Membina kehidupan sebagai pasangan suami isteri adalah fasa terindah dalam hidup seseorang.
Manakan sudah lama bercinta, pastinya mahu mengakhiri sebuah perhubungan dengan ikatan perkahwinan yanf sah.
Namun jagan terus gembira dengan kehidupan berumah tangga. Ada dugaan serta onak duri yang perlu ditempuhi sebagai pasangan yang baru membina masjid.
Oleh itu perancangan kewangan sangat dititik beratkan agar tidak hidup tidak diibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Terdapat beberapa langkah perancangan kewagan antara suami isteri. Perlu diingatkan pengantin baru kenalah bergabung untuk membeli rumah bukannya terus membeli kereta baru.
Ini kerana membeli rumah adalah merupakan aset jangka panjang yang lebih bernilai daripada membeli kereta baru.
Ikuti perancangan kewangan yang dikongsi pengguna di laman sosial Afyan Mat Rawi mengenai cara pengurusan kewangan bagi pengantin baru.
15 Step Perancangan Kewangan Suami Isteri
IKLAN
1. Ia bermula sebaik sahaja memulakan perancangan untuk berkahwin dan hidup bersama.
2. Rancang majlis perkahwinan dengan kos yang bersesuaian dan bukan ikut trend atau fikir apa kata orang. Jauhkan dari berhutang. Pedulikan kata-kata pakcik dan makcik bawang. Biar majlis tak grand, asal tak berhutang.
3. Selepas berkahwin, boleh mula menabung untuk beli rumah pertama, bukan untuk beli kereta pertama. Selalu berlaku, tak dapat beli rumah sebab duit dah habis banyak untuk ansuran dan maintenance kereta. Jadi, rancang untuk beli rumah dulu baru beli kereta, bukan sebaliknya. Pastikan installment rumah lebih rendah oleh kadar sewa.
4. Tak perlu malu kalau rumah pertama ialah rumah pangsa. Ia jauh lebih baik dari menyewa sampai tua. Lepas ada rumah pertama, kita akan bernafsu untuk rumah kedua, ketiga dan seterusnya. Masa tu tak kisah pun kalau pakai kereta buruk sahaja.
5. Pilih kenderaan yang sesuai, fungsinya untuk bergerak dari titik A ke titik B. Kalau baru berdua tak perlu sampai pakai MPV. Harganya jangan lebih setahun gaji.
IKLAN
6. Gabungkan gaji bersama untuk rancang kos kehidupan berkeluarga. Bahagikan ikut formula 30% untuk belanja isi rumah, 30% untuk hutang, 5% ekstra, 5% pemberian dan 30% lebihan.
7. Pastikan perbelanjaan isi rumah dan pembayaran hutang piutang tak lebih dari 30% setiap satu atau maksima 60% kombinasi kedua-duanya. Ekstra 5% sebagai tambahan jadi 65%. Jika dari awal dapat susun, makin lama makin mudah.
8. Rancang minima 30% lebihan untuk 3 perkara penting ini; 10% simpanan, 10% perlindungan takaful, 10% pelaburan. Ia perancangan sepanjang masa hingga akhir usia.
9. Langgan takaful income protection untuk suami isteri. Pastikan coverage mencukupi 10 tahun gaji. Jika langgan “loving couple policy” – jika salah seorang mati, polisi satu lagi jadi free. Kemudian baru rancang untuk medical card pula.
10. Boleh mula untuk buat perancangan pusaka dan harta sepencarian. Kita tidak tahu usia kita sampai bila, maka permudahkan urusan pasangan.
IKLAN
11. Rancangan persaraan. Dari sekarang perlu buat tabungan. Ini penting supaya kelak tua kita tidak terbeban. Boleh mula pelaburan yang paling mudah dan murah; emas dan unit trust sebelum beralih kepada yang lebih sukar dan sukar; saham dan hartanah.
12. Apabila mula menimbang cahaya mata, boleh mulakan perancangan dana pendidikan mereka. Ada banyak cara; takaful pendidikan, TH, ASB dan SSPN-I antara pilihannya.
