
Qada solat tarawih boleh atau tidak? Mungkin ramai kalangan kita yang bekerja pada waktu malam termasuklah pada bulan Ramadan hingga menyebabkan kekangan masa untuk menunaikan solat ini.
Apatah lagi solat sunat Tarawih merupakan solat sunat yang memiliki waktunya yang tertentu. Ia hanya dilakukan pada setiap malam selepas solat Isyak didirikan sehingga sebelum terbitnya fajar di bulan Ramadan.
Tertinggal atau tidak sempat solat tarawih
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irshad Fatwa Ramadan persoalan tentang qada solat Tarawih bagi mereka yang tertinggal dan tidak sempat menunaikannya, Imam al-Nawawi menyebut secara umum bahawa sunat qada solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat).
Teks asalnya seperti berikut:
وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ نُدِبَ قَضَاؤُهُ فِي الْأَظْهَرِ
Maksudnya: “Jika luput waktu solat sunat yang telah ditetapkan waktunya, maka sunat untuk qada menurut pandangan yang muktamad”.
Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa sunat menggantikan solat sunat yang memiliki waktunya (solat sunat al-Muaqqat) sama ada solat itu afdal dilakukan secara berjemaah seperti solat sunat Hari Raya atau pun tidak seperti solat sunat Dhuha.
Hal ini berdasarkan dalil daripada hadis Nabi SAW yang menyatakan sesiapa yang tertidur atau terlupa sehingga terlepas waktu solatnya maka digantikan apabila mengingatinya.
Begitu juga dalam hadis yang lain, Nabi SAW menggantikan solat sunat Zohor setelah solat Asar dan juga Baginda SAW menggantikan solat sunat Fajar setelah terbitnya matahari kerana tertidur.
Kategori solat sunat yang digalakkan untuk qada
Begitu juga perihal solat sunat witir, menurut mazhab Syafi’i ia termasuk dalam kategori solat sunat yang digalakkan untuk qada jika tertinggal berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri, Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَامَ عَنْ الْوَتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُوتِرْ إِذَا ذَكَرَهُ أَوْ اسْتَيْقَظَ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidur sehingga terlepas waktu solat Witir atau terlupa menunaikannya, maka lakukanlah apabila dia mengingatinya atau setelah dia bangun daripada tidur”. Riwayat al-Tirmizi (465)

Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan, solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir boleh diqada pada waktu yang lain sekiranya tertinggal dan tidak sempat dilakukan pada waktunya.
Perkara ini merujuk kepada pandangan mazhab al-Syafi’e yang membenarkan untuk qada solat sunat yang memiliki waktu tertentu (solat sunat muaqqat) sekiranya luput waktunya.
Hal ini juga termasuk solat sunat Tarawih dan solat sunat Witir yang dikategorikan sebagai solat sunat yang memiliki waktunya tersendiri.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Artikel berkaitan: Solat Fardu Belum Qada, Tak Boleh Solat Tarawih?
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI