Rezeki baik harta benda dan wang adalah dambaan manusia pada masa kini. Namun adakah rezeki yang banyak ini adalah yang terbaik buat kita? Ini kerana ada satu hadis yang menyatakan rezeki yang terbaik sebenar adalah rezeki yang cukup.
Persoalan ini diajukan oleh netizen dalam soal jawab yang dirungkai jawapannya dalam Maktabah Al Bakri.
Benarkah rezeki yang cukup adalah rezeki yang terbaik?
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (Surah al-Zariyat: 56-58)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, berdasarkan sebuah hadith di mana:
Diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”
Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.” Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)
Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)
Sifat tamak dalam rezeki yang banyak
Kadang-kadang rezeki yang banyak tetapi masih tidak mencukupi. Tambahan pula, adanya sifat tamak yang menguasai diri manusia apatah lagi wujudnya sifat boros dalam berbelanja yang mengakibatkan kepincangan kehidupan dek kerana tidak pandai mengurus kewangan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura: 27)
Seperkara lagi, dalam doa di atas, disebut cukupkan kepadaku dengan yang halal sahaja kerana kita tidak mahu yang haram berdarah daging dalam tubuh kita.
Keduanya, kita memohon kurniaan Tuhan untuk mengkayakan kita bukan orang lain sebagaimana di hujung doa tersebut:
وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Ads
Yang membawa maksud, “Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”
Mengiktiraf rezeki dan kurniaan itu daripada Allah SWT merupakan sifat para nabi. Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dia berkata, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.” (Surah al-Naml: 47)
Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”
‘Rasa ibadat tak sempurna.’ Qada puasa 30 hari sebab rasa was-was, ini hukumnya bila kita rasa ibadat puasa kita kurang sempurna. Sebenarnya perasaan was-was adalah hasutan syaitan.
Tapi sudah tentu hati tak tenteram bila merasakan ibadat puasa sepanjang Ramadan tak sempurna seperti yang diimpikan.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan ketahui hukumnya sama ada perlu qada atau tidak puasa tersebut.
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Bolehkah saya qada puasa disebabkan dari was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas.
Saya ingin qada manalah tahu kemungkinan ada kesalahan yang saya lakukan semasa puasa. Saya rasa puasa saya tidak sempurna dan apa yang saya buat setiap hari saya akan niat puasa qada sehinggalah cukup 30 hari.
Betul ke apa yang saya buat?. Mohon pencerahan dari ustaz menyelesaikan kekusutan saya ini.
Jawapan :
Qada puasa wajib dilakukan jika meninggalkan puasa secara sengaja atau melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ini berdasarkan perbuatan Aisyah yang diriwayatkan oleh Abu Salamah. Kata beliau :
‘Pernah ada puasa daripada bulan Ramadan yang sepatutnya aku ganti. Aku tidak mampu untuk menqada’nya kecuali pada bulan Sya’ban. Juga daripada (bersama) dengan Rasulullah saw.”
Riwayat Muslim (2657)
Ingin kami nyatakan, jika ragu-ragu atau was-was terhadap puasa yang telah dilakukan pada Ramadan yang lepas, maka tidak perlulah diganti.Ini kerana ianya tetap sah. Ini berdasarkan kaedah :
الأصل بقاء ما كان على ما كان
Maksudnya :
‘Asal (bagi satu hukum) adalah mengekalkan sepertimana ia.”
Kami juga menasihati agar jangan berlebih-lebih dan melampau-melampau walaupun melibatkan bab ibadat. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud :
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ. قَالَهَا ثَلاَثًا
Maksudnya :
‘Hancurlah orang yang melampau-lampau. Nabi saw mengucapkannya sebanyak tiga kali.”
Riwayat Muslim (6955)
Begitu juga, jauhilah sifat was-was dan ragu-ragu. Inilah hasil dari bisikan syaitan yang akhirnya menatijahkan kepayahan dan menyebabkan kehidupan seharian menjadi rumit. Bahkan ayah kita semua, Nabi Adam a.s pun tidak terlepas daripada bisikan syaitan.
Maksudnya :
“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
(Surah Toha :120)
Penyakit was-was ini telah diingatkan oleh Nabi saw dan diberikan penyelesaian oleh Baginda. Sabda Nabi saw :
Maksudnya :
Sesungguhnya syaitan ada bisikan kepada anak adam dan malaikat juga ada bisikan. Adapun bisikan syaitan, ia adalah bisikan keburukan dan memalsukan kebenaran.
Adapun bisikan malaikat adalah bisikan kebaikan dan membenarkan perkara yang hak. Barangsiapa yang terlintas akan bisikan kebaikan ketahuilah ia adalah daripada Allah. Maka pujilah Allah.
Sesiapa yang mendapat selain dari itu (iaitu bisikan keburukan) maka berlindunglah dengan nama Allah daripada syaitan yang direjam.
Kemudian Baginda membaca :
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji” [Surah al-Baqarah : 268]
Riwayat al-Tirmizi ( 3256) &al-Nasaie (11051) di dalam al-Sunan al-Kubra
Jika berlaku was-was, ucapkanlah أعوذ بالله من الشيطان الرجيم. Moga-moga kita diberikan kefahaman oleh Allah dan dijauhkan daripada bisikan-bisikan yang buruk sehingga membawa kepada was-was.
‘Ramai ambil ringan bab solat dalam kapal terbang.’ Begini tatacara solat fardu atas pesawat. Sebenarnya walaupun kita dalam keadaan musafir, jangan sesekali tinggalkan solat.
Malah terdapat beberapa keringanan dalam menunaikan solat bila kita berjalan jauh termasuk dapat jamak dan qasarkan solat. Namun bagaimana pula kita nak solat di dalam kapal terbang, mana nak tahu arah kiblat?
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun dan hadam penjelasan tentang cara solat di atas kapal terbang.
Ramai yang tak tahu atau tak nak ambil tahu?
Tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai orang terlepas pandang.
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang.
Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada.
Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah.
Malah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:
Maksudnya:
“Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang.
Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.