Solat subuh sengaja tak baca doa qunut, solat sah tak? Ini penjelasan PU Azman berkaitan bacaan doa qunut di rakaat kedua dalam solat subuh.
Segelintir orang memang tak hafal doa qunut sebab katanya susah, kemudian dirikan solat tanpa doa qunut. Adakah solat mereka sah dan diterima.
Ikuti perkongsian PU Azman di akaun Instagram berkaitan isu ini:
Solat Subuh Sengaja Tak Baca Doa Qunut
Polemik tentang doa qunut yang ramai bertanyakan tentang isu ini. Mudah saja.
Bacaan doa qunut adalah sunat dalam solat Subuh.
Ads
Solat Sah Tak?
Kalau terlupa qunut, disunatkan sujud sahwi. 2 kali sujud sebelum salam. (Mazhab Syafi'i). Solat tetap sah.
Sengaja tinggalkan qunut dan sengaja tak buat sujud sahwi juga tidak membatalkan solat. Kerana kembali kepada asas, semua perbuatan ini hukumnya sunat.
Ads
Ini Penjelasan PU Azman
Cuma, ia merupakan satu kekurangan mengikut disiplin mazhab syafi'i.
Bacaan sujud sahwi :
Ads
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَاَمُ وَلَا يَسْهُو
"Maha Suci Allah yang tak tidur dan tak lupa".
Kashoorga: Semoga Allah menerima segala amalan kita, amin!
Hanya perah lemon terus makan tiram mentah-mentah, ini penjelasan Datuk Dr Mohamad Zulkifli Al-Bakri tentang isu ini.
Memang ramai di antara kita gemar makan tiram. Apatah lagi makanan kayangan ini sukar didapati, jadi bila berpeluang menjamah, pasti tidak akan melepaskan peluang.
Rata-ratanya lebih suka makan tiram mentah-mentah dan hanya menambah sedikit perahan lemon sebelum menyuap ke dalam mulut.
Tidak dinafikan, tiram segar memang sedap dijamah begitu saja. Tapi apa hukumnya kita makan tiram mentah-mentah. Ikuti penjelasan Dr Zulkifli ini,
Baru-baru ini saya melihat kawan saya memakan tiram secara mentah-mentah. Soalan saya, bolehkan tiram dimakan secara mentah-mentah, tanpa perlu dimasak terlebih dahulu? Mohon pencerahan.
Firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu dalam keadaan kamu sedang berihram haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati.
Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya.
Pada asasnya tiram termasuk dalam hidupan air yang halal dimakan tanpa perlu kepada sembelihan. Hal ini kerana ia termasuk dalam keumuman firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”
Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Terlebih dahulu Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa sekiranya ditelan ikan yang masih hidup atau ikan yang masih hidup itu dipotong separuh daripadanya, kemudian dimakan.
Maka dalam perkara ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah makruh dan bukannya haram. Justeru, kemakruhan tersebut berkemungkinan kembali kepada dua sebab iaitu perbuatan memakannya secara hidup-hidup berkemungkinan menyakiti dan menyeksanya, atau kerana memakannya secara mentah-mentah tanpa dimasak.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, memakan daging secara mentah telah menjadi khilaf di antara para ulama kepada dua pendapat.
Pertama, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah harus. Kedua, mereka yang berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh.
Pendapat yang memakruhkan ini, di antaranya merupakan pendapat sebahagian ulama Hanbali seperti yang dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Sya‘riyyah yang menyatakan bahawa makruh makan daging mentah atau yang tidak dimasak.
Sedangkan pendapat yang kedua yang menyatakan harus pula adalah berdasarkan pendapat al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf yang menukilkan pendapat Imam Ahmad yang mengatakan, tidak mengapa memakan daging yang mentah.
Pendapat ini adalah pendapat yang rajih kerana tiada nas yang mengharamkannya dan merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanbali.
Maka ia menepati kaedah:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus.”
Selain itu, Imam al-Nawawi juga pernah ditanya mengenai hukum memakan daging mentah dan beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah harus.
Sekalipun begitu, perkara ini juga perlu dilihat berdasarkan kesihatan. Dari segi perubatan, pakar kesihatan menyarankan agar makanan mentah hendaklah dimasak bagi mengelakkan keracunan makanan.