13. Aset penting dalam sebuah keluarga ialah ilmu. Penuhi rumah dengan buku. Kena ada perpustakaan mini di satu bucu. Bukan TV, Astor, pinggan, mangkuk, sudu atau garfu.
14. Jangan lupa rancang untuk pergi haji. Pastikan dah daftar dengan Tabung Haji. Daftar untuk anak-anak sekali. Semoga dapat panggilan ilahi.
15. Perancangan pusaka, pelaburan, takaful dan lain-lain tadi perlu di”review” sekali-sekala. Supaya ia dikemaskini sentiasa. Sebaiknya 2-3 tahun secara berkala.
Allah memberikan rezeki kepada setiap insan itu berbeza-beza. Ada yang dilimpahi rezeki berganda dan ada juga yang hidup serba kekurangan.
Namun ada segelintir mereka yang diuji dengan cara hidup sederhana ini tidak mahu keluar dari alam kemiskinan berkenaan.
Dan perkara ini mendapat perhatian atau teguran dari Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali dengan nama Dr Maza.
Mufti Perlis, Dr Maza
Beliau yang muat naik status di laman sosial Facebook mendapat perhatian warganet apabila memberikan pandangan terhapa kekesalannya pada golongan asnaf yang didakwa tidak mahu megubah kehidupan kerana selesa menerima bantuan.
Walaupun sudah diberitahu ada kunjungan dari DYTM Raja Muda Perlis tetapi tiada usaha untuk mbembersihkan kawasan sekitar dan dalam perumahan sedangkan jelasnya untuk membersihkan hanya perlukan kudrat.
Tambah megecewakan ada penerima bantuan yang tidak menjaga kebersihan rumah kerana kawasan didapati kotor dan tidak terurus.
Beliau kemudiannya menegaskan bantuan zakat harus diteliti dan diberikan kepada golongan yang benar-benar saja kerana ada segenlintir mengambil kesempatan dengan alasan anak-anak kecil untuk terima bantuan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka.
Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan. Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat.
Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
𝗧𝗲𝗿𝗸𝗲𝗰𝘂𝗮𝗹𝗶
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat.
Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul. Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
𝗣𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan.
Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong. Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
𝗗𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗦𝗮𝗷𝗮
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀 𝗗𝘂𝗻𝗶𝗮 𝗔𝗸𝗵𝗶𝗿𝗮𝘁
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk.
Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan. Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
𝗟𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗵 𝗠𝗔𝗜𝗣𝘀 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘀
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan.
Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan.
Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri.
Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan. Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih.
Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
𝗔𝗸𝘂𝗿
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
𝗝𝗶𝗵𝗮𝗱 𝗠𝗲𝗻𝗲𝗻𝘁𝗮𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗹𝗮𝘀𝗮𝗻
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w:
“Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
“Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas.
Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
‘Tiada perasaan malu, tapi bersyukur dikurniakan anak istimewa.’ Anak sindrom down anugerah Allah SWT. Begitulah luahan ibu muda ini apabila dikurniakan anak sindrom down.
Biarpun dia hanya mengetahui hal sebenar setelah anaknya lahir, tetapi perkara itu langsung tidak membuatkan hati wanita ini berbelah bahagi. Sebaliknya dia bersyukur dikurniakan anak istimewa.
‘Tiada sekelumit pun rasa benci, tak suka atau malu…macam mana pun, dia tetap zuriat saya,” kata Intan Nurshahira Saridan yang dikurniakan anak sindrom down, Lufyaa Elzzara.
Lufyaa Elzzara atau dipanggil Lufyaaa, 7 bulan adalah anak kepada Intan Nurshahira, 24, hasil perkahwinannya dengan Muhammad Hazziq Aliff Azhar, 25, pada Februari tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Intan Nurshahira yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan menjelaskan Lufyaa disahkan sindrom down selepas 10 minit dilahirkan.
Tapi Bersyukur
Menurut Intan Nurshahira, dia dan suami hanya tahu mengenainya selepas bersalin kerana tiada masalah dikesan sepanjang tempoh kehamilannya.
“Sejak hari pertama Lufyaa dilahirkan lagi, saya dan suami sudah diberitahu oleh doktor pakar kanak-kanak mengenai keadaan anak kami.
