Sahur awal jam 12 malam, pagi esok tak payah bangun! Ramai kalangan kita yang melakukan perkara sebegini terutama golongan muda yang kebiasaannya tidur lewat.
Bagi anda yang selalu ‘bersahur’ pada waktu ini bermakna anda sebenarnya sekadar makan lewat malam tanpa memperoleh fadilat dan keberkatan sahur.
Ini kerana menurut pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, mengikut pandangan ulama waktu sahur sebenarnya bermula selepas separuh malam.
“Jadi di Malaysia, (waktu) sahur lebih kurang jam 1 pagi ke atas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Justeru, mereka yang bersahur sebelum jam 1 pagi, khususnya sekitar jam 12 tengah malam, ujar penceramah itu, ia tidak dikira sebagai sahur yang sebenar menurut pandangan para ulama.
“Malah, mereka juga tidak memperoleh fadilat dan keberkatan sahur seperti yang disebut dalam sunnah,” katanya.
Ads
Jelas Ustaz Wadi lagi, sebahagian ulama berpandangan bahawa individu yang makan ‘sahur’ sebelum separuh malam perlu mengulang semula makan selepas pada waktu sahur sebenar.
Tujuannya adalah bagi memastikan ia dikira sebagai sahur yang menepati sunnah.
“Jika di Malaysia, lebih kurang jam 1 pagi ke atas sampai sebelum masuk waktu Subuh itu (kita bersahur), insya-Allah akan dapat keberkatan baik dari segi masa mahupun makanan yang dijamah, di samping pahala mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW,” ungkapnya.
Ads
Sekalipun tidak menjamah hidangan berat dan hanya minum seteguk air atau sebijik kurma dalam waktu sahur, ia tetap dianggap bersahur dan tidak terlepas keistimewaan dijanjikan.
Apatah lagi, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik (makanan) sahur bagi seorang Mukmin ialah kurma.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Dalam satu riwayat lain, sabda Baginda SAW: “Bersahur itu makanannya ada keberkatan, maka janganlah seseorang kamu meninggalkannya walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat (mendoakan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Selesai hari wukuf, jemaah haji akan mula meninggalkan tanah suci dan pulang ke tempat asal dengan doa beroleh haji yang mabrur.
Lebih kurang sebulan fokus melakukan ibadah sebagai tetamu Allah, tibalah masa untuk menjalani rutin hidup seperti biasa.
Agar terus istiqomah dengan ibadan berikut adalah antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci berdasarkan nas dan amalan para salaf.
Maksudnya :” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.” (Surah al-Baqarah : 200)
Mafhum daripada ayat tersebut, kita perlu mengisi masa-masa kita dengan zikrullah walaupun setelah selesai menunaikan ibadah haji. Kata Sheikh al-Maraghi :
“Jika telah selesai daripada menunaikan haji, maka perbanyakkan berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…” Rujuk Tafsir al-Maraghi ( 2/105)
Ini amat sesuai dikekalkan kerana semasa menunaikan haji, para Jemaah haji sentiasa berdoa dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan firman Allah :
Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir : 60)
Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Ini melahirkan suasana harmoni dan masjid-masjid pasti dipenuhi dan sentiasa dimakmurkan.
Terdapat banyak sekali kelebihan solat berjemaah. Antaranya :
Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi saw bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya :” Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian (dan ganjarannya) sebanyak 27 kali darjat.” Riwayat Muslim (1509)
Daripada Uthman Bin Affan. Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ فِى الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ
Maksudnya :”Sesiapa yang berwuduk untuk solat dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian dia berjalan untuk menunaikan solat fardu serta solat Bersama orang lain secara berjemaah atau solat di masjid. Maka Allah akan ampunkan dosanya.”
Riwayat Muslim ( 571)
Maka jangan ditinggalkan amalan ini setelah pulang dari Tanah Suci.
Saban tahun, puluhan ribu jemaah dari Malaysia pergi menunaikan haji. Bayangkan jika mereka boleh menjadi agen perubah kepada masyarakat sekeliling. Apa yang boleh dilakukan oleh Jemaah haji yang pulang ke tempat asal mereka?.
Mereka semua dapat melaksanakan dakwah kepada keluarga masing-masing dan kepada jiran tetangga. Peringatkan mereka tentang suruhan Allah dan jauhkan mereka dari larangan Allah. Jika ini dilakukan, sudah pasti nanti ramai yang akan taat dan patuh kepada seruan Ilahi.
