‘Penonton sekarang sangat islamik, tahu soal batas.’ Tolak adegan terlampau mesra, Alif Satar bukan acah alim kerana dia sendiri akui sebagai indvidu yang mengamalkan cara hidup Islam, kita tahu hukum.
Malah dalam masa yang sama, buat masa sekarang dia bukan hanya perlu fikirkan persembahan dan penyampaian yang terbaik untuk penonton. Sebaliknya perlu memikirkan risiko lakonannya kepada keluarga dan anak-anaknya.
Pelakon dan penyanyi Alif Satar tidak akan melakukan babak berpelukan atau aksi terlampau mesra bersama pelakon gandingan dalam setiap karya yang dibintangi.
Menurut Alif yang baru saja membintangi drama Bisik Pada Hati di samping aktres Ummi Nazeera dan Zara Zya, setiap adegan berat tidak semestinya perlu dilakukan dengan babak-babak yang boleh mengundang kontroversi atau kecaman.
Tahu Soal Batas
“Sebagai individu yang mengamalkan ajaran Islam dan baru saja selesai bekerjasama dengan Ummi dan Zara, naskhah yang dibintangi adalah bukti yang kami tidak perlu melakukan babak yang berlebih-lebihan untuk merealisasikan watak sebagai pasangan suami isteri.
Ads
“Walaupun babak suami isteri agak rumit untuk dibawakan, ditambah pula ada babak malam pertama membabitkan saya dan Zara, namun semuanya boleh di atasi dengan simbol atau dialog untuk memberi imaginasi kepada penonton.
Tolak Adegan Terlampau Mesra
“Mungkin komen saya ini akan ada yang mengatakan saya acah-acah alim, tapi terpulang kepada pendirian pelakon lain. Saya tidak menghakimi dan kalau mereka rasa itu adalah keputusan terbaik, silakan.
“Cuma ini adalah pendirian saya dan apa yang boleh saya buat. Setakat pegang tangan ketika babak sambut pelakon wanita yang terjatuh saya rasa tiada masalah kerana masih berlapik dan babak itu memang perlu dilakukan sebegitu,” katanya.
Menurut Alif, pengarah adalah tunggak utama dalam menentukan limit kepada setiap pelakon bagi menjayakan watak yang dipertanggungjawabkan.
“Sekarang ini penonton kita sangat Islamik dan tahu soal batas. Kita boleh tahu dengan hanya membaca komen-komen netizen di media sosial apabila kurang senang dengan babak-babak yang dianggap keterlaluan.
Ads
“Tidak dinafikan saya seboleh mungkin nak berikan persembahan yang terbaik dalam menghidupkan sesuatu karakter tapi hakikatnya saya kena fikir risiko pada masa depan, lebih-lebih lagi saya sudah berkeluarga dan ada anak-anak yang semakin membesar,” katanya.
Kashoorga : Bila kita kreatif, tanpa babak yang mesra dan panas sekalipun sesebuah karya mampu dihasilkan dengan baik jika kena penyampaiannya.
‘Jutawan Dubai tampal sticker masyallah dekat kereta mewah, elak ain.’ Di Malaysia sanggup buat video, jatuhkan maruah sendiri atas alasan strategi marketing.
Bukan sekali dua menggunakan kaedah yang sama, malah berkali-kali menjatuhkan maruah diri dan agama tetapi tetap ulang benda yang sama.
Kongsi Muhammad Hassan, saya perasan sangat. Dekat mana-mana kereta mewah orang Dubai mesti mereka tampal sticker MASYA-ALLAH. Antara usaha untuk elak ain. Betapa mereka takut jika mata-mata manusia kagum dengan kekayaan yang mereka ada.
Di Malaysia saya perasan ramai yang letak kalimah syahadah di cermin belakang kereta. Ini juga satu usaha yang baik.
Sebenarnya ramai jutawan-jutawan di Malaysia atau di sini yang tidak mempamerkan kekayaan mereka di media sosial walaupun ada 3 biji kereta Ferrari di rumah dan mempunyi banyak perniagaan yang berjaya.
Sehinggakan saya dapat tahu Founder kilang perfume di Dubai ini mempunyai private jet dan sentiasa berulang aling ke US dan seluruh dunia untuk lebarkan perniagaan mereka.
Setakat dalam carian saya, tidak jumpa lagi gambar beliau bersama jet di instagram mahu pun facebook buat video murahan joget sana sini untuk jadi femes atau dengan caption
“Nak berjaya nak jadi jutawan jangan tinggal solat dhuha, taat ibu bapa, jangan tinggal sedekah pagi”.
