Tengah-tengah solat tiba-tiba terlupa bilangan rakaat, apa perlu buat? Kadang-kadang ada di kalangan kita yang fikirannya menerawang dan akhirnya tanpa sedar dia terlupa berapa rakaat sudah dia dirikan solat.
Jika kita solat dan tidak cukup rakaat sama ada diingatkan atau kita ingat sendiri, apa yang perlu kita lakukan? Wajib ke solat semula atau hanya tambah rakaat yang tertinggal.
Ikuti penjelasan Ustaz Riza berkaitan isu ini dan bagaimana caranya untuk menyempurnakan solat tersebut.
Kadang-kadang bila solat, kita tidak tahu atau terlupa kita sedang lakukan rakaat ketiga atau empat. Dalam masa yang sama rasa solat kita sudah cukup rakaat, rupa-rupanya kurang satu rakaat.
Pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad saw, ketika itu sama ada waktu solat asar atau zohor, baginda hanya lakukan solat dua rakaat sahaja. Selesai solat rasulullah terus bangun dan keluar.
Kemudian apabila ada sahabat nabi menegur, dia terus lengkapkan rakaat yang tertinggal. Kemudian ditutup dengan sujud sahwi.
Tiba-Tiba Terlupa
Isunya di sini, jika kita berdepan dengan situasi terlupa atau tertinggal bilangan rakaat dalam solat, apabila kita ingat atau diingatkan maka kita tambahkan rakaat yang tertinggal tadi.
Ads
Cara kedua pula, jika kita sedang solat dan kemudian keliru atau rasa was-was dengan bilangan rakaat. Ambil saja yang minimum, kemudian cukupkan rakaat.
Bilangan Rakaat, Apa Perlu Buat?
Kenapa Nabi suruh kita melakukan sujud sahwi bila terlupa rakaat solat kerana sujud sahwi itu adalah satu penghinaan kepada syaitan yang menggangu konsentrasi kita ketika solat.
Begitulah juga situasinya jika kita terlebih rakaat, kita tutup solat dengan sujud sahwi selepas memberi salam.
Ramadhan ini jika rajin membelek media sosial, kita akan terlihat banyak juadah-juadah enak dikongsikan. Malah ada mencecah jutaan tontonan dan masing-masing menyatakan keinginan untuk memasak juadah yang sama di kemudian hari. Bukan saja selebriti tapi ramai mak-mak yang akan berkongsi apa juadah berbuka mereka di media sosial untuk diperlihat oleh kawan-kawan di muka buku, Instagram dan sebagainya.
Bagi yang mampu dari sudut rezekinya, mereka akan mencari bahan dikongsikan dan kemudian memasaknya untuk juadah seisi keluarga. Tapi bagaimana dengan mereka yang diuji kesulitan rezeki namun sudah terliur melihat masakan-masakan enak di media sosial ini? Adakah kita berdosa kerana mungkin mengecewakan hatinya kerana tak mampu buat seperti dikongsikan atau apakah hukumnya yang harus kita tahu. Dipetik dari jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, inilah hukum tularkan makanan sedap-sedap di media sosial.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Secara asasnya, makanan merupakan di antara rezeki dan juga nikmat yang telah Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T berikut:
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman makanlah kamu semua daripada benda-benda baik yang telah kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kalian kepada Allah sekiranya kalian benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya. Surah Al-Baqarah (172)
Menurut ayat di atas, makanan-makanan yang baik dari sudut kehalalan dan kebersihan yang terdapat di atas muka bumi ini adalah merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Implikasi dari kurniaan dan nikmat tersebut, manusia khususnya orang-orang yang beriman dituntut untuk mensyukuri nikmat yang diperolehnya dalam kehidupan seharian.
Berkata Imam Al-Thabari Rahimahullah ketika mana menafsirkan ayat ini: Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu. Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (3/317).
Di antara tanda mensyukuri nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan adalah dengan mengucapkan hamdalah iaitu dengan lafaz Alhamdulillah. Sa’d bin Muaz bin Anas Al-Juhani meriwayatkan daripada bapanya bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang memakan makanan, kemudian dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku makan makanan ini dan merezekikan ia kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan dariku, maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu. Riwayat Ibn Majah (3285)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hamzah Anas Bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Tidaklah Allah kurniakan nikmat ke atas seorang hamba dengan satu nikmat lalu dia berkata: Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) melainkan pujian yang diberikannya itu lebih baik daripada apa yang dia terima. Riwayat Ibn Majah (3805)
Maka zahir daripada hadis di atas, menjadi tuntutan ke atas setiap yang mendapat rezeki dan kurniaan daripada Allah berupa makanan, minuman, kesihatan, wang ringgit, pakaian, dan seumpamanya untuk mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji bagi Allah sebagai tanda syukur yang diungkapkan oleh lidah.
Kita juga dituntut untuk membaca doa yang diajarkan di dalam Sunnah berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Bin Mas’ud R.anh bahawa Rasulullah bersabda:
Maksudnya: Dan jadikanlah kami golongan yang bersyukur terhadap nikmat-Mu, memuji-Mu dengan nikmat tersebut, menerimanya serta sempurnakanlah nikmat-nikmat tersebut ke atas kami. Riwayat Abu Daud (969)
Selain itu, menceritakan nikmat-nikmat yang telah Allah rezekikan kepada kita juga adalah salah satu bentuk menzahirkan kesyukuran. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ
Maksudnya: Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah. Surah Al-Dhuha (11)
Di antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan Rahimahullah: Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.
Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik Rahimahullah berkata: Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. Rujuk Ahkam Al-Quran, Ibn Al-Arabi (4/356).