“Cuma, hanya suami dapat lihat keadaan Lufyaa pada hari pertama, manakala saya hanya berpeluang tengok wajah anak keesokannya.
“Jujurnya, tiada langsung perasaan sedih malah bersyukur dikurniakan anugerah anak istimewa dan boleh terima Lufyaa sejak hari pertama lagi.
“Suami yang jadi kekuatan saya kerana dia sayang sangat dekat anak, tak kenal erti malu sebaliknya selalu beri saya semangat untuk sama-sama besarkan Lufyaa,” katanya.
Dikurniakan Anak Istimewa
Menceritakan keadaan Lufyaa, Intan Nurshahira berkata, anaknya itu diintubasi selama sebulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dilahirkan.
“Selain itu, ada beberapa rawatan lain dan janji temu pakar di kanak HTJS, pemeriksaan jantung di Hospital Serdang, Selangor, genetik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain sesi fisioterapi di Klinik Kesihatan Senawang.
“Keadaannya sekarang bertambah baik cuma saya dan suami masih rujuk dengan pakar untuk tahu masalah dalamannya kerana bayi macam Lufyaa agak sensitif serta perlukan lebih perhatian,” katanya.
Anak Sindrom Down Anugerah Allah
Soal rutin harian pula, Intan Nurshahira berkata, Lufyaa masih meniarap dan sudah mula makan dan minum.
Intan Nurshahira gunakan masa bersama Lufyaa untuk merakam detik bersama anaknya itu sebagai kenangan.
“Saya kongsikan video di TikTok supaya mereka yang mempunyai anak syurga seperti anak saya dan masih tidak boleh terima, dapat kekuatan selepas melihat hantaran dimuat naik.
“Terima kasih kepada yang sentiasa menonton video dan mendoakan Lufyaa.
“Semoga dimurahkan rezeki, diberkati Allah dan semoga doa yang baik itu berbalik kepada semua,” katanya.
Hidup itu pasti. Tidak mengira usia, tua atau muda, setiap manusia pasti akan melalui alam kematian yang memutuskan semua perhubungan dengan orang-orang dikasihinya di dunia ini.
Bahkan selepas melalui kematian, manusia akan melalui alam kubur yang disebut juga sebagai alam barzakh yang sangat panjang masanya sehingga tibanya hari kiamat di mana manusia akan dibangkitkan semula.
Sebenarnya ada tujuh golongan yang terselamat dari seksaan kubur di mana mereka terselamat di soal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Inilah tujuh golongan istimewa ini. Doakan agar kita termasuk dalam tujuh golongan ini.
1) Golongan pertama yang beroleh kelebihan itu ialah mereka yang berjaga-jaga terhadap musuh. Riwayat daripada Salman, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang hidupnya berjaga-jaga terhadap musuh di barisan hadapan (perbatasan) iaitu mereka yang berjuang di jalan Allah (askar-askar). Mereka yang berjaga sepanjang malam itu, orang ini lebih baik daripada dia berpuasa sebulan”. Pekerjaan sebagai polis, pegawai keselamatan, tentera dan lain-lain yang menjaga keselamatan orang lain daripada pihak musuh atau bahaya dengan niat kerana Allah, amat beruntung kerana berpeluang untuk beroleh keistimewaan ini. Rasulullah juga berkata, jika mereka ini meninggal dunia, segala amalan-amalan dan pahalanya akan datang padanya, dan Allah akan memberinya rezeki terselamat daripada fitnah kubur.
2) Mati syahid di jalan Allah. Menurut Rasulullah mereka yang mati syahid ini ada enam keistimewaan yang dikurniakan Allah kepadanya iaitu dosanya diampuni bermula daripada saat darahnya menitis ke bumi. Orang yang mati syahid ketika berjuang di jalan Allah ialah syahid dunia dan akhirat. Kini kita berpeluang untuk beroleh syahid akhirat iaitu bagi mereka yang mati di dalam perjalanan untuk menuntut ilmu, ibu-ibu yang mati ketika dalam proses melahirkan, mereka yang mati lemas di dalam air atau mereka yang mati ketika sedang mencari rezeki yang halal. Keistimewaan kedua yang dikurniakan kepada mereka yang mati syahid ialah diperlihatkan kepadanya tempatnya disyurga. Seterusnya mereka akan diselamatkan daripada azab kubur, terselamat daripada gelombang yang dahsyat ketika tiba hari kiamat, diberi mahkota kehormatan daripada batu yang paling baik di dunia serta isinya dan dikahwinkan dengan 72 bidadari serta dapat memberi syafaat kepada 70 orang di kalangan ahli keluarganya yang berada di dalam neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Setiap yang hidup pasti akan mati. Selepas melalui alam dunia, manusia akan melalui alam kubur yang amat panjang masanya.