Jika Jemaah haji yang pulang komited untuk sentiasa memakmurkan masjid , alangkah indahnya. Bukan itu sahaja, bahkan lebih indah jika mereka mampu untuk mengajak orang lain untuk turut sama memakmurkan rumah Allah.
Jika seorang haji boleh mengajak 5 orang untuk memenuhi masjid, sudah pasti setiap qaryah atau taman perumahan akan sentiasa dihiasi dengan orang yang sentiasa melazimi rumah Allah sepertimana suasana di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kalau setiap orang dari kalangan Jemaah haji yang pulang ke tanah air menginfaqkan 100 ringgit sebulan atau mewaqafkan sedikit dari hartanya ke komuniti muslim, maka sudah pasti nilainya akan mencapai jutaan ringit sebulan. Ini boleh menjadi satu sumber bagi menjana aktiviti keagamaan dan ekonomi umat islam.
Konsep baiti jannati (rumahku syurgaku) jika dipasak pada setiap Jemaah haji yang pulang dari tanah suci sudah pasti kita akan melahirkan hampir 30 ribu keluarga muslim yang bahagia dan patuh kepada perintah Allah.
Jemaah haji yang pulang, jika mereka betul-betul mengambil manfaat dan semangat rehlah haji, sudah pasti matlamat لِّيَشْهَدُوا۟ مَنَـٰفِعَ لَهُمْ yang disebutkan oleh Allah akan tersebar ke negeri masing-masing.
Ibadah haji yang dilakukan seharusnya menjadi mengubah keperibadian sehingga boleh mencapai redha Allah serta mampu menjadi qudwah dan suri teladan yang baik kepada anak bangsanya.
Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
SOALAN:
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
JAWAPAN:
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai Muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur Muslim dan sahur Yahudi.
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w:
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء
“Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Hukum Ulang Baca Ayat 58 Surah Yasin 3 Kali Untuk Makbulkan Doa. Ketika bacaan Yasin ada dalam kalangan kita yang mengulang ayat 58 ( iaitu bacaan سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) dari surah ini sebanyak tiga kali atau bilangan ganjil sebelum meneruskan ayat seterusnya.
Amalan mengulang ayat ini bertujuan agar diperkenankan atau dimakbulkan segala hajat dan permintaan.
Namun begitu ada juga yang tertanya akan hukum amalan ini, apakah ia benar dan disebut dalam hadis?
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui portalnya menjawab persoalan ini.
Surah Yasin digelar sebagai hati al-Quran dan sesiapa yang membacanya akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.” (Riwayat al-Tirmizi)
Terdapat adat dan amalan masyarakat melayu di sesetengah tempat membaca surah Yasin dan apabila sampai pada ayat ke-58 iaitu (سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ) akan diulangi sebanyak 3 atau 7 kali dan berdoa kepada Allah SWT.
Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sunat seseorang itu mengulang-ulang sesuatu ayat al-Quran untuk bertadabbur dan seumpamanya.
Perbuatan ini diamalkan oleh golongan para sahabat Nabi SAW dan juga golong salafussaleh.[1] Ibn Mas’ud pernah beramal dengan mengulang ayat (رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا).[2] Imam al-suyuti juga berpendapat harus mengulang-ulang sesuatu ayat sebagaimana Nabi SAW pernah mengulang-ulang satu ayat ketika solat.[3] Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari katanya:
قَامَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ بِآيَةٍ حَتَّى أَصْبَحَ يُرَدِّدُهَا
Maksudnya : “Rasulullah S.A.W pernah berdiri di dalam solat dengan membaca satu ayat yang baginda mengulang-ulangnya sehingga pagi” (Riwayat Ibn Majah)
Selain itu, terdapat saranan daripada Nabi SAW ketika memohon sesuatu hajat dengan menjadikan al-Quran sebagai perantaraan agar Allah SWT menunaikan segala permintaan dan hajat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia” (Riwayat Al-Tirmizi)
Kesimpulannya, amalan membaca surah Yasin dengan mengulang ayat 58 sebanyak tiga atau tujuh kali apabila sampai pada ayat tersebut adalah dibolehkan bahkan sunat mengulang-ulang ayat al-Quran terutamanya bagi tujuan bertadabbur.
Selain itu juga, turut digalakkan untuk berdoa dan meminta sebarang hajat kepada Allah SWT dengan menggunakan ayat al-Quran sebagai perantaraan agar doa dan hajat diperkenan oleh-Nya.
Benarkah barang akan dihisab jika tidak digunakan selama 40 hari? Ketahui penjelasan sebenar menurut Islam serta penerangan Ustaz Azhar Idrus tentang mitos yang tular di media sosial.