Kerohanian

Pakaian Ahli Keluarga Meninggal Dunia Tidak Boleh Disedekah, Sudah Jadi Harta Pusaka!

Share

Biasanya bila berlaku kematian, ramai yang akan memberi sedekah pakaian si mati. Baju kurung, kain pelikat akan disedekahkan bila mana ahli keluarga tidak sanggup memakainya.

Tapi perlu diingat bahawa pakaian ahli keluarga yang meninggal ini sebenarnya tidak boleh disedekahkan kerana sudah menjadi harta pusaka.

Perkara ini diterangkan oleh Ustaz Azhar Idrus bila menjawab pertanyaan seorang lelaki berkenaan dengan koleksi tudung arwah isteri yang ditinggalkan.

Menurut lelaki berkenaan, isterinya memiliki kira-kira 164 helai tudung dalam simpanan. Tidak tahu apa harus dilakukan dengan tudung yang banyak ini dia bertanya sama ada boleh disedekahkan atau tidak kerana kedua anaknya adalah lelaki ataupun tudung tersebut perlu dibahagikan berdasarkan sistem faraid.

Ustaz Azhar Idrus kemudian menjelaskan bahawa harta koleksi tudung isteri tidak boleh disedekahkan kerana ia automatik menjadi harta pusaka.

Beliau menjelaskan bahawa persepsi sebahagian masyarakat terhadap harta pusaka selalunya hanya terikat kepada beberapa barangan seperti duit, emas, tanah dan rumah. Namun sebenarnya segala-galanya adalah harta pusaka selagi boleh diambil guna atau memberi bermanfaat.

Ustaz Azhar turut memberikan beberapa contoh ringkas agar mudah difahami.

“Selipar sebelah, tidak menjadi harta pusaka. Kalau dua belah, menjadi harta pusaka. Walaupun selipar murah, (misalnya) RM5 sahaja, (tetapi) boleh dipakai dan diambil manfaat oleh orang lain, itu harta pusaka. Sudu satu? Harta pusaka, wajib faraid”, katanya lagi.

Bagaimana pun katanya jika keluarga bersetuju untuk disedekahkan, barulah perkara itu dibolehkan.

“Apabila mati, semuanya balik menjadi milik Allah, sebab itu waris tidak boleh buat suka-suka. Bila (harta) jadi hak waris? Selepas melalui dua perkara. Pertama, bayar hutang agama dan kedua bayar hutang manusia. Baki baru menjadi milik waris,” katanya lagi.

IKLAN