Hal ini kerana daging mentah mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacer yang mungkin menyebabkan simptom loya, muntah, cirit birit, demam dan sakit kepala. Bahkan memakan daging mentah boleh mendatangkan bahaya dan penyakit bawaan makanan.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa memakan tiram secara mentah-mentah adalah makruh. Namun, jika ia boleh memudaratkan kesihatan serta boleh membawa kepada keracunan makanan, maka hukumnya adalah haram.
Firman Allah:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.
Makan di restoran bukan islam tanpa ragu. “Rupanya masih ramai yang keliru antara bersih dan halal.’ Malah dengan bangga berkongsi momen tersebut di media sosial tanpa segan silu.
Ikuti perkongsian Dzuriasikim Dzulkefli ini dan hadam baik-baik apa yang disampaikan:
Masyallah rupanya masih ramai yang keliru antara bersih dan halal. Hinggakan banyak orang Islam suka makan di gerai mahupun kedai makan dan restoran terkenal bukan Islam tanpa ragu. Yang membawa anak kecil disuapkan juga makanan itu kepada anak-anak.
Saya berfikiran terbuka dan berkawan dengan pelbagai bangsa serta agama. Saya sendiri juga adalah dari keturunan Cina. Namun saya merasakan kita perlu mendidik dan memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang pengertian bersih dan halal kepada ahli keluarga dan anak-anak.
Saya mohon maaf kepada penggemar Kuetiau goreng (Char Kueh Teow), Rojak, Cendol yang menjadi tarikan utama di sesetengah negeri hinggakan yang pergi bercuti meletakkan perkara ini antara yang utama untuk berkunjung ke negeri-negeri ini.
1. Bersih persekitarannya. Bersih cara penyediaan. Belum tentu suci untuk dimakan.
2. Suci bermaksud kerana cara orang Islam membersihkan diri dari najis dan kotoran adalah berbeza. Dan ini ialah perkara asas. Jadi didiklah anak-anak juga tentang ini dengan jelas.
Ia bermaksud, seperti contohnya membersihkan diri dari najis membuang air besar. Ada bangsa bukan Islam masih menggunakan tisu sahaja. Begitulah bagi yang belum mengetahui.
Ada banyak komen yang memarahi saya bila saya sebutkan cara membersih najis ini. Katanya orang bukan Islam membersihkan najis dengan cara begini yang mana ianya juga dibolehkan dalam Islam.
Istinjak bagi orang Islam ada cara dan hukumnya. Yang mana orang bukan Islam tidak mengamalkan hukum Istinjak ini.
Cara beristinjak paling afdhal di dalam Islam adalah menggunakan kedua-dua alat bersuci iaitu bahan kesat seperti batu dan tisu, kemudiannya barulah dibasuh dengan air tanpa tangan menyentuh dubur.
Hal ini kerana, ‘ain najis akan dihilangkan dulu dengan bahan kesat, kemudian sisa-sisa kesan najis akan dibersihkan pula dengan basuhan air.
Oleh itu, tangan tidak akan terkena najis dan ia dapat dihilangkan dengan berkesan. Jika berkemampuan untuk melakukannya, sebaiknya kita mengamalkan cara yang afdhal dalam beristinjak seperti ini dalam kehidupan kita.
Sekaligus ia menafikan persepsi negatif terhadap cara istinjak dalam ajaran Islam.
FirmanNya dalam al-Quran:
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. – (Surah al-Baqarah: 222)
Begitu juga, Rasulullah SAW menerangkan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman. Rasulullah SAW bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Kebersihan sebahagian daripada iman.
Hadith riwayat Muslim: 223
3. Benar. Bekas yang digunakan untuk penyediaan makanan boleh jadi bersih. Tetapi belum tentu suci. Bukanlah kerana orang bukan Islam berniat jahat.
Tetapi kefahaman suci itu sendiri (mengikut garis panduan Islam) bagi orang bukan Islam – adalah terbatas. Bagi mengelakkan kita makan makanan dari bekas-bekas ini, janganlah makan di tempat begini.
4. Orang Islam membasuh makanan berdarah sebelum dimasak dengan cara tidak sama. Kita basuh bersih, bilas (toskan), selawat. Manakala selawat bukanlah hal yang wajib.
Hanya saya sebutkan sebagai perbezaan bagaimana orang Islam membersihkan makanan sebelum dimasak.