3) Meninggal sakit tenat. Kata Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani lagi berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa sahaja yang meninggal dunia di dalam keadaan sakit tenat, bererti dia meninggal di dalam keadaan mati syahid. Dia akan terselamat daripada fitnah kubur serta dibawakan rezeki daripada syurga pada pagi dan petang.” Imam Qurtubi menyifatkan hadis ini bersifat umum, tetapi ia kemudian dikhususkan kepada mereka meninggal dunia akibat sakit tenat yang di akibat penyakit di dalam perut (seperti kanser) (Riwayat Ibn Majah & Al-Baihaqi).
4) Sudah membaca Al-Mulk. Ibn Abbas RA menceritakan ada seorang sahabat Rasulullah SAW yang sedang berjalan, tiba-tiba dia melihat tanah yang lapang dan mendirikan khemah di situ. Rupa-rupanya khemahnya itu terletak di atas tanah kubur. Ketika berada di situ, dia terdengar seseorang sedang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah tentang peristiwa yang telah dialaminya. Baginda menjawab: “Itulah surah yang menghalang dan menyelamatkan dia daripada azab kubur”. Barang siapa yang membaca surah Al-Mulk setiap malam, maka ia akan membela orang yang membacanya daripada siksa kubur (Riwayat Imam Tarmizi). Ada riwayat yang menyatakan bukan hanya surah Al-Mulk yang wajar dijadikan amalan, begitu juga dengan surah Al-Kahfi dan surah Al-Baqarah.
5) Rajin amalkan surah As-Sajdah. Melalui riwayat Siwar Ibn Saad, Abu Ishaq yang diterima daripada al-Barraq, sesiapa yang membaca alif lam mim dan taba rakallazi biya dihil mulk di dalam surah as-Sajdah sebelum tidur, dia akan terselamat daripada azab kubur dan terlindung daripada dua penguji kubur (Mungkar & Nakir).
6) Meninggal dunia pada malam Jumaat atau hari Jumaat. Ibn Umar menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang muslim yang meninggal pada hari Jumaat ataupun malam Jumaat, melainkan Allah akan melindunginya daripada fitnah kubur padanya”. Secara lebih lanjut, Al Hakim juga menuturkan, sesiapa sahaja yang meninggal pada hari Jumaat akan tersingkap tabir yang menutupi apa yang menjadi miliknya di sisi Allah, kerana pada hari Jumaat neraka Jahannam tidak dinyalakan untuk orang mukmin. Semua pintu neraka ditutup kepada orang muslim dan para penguasa di neraka tidak bekerja sebagaimana pada hari-hari lain. Jika Allah mencabut nyawa seorang hamba yang taat mengabdikan diri pada hari Jumaat, yang demikian itu merupakan tanda kebahagiaan dan kebaikan tempat kembali pada dirinya.
7) Para siddiqun atau siddiqin iaitu para sahabat Rasulullah dan mereka yang benar-benar beriman kepada ajaran agama walaupun tidak pernah bertemu dengan Baginda. Al-Hakim menegaskan bahawa para siddiqin tidak akan disoal di dalam kubur kerana di dalam doa yang dijadikan amalan membuktikan orang yang telah diberi nikmat oleh Allah dikalangan nabi, para siddiqin, para syuhada dan mereka yang salih. Mudah-mudahan kita tergolong di antara ketujuh-tujuh kalangan mereka yang terselamat di alam kubur kelak. Sumber : Ustaz Ahmad Dusuki/ IKIM