
Islam ialah agama yang sangat luas dan syumul.
Syariatnya bukan hanya terpakai ketika manusia berada di muka bumi, malah tetap relevan walaupun seseorang itu berada di angkasa lepas.
Perkara ini dapat dilihat melalui pengalaman angkasawan Muslim seperti Putera Sultan bin Salman dan juga angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Sudah tentu, berada di angkasa datang dengan pelbagai cabaran yang luar biasa. Antaranya ialah ketiadaan graviti, pergerakan yang terhad, serta kelajuan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang sangat tinggi.
Malah di ISS, angkasawan boleh melihat matahari terbit dan terbenam setiap 90 minit. Keadaan ini menimbulkan persoalan, bagaimana hendak menentukan waktu solat Subuh dan Maghrib ketika berada di angkasa?
BACA JUGA: Ramai Tak Sedar, Inilah Sedekah Paling Mudah Tapi Pahalanya Besar
Untuk pengetahuan, angkasawan Muslim tetap menunaikan solat lima waktu mengikut waktu solat di lokasi pelancaran atau mengikut zon waktu terakhir di bumi sebelum berlepas.
Sebagai contoh, Dr. Sheikh Muszaphar memulakan misinya dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Justeru, beliau menggunakan zon masa tersebut sepanjang berada di angkasa.
Persoalan lain yang sering timbul ialah tentang arah kiblat.
Ketika berada di ISS, kedudukan angkasawan sentiasa berubah-ubah. Namun Islam tetap menyediakan panduan yang jelas.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan susunan keutamaan berikut:
- Menghadap Kaabah di bumi
- Menghadap unjuran Kaabah di langit
- Menghadap bumi secara umum
- Menghadap mana-mana arah sekiranya terlalu sukar
Dalam keadaan tanpa graviti, angkasawan juga boleh menunaikan solat dalam posisi yang sesuai.
Mereka boleh mengikat kaki pada lantai, bersandar pada dinding atau melaksanakan solat mengikut kemampuan.
Jika keadaan benar-benar menyukarkan, mereka dibenarkan menunaikan solat sebagaimana rukhsah orang sakit, iaitu secara duduk, berbaring, menelentang, malah dengan isyarat mata.
Bagi urusan bersuci pula, wuduk boleh diambil menggunakan semburan air atau tuala basah. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, tayamum juga boleh dilakukan selagi memenuhi syarat sah solat.
Hakikatnya, ketiadaan graviti bukan alasan untuk meninggalkan ibadah fardu. Inilah bukti bahawa Islam ialah agama yang memudahkan, bukan menyusahkan.
Dalam apa juga keadaan, syariat tetap memberi jalan agar seorang Muslim terus dapat menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah.
Jika angkasawan yang berada jauh di luar angkasa pun masih mampu menjaga solat, maka apakah alasan kita yang hidup selesa di bumi ini untuk melengah-lengahkan ibadah?
Renungilah diri sejenak. Kita hanyalah insan kerdil di sisi Allah. Jangan sampai kesibukan dunia membuatkan kita lupa untuk bersujud kepada-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







