapisan, penyimpanan atau laluan sisa buangan.
Oleh itu, memakannya mungkin mendedahkan seseorang kepada rasa yang tidak menyenangkan, bau hanyir yang kuat serta risiko kekotoran jika tidak dibersihkan dengan sempurna.
Islam sangat menitikberatkan soal makanan yang halal dan baik. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168:
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Ayat ini mengingatkan kita bahawa makanan bukan sahaja perlu halal, tetapi juga baik, bersih dan tidak memudaratkan.
Justeru, dalam menguruskan daging korban, kita disarankan supaya lebih berhati-hati. Mereka yang memotong, memasak atau mengagihkan daging perlulah mengenal pasti bahagian-bahagian yang makruh ini agar tidak dicampurkan sewenang-wenangnya dalam masakan atau diberikan kepada orang lain.
Ibadah korban bukan sekadar menyembelih dan mengagihkan daging, tetapi juga mendidik kita tentang adab, kebersihan, keprihatinan serta tanggungjawab dalam memastikan makanan yang sampai kepada orang lain benar-benar halal, baik dan bersih.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