5. Halal tidaklah bermaksud asalkan dia masak ikan, udang, sotong, kerang yang boleh dimakan. Kerana makanan begini tidak perlu disembelih. Halal lebih jauh pengertian dari ini. Belajarlah.
6. Halal dan suci juga tidak bermaksud apabila dekat kedai itu ada ramai orang bertudung duduk makan, jadi kita pun boleh ikut makan.
7. Ada orang mempertikaikan, kadang kedai orang Islam lebih tidak bersih berbanding dengan kedai orang bukan Islam. Persekitaran yang bersih, kedai yang cantik dan moden, makanan yang dihias cantik, tidak menjamin halal dan suci untuk dimakan.
Tiada menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.
Tetapi adalah afdhal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda memberi peringatan kepada umatnya:
لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ
Maksudnya: Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa. – Riwayat Abu Daud (4832)
Melainkan jIka tidak kamu berada di tempat di mana kita sudah tidak ada pilihan yang lain. Pilihlah makanan dari sumber yang baik-baik kerana ia akan menjadi darah dan daging kita.
Kashoorga: Berfikiran terbuka itu tak salah tapi jangan terlalu terbuka dalam bab halal dan haram.
Dalam dunia hari ini, saman fitnah bukan lagi sesuatu yang asing. Fitnah tidak hanya tersebar dari mulut ke mulut, tetapi kini mampu menular sepantas kilat melalui media sosial dan platform digital. Sekali nama seseorang dijatuhkan, reputasi yang dibina bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata.
Disebabkan fenomena ini juga, semakin banyak kes saman fitnah dilakukan bukan sahaja dalam kalangan ahli politik atau usahawan, tetapi juga individu biasa. Maka timbul persoalan pentingapakah hukum saman fitnah dari perspektif syarak?
Fitnah dalam Islam merupakan dosa besar yang sangat berat. Perbuatan fitnah termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah S.W.T selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Justeru, setiap Muslim wajib berhati-hati dalam menyebarkan berita, apatah lagi jika ia belum pasti kesahihannya.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, Akta Fitnah 1957 membenarkan individu yang difitnah menuntut ganti rugi bagi kerosakan reputasi. Plaintif perlu membuktikan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah, merujuk kepadanya, dan telah disebarkan kepada pihak ketiga. Jika terbukti, mahkamah boleh mengenakan ganti rugi terhadap pemfitnah mengikut budi bicara.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam perbahasan hukum Islam, saman fitnah boleh dikaitkan dengan mudarat maknawi iaitu kerosakan yang tidak berbentuk fizikal seperti kehormatan dan maruah seseorang.
Ulama silam berbeza pandangan. Jumhur ulama berpendapat tiada ganti rugi bagi kerosakan maknawi kerana ia tidak boleh dinilai dengan harta. Namun, ulama kontemporari seperti Dr. Wahbah al-Zuhaili berpandangan bahawa pampasan bagi kerugian maknawi adalah diharuskan, kerana Islam menegah segala bentuk kezaliman dan menuntut agar kemudaratan diperbaiki.
Beliau menjelaskan bahawa hakim boleh menjatuhkan denda atau hukuman ta‘zir terhadap pelaku fitnah bagi memulihkan keadilan serta mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati.
Fitnah hari ini tidak lagi sekadar kata-kata di jalanan; ia boleh menjadi senjata media yang merosakkan kerjaya, rumah tangga, dan kehormatan seseorang. Maka, saman fitnah menjadi salah satu cara yang sah dari segi syarak untuk menuntut hak dan menegakkan keadilan.
Tindakan ini bukan bertujuan membalas dendam, tetapi sebagai pendidikan moral agar masyarakat lebih berdisiplin dalam menjaga tutur kata dan tidak meremehkan dosa fitnah. Ia juga bertepatan dengan maqasid syariah — menjaga maruah (hifz al-‘ird) dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Secara kesimpulannya hukum saman fitnah menurut syarak adalah harus, berdasarkan pandangan ulama kontemporari. Ia termasuk dalam usaha menegakkan keadilan, mendidik masyarakat agar tidak memandang ringan dosa fitnah, serta memelihara kehormatan insan.
Ingatlah, lidah dan jari yang menulis boleh menjadi asbab seseorang mendapat dosa yang berpanjangan. Maka berhati-hatilah dalam setiap perkataan, sama ada di dunia nyata atau di alam maya.
“Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.