
Dalam suasana Ramadan yang penuh barakah, seorang pelajar tahfiz dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri perhatian apabila diberi kepercayaan mengimamkan solat di University of Oxford, United Kingdom.
Pemilihan Adib Farhan Baharudin sebagai imam menerusi program Qari in Residence di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS) bukan sahaja menjadi pengalaman bermakna buat dirinya, malah turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Program yang berlangsung sepanjang Ramadan itu merupakan inisiatif UPSI dalam memberi pendedahan global kepada para huffaz terpilih. Selain Adib Farhan, empat lagi wakil universiti berkenaan turut ditempatkan di beberapa lokasi luar negara termasuk Australia dan Singapura bagi mengimarahkan Ramadan sebagai imam serta qari jemputan.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam UPSI, Prof Madya Dr Mohd Firdaus Abdul Wahab, penyertaan pelajar dalam program tersebut bukan sekadar pengalaman ibadah semata-mata, sebaliknya membuka ruang pembelajaran yang lebih luas kepada mereka.
Jelas beliau, pendedahan di peringkat antarabangsa membantu pelajar membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta memahami realiti kehidupan masyarakat Islam global yang pelbagai latar belakang.

“Saya berasa amat terharu apabila pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Adib Farhan Baharudin terpilih menjadi imam di Oxford Centre for Islamic Studies, United Kingdom.
“Ia merupakan satu penghormatan luar biasa serta peluang berharga untuk pelajar UPSI memantapkan keperibadian dan sahsiah sebagai pelajar tahfiz,” katanya.
Selain memimpin solat berjemaah, para pelajar turut berpeluang berinteraksi dengan komuniti Muslim setempat, berkongsi ilmu al-Quran serta menyantuni masyarakat melalui pendekatan dakwah yang berhikmah. Pengalaman tersebut sekali gus membentuk jati diri mereka sebagai duta kecil negara yang membawa nilai Islam secara sederhana dan menyantuni.
Inisiatif ini juga menjadi bukti bahawa institusi pendidikan tahfiz di Malaysia terus berkembang seiring tuntutan global, membuka ruang kepada para huffaz untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik dan dakwah.
Kisah Adib Farhan sekali gus menjadi inspirasi bahawa hafazan al-Quran bukan penghalang untuk menjejakkan kaki ke universiti terkemuka dunia, malah mampu menjadi jambatan memperkenalkan keindahan Islam kepada masyarakat antarabangsa.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