Hakikatnya, kenyataan Imam Ibn Al-Arabi tersebut bertepatan dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Bantulah ke atas kejayaan tertunainya hajat keperluan dengan menyembunyikannya. Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu ada orang yang hasad kepadanya. Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (Hlm. 246)
Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Sebuah riwayat daripada Al-Nu’man Bin Basyir R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ
Maksudnya: Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran. Riwayat Ibn Abi Al-Dunia (No. 64)
Justeru, hadis di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Dan di antara tanda tersebut adalah dengan menceritakan nikmat-nikmat tersebut. Hadis ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat lain bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia cintakan kecantikan. Dan Allah suka untuk melihat kesan-kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya. Riwayat Ibn Asakir (17/200)
Maka jelaslah kepada kita, menzahirkan nikmat-nikmat Allah sama ada melalui cara menceritakannya kepada orang lain, atau memakai pakaian yang baharu lagi cantik, memakan makanan yang halal lagi bersih, dan seumpamanya adalah suatu yang dituntut.
Kesimpulan Berdasarkan kepada nas dan juga hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan menularkan gambar makanan yang sedap kepada orang lain pada asalnya adalah harus hukumnya. Walaupun begitu, hendaklah seseorang itu memuhasabah dirinya berkenaan niat melakukan perbuatan tersebut.
Sekiranya perbuatan itu bertujuan untuk bermegah-megahan, berbangga diri, dan juga riyak, maka sepatutnya ia dielakkan. Demikian juga sekiranya perbuatan menularkan makanan mewah dapat menyebabkan timbulnya perasaan hasad terhadap orang yang melihatnya, serta menimbulkan rasa dukacita kepada golongan yang tidak berkemampuan merasainya, maka kami nasihatkan supaya ianya dielakkan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Tidak dinafikan wabak Covid-19 yang melanda dunia hari ini ada hikmah yang tersembunyi. Melihat kepada kes kematian yang tinggi, adakalanya mencecah lebih 300 orang dalam sehari meletakkan nyawa manusia itu sangat “rapuh”. Bila-bila saja boleh dicabut.
Syukur alhamdulillah bagi mereka yang menerima hidayah dari Allah, memilih jalan ke arah kebaikan selain menyebarkan dakwah dalam kalangan rakan-rakan. Dalam industri hiburan tanahair juga, Nabil antara personaliti yang memilih untuk menukar corak kehidupannya dan seluruh ahli keluarganya selepas mengikuti jemaah tabligh. Begitu juga pelakon Amar Asyraf Zailuddin,Datuk Nash, Aliff Aziz, penyanyi rap Mk K Clique, Shahrul Ridzwan dan ramai lagi.
Malah tidak terkeculi penyanyi diminati ramai terutama di kalangan para wanita iaitu Anuar Zain yang turut menyertai jemaah tabligh dan dilihat sedang menuang air teh tarik kepada para jemaah di sebuah masjid di Selangor. Bahkan dalam video yang tular itu, kelihatan Nabil Ahmad yang meminta penyanyi itu menyanyikan lagu popularnya, Lelaki Ini.
Bukan setakat menyertai jemaah tabligh, dilihat ramai lagi barisan pelakon dan penyanyi popular tanahair yang bersama-sama dengan Ustaz Ebit Lew dalam memberikan sumbangan makanan kepada penduduk gelandangan tanpa mengira latar belakang. Mungkin sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini ketika dalam industri.
Di perkongsian Ustaz Ebit Lew, dapat dilihat ramai artis popular seperti pelakon Zul Ariffin yang bersama-samanya memberi gelandangan makan baru-baru ini. Begitu juga barisan selebriti lain seperti Suffian Suhaimi, Zahiril Adam, Harris Anuar, Khai Bahar, Syafik Farhain, gaming idola anak muda iaitu Soloz dan Daddy Hood, Syafiq Kyle dan ramai lagi.
Kesemuanya sedang berubah ke arah kebaikan dan membantu umat Islam lain dan ternyata di sebalik wabak Covid-19 ini, ada hikmah yang tersembunyi. Berdoalah agar kita juga menerima hidayah sebegini dan andai sebelum ini sudah istiqomah teruskan perjalanan yang baik ini. Di akhirat Allah tidak kenal kita sebagai orang popular di dunia tapi kita dinilai berdasarkan rahmat Allah dan amalan kebaikan kita lakukan semasa hidup.
Bacalah doa ini agar diri kita diberikan hidayah sesuai dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 213 yang bermaksud “Allah memberikan hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki-Nya kepada jalan yang lurus”.
Ini doa memohon hidayah Allah
اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ
“Berilah kami petunjuk kepada jalan yang lurus.” (al-Fatihah: 6)
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon selalu dari-Mu hidayah, takwa, sikap ‘iffah, dan kekayaan.” (HR. Muslim no. 4898)
Di sebalik hidayah, kita juga harus terus beristiqomah dengan jalan pilihan itu. Bacalah doa memohon istiqomah Allah.
“Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (Ali Imran: 8)
Butir-butir kata yang dilontar daripada mulutnya ditambah dengan kelembutan suara, menyejukkan jiwa buat sesiapa yang mendengar. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi.
Keakraban dan kemesraan beliau bersama imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid agak dicemburui. Ramai yang ingin menjadi seperti pasangan merpati dua sejoli ini.
Tidak lokek berkongsi rahsia kebahagiaan, berikut diperturunkan 10 tip untuk mengekalkan kemesraan bersama suami seperti yang diamalkan dalam kehidupan harian beliau.
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya.
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik.
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya.
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.
Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah.
Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah.
Sumber: Sisipan Wanita Oh Wanita, Sinar Harian
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?