Di Malaysia masih ramai mulakan perniagaan dengan sanggup menjatuhkan maruah sendiri. Sanggup dedah aurat, sanggup joget di depan camera untuk dapatkan followers. Sanggup jadikan Agama sebagai contents.
Kena kecam tak kisah sebab cara ini mereka akan dapat pelanggan lebih ramai. Selepas itu buat video permohonan maaf menangis depan camera dan akhirnya lancarkan produk baru.
Cukup-cukuplah kita follow dan jadikan orang begini sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan dan buanglah budaya nak kembangkan perniagaan kena pamer segala kekayaan yang kita ada sehinggakan tempat tidur pun nak kena tunjuk kepada dunia luar yang kita ada tempat tidur yang mewah.
Ingatan bersama supaya kita tak lalai.
-EncikMatt- #LelakiBurQa
Kashoorga : Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa hamba-Nya.
“15 tahun mandi wajib tak sempurna.” Diri dalam hadas besar, buat ibadah jadi tak sah. Tak dapat bayangkan jika keadaan ini berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa kita sedar ibadat yang dilakukan tak diterima.
Baru-baru ini saya ada terima soalan dalam inbox berkaitan mandi wajib. Ada yang bertanya bagaimana jika ada anggota yang tidak terkena air seperti celah pelipat, sebahagian rambut, kulit kepala, dan lain-lain.
Kemudian seorang wanita ceritakan bahawa ahli keluarga dia ada yang tidak mandi wajib dengan betul dan sempurna. Rupanya dah 15 tahun begitu, Allahuakbar.
Sebenarnya ramai yang masih tak sedar atau buat-buat tak perasan tentang perkara ini. Belum lagi kita bincang tentang anak remaja yang sudah baligh tapi tak diajar tentang cara mandi wajib yang betul.
Sungguh, kesannya bukan kecil. Ibadah yang dilakukan akan menjadi tidak sah kerana diri dalam keadaan hadas besar.
Dalam persoalan ini, saya kongsikan dahulu maksud hadas dan pembahagiannya supaya ia lebih mudah difahami.
Hadas: Keadaan seseorang yang tidak bersih atau suci yang menyebabkan terhalang daripada melakukan ibadah tertentu.
Hadas kecil:
Keadaan seseorang yang tidak suci sehingga menghalanginya daripada melakukan ibadah tertentu melainkan dengan mengambil wudhuk atau bertayammum (jika tiada air).
Sebab-sebab berlakunya hadas kecil adalah:
1. Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur.
2. Menyentuh kemaluan dengan tapak tangan yang tidak berlapik.
3. Hilang kewarasan akal akibat daripada mabuk, gila, pitam atau tidur kecuali jika seseorang itu tidur dalam keadaan tetap punggung pada tempat tidurnya.
4. Bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Keadaan seseorang yang tidak suci yang mewajibkannya untuk mandi hadas (mandi wajib) atau tayammum (jika tiada air) bagi melakukan ibadah tertentu.
Sebab-sebab berlakunya hadas besar adalah:
1. Junub.
Janabah bermaksud air mani yang terpancut atau persetubuhan. Oleh itu, orang yang berjunub ialah tidak suci disebabkan keluar mani atau persetubuhan.
a) Keluar air mani (lelaki atau perempuan).
Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْمَاءُ مِن الْمَاءِ
Maksudnya: “Air itu kerana air (wajibnya mandi kerana keluarnya air mani).”
(HR Muslim, hadis sahih)
b) Bersetubuh.
Rasulullah SAW bersabda:
إذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ وَمَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِل
Maksudnya: “Bila seorang lelaki duduk di antara empat potongan tubuh wanita (dua tangan dan dua kaki) dan tempat khitan bertemu (lelaki dan wanita) maka sungguh wajib mandi meskipun dia tidak mengeluarkan mani.”
(HR Muslim, hadis sahih)
c) Mimpi (Ihtilam)
Seorang lelaki mahupun perempuan mengalami mimpi basah atau keluar air mani.
Terdapat 3 ciri bila seseorang itu bermimpi:
1. Keluarnya air disertai rasa nikmat dan syahwat
2. Keluar kerana tadaffuq (aroma seperti adunan roti saat masih basah)
3. Putih telur bila sudah kering
2. Terhenti darah haid.
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَك عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللهُ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah (bergaul) mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu,”
(Surah al-Baqarah 2: 222)
Di dalam kitab Safinatun Najah karya Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami menyebutkan, ada 2 perkara yang menjadi RUKUN mandi wajib iaitu:
1. Niat.
2. Meratakan air ke seluruh tubuh badan.
Dalam kitab tersebut beliau menuliskan:
فُرُوضُ الْغُسْلِ اثْنَانِ النِّيَّةُ وَتَعْمِيْمُ الْبَدَنِ بِالْمَاءِ
Maksudnya: “Fardhu atau rukun mandi ada dua, iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh badan.”
Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi dalam kitabnya Kasyifatus Saja menerangkan tatacara melaksanakan kedua rukun tersebut.
1. Niat mandi wajib berlaku sewaktu siraman air yang pertama jatuh ke anggota badan.
Niat Mandi Wajib
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِرَفْعِ اْلحَدَثِ اْلأَكْبَرِ مِنَ اْلِجنَابَةِ فَرْضًا لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku niat mandi untuk menghilangkan hadas besar dari janabah, fardhu kerana Allah Ta’ala.”
2. Meratakan air ke seluruh anggota badan seperti celah-celah jari tangan, kaki, pangkal rambut (yang terikat hendaklah diuraikan), janggut, cuping telinga, lubang hidung, pusat dan lubang dubur.
Sekiranya terdapat sedikit bahagian tubuh yang belum terkena air maka mandi yang dilakukan itu dianggap TIDAK SAH dan orang tersebut sebenarnya masih dalam keadaan berhadas.
Imam Ghazali menjelaskan dalam kitab Bidayatul Hidayah secara terperinci mengenai adab mandi wajib, antaranya:
1. Sewaktu masuk ke bilik mandi ambil air terlebih dahulu, basuh kedua tangan sebanyak 3 kali.
2. Bersihkan segala kotoran atau najis yang masih melekat di badan.
3. Berwudhuk.
4. Ratakan air di kepala sebanyak tiga kali disertai dengan niat.
5. Ratakan air ke bahagian badan sebelah kanan 3 kali, kemudian bahagian badan sebelah kiri 3 kali.
6. Gosokkan bahagian depan dan belakang badan 3 kali.
7. Selakan jari di celah rambut dan janggut (sekiranya ada). Pastikan air mengalir ke setiap lipatan kulit dan pangkal rambut.
Dalam bab bersuci, mungkin masih ramai yang ambil mudah, namun jika tidak difahami dengan baik bimbang akan menjejaskan ibadah kita untuk tempoh jangka masa yang panjang, kerana bersuci ini selalu diguna pakai oleh kita setiap hari.
Semoga panduan ini membantu dalam persoalan tatacara mandi wajib supaya ibadah yang dilakukan sah dan diterima Allah SWT.
Rujukan:
1. Kitab Safinah Najah, karangan Syeikh Salim bin Sumair Al-Hadhrami.
2. Kitab Kasyifatus Saja, karangan Syeikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi.
3. Kitab Fiqhul Manhaji, karangan Dr Mustafa Al-Khin & Dr Mustafa Al-Bugha ‘Ali Asy-Syarbaji
Perempuan sebenarnya perlu lebih teliti berbanding lelaki dalam hal mencari pasangan sebab mereka memilih siapa yang akan jadi imam dalam hidup mereka.
Mereka pilih imam, bukan makmum. Once sudah pilih, kuasa veto adalah di tangan suami.
Suami itu nanti akan memberikan kesan besar terhadap masa depan mereka dan anak-anak.
Ketika saya dalam penjara, sempat saya kenal seorang penagih dadah yang sudah 10 kali masuk penjara dan isteri dia minta fasakh dari mahkamah.
Ketika program ‘orientasi’ banduan baru di Penjara Kajang, seorang warden tanya banduan tersebut, “Apa sebab kau bercerai?”
Jawab dia, “Sebab tiada kesefahaman”.
Dan dan situ juga dia kena sindir dengan warden penjara;
“Kau sudah 10 kali masuk penjara, isteri mana yang boleh tahan?”
“Sudah 9 kali isteri kau bagi peluang dan bersabar, tapi kau tetap tak berubah-ubah! Itu bukan sebab tak sefahaman!”
Itu bukan kes terpencil. Bahkan ada isteri penagih dadah inilah yang banyak bersabar.
Sudah lah nafkah tak bagi, dia masuk penjara isteri nak kena jamin turun naik mahkamah sampai berbelas kali!
Itu belum lagi cerita kesannya kepada anak-anak.
Saya sebagai ayah yang ada anak-anak perempuan yang sudah remaja, pastinya saya akan campur tangan dalam menentukan kepada lelaki mana saya nak serah amanah menjaga anak-anak saya nanti.
Bukannya main terima sahaja.
Kerena siapa suaminya nanti memberikan kesan besar kepada dirinya dunia mahupun akhirat.
Kashoorga : Memilih suami bukan seperti memilih ikan di pasar, namun jika sehabis baik memilih suami, namun takdir Allah mengatasi segalanya, apa daya kita.
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.