
Apabila keluar makan bersama rakan-rakan, setiap orang biasanya akan memesan makanan dan minuman yang berbeza mengikut cita rasa masing-masing.
Pada akhir sesi, kebiasaannya hanya seorang sahaja yang akan mendahulukan bayaran untuk keseluruhan pesanan.
Selepas itu, rakan-rakan lain akan membayar semula bahagian masing-masing kepada individu yang telah mendahulukan wang tersebut.
BACA JUGA: Self-Reward Bagus Untuk Emosi, Namun Ada Batasnya Menurut Islam
Amalan ini lebih dikenali sebagai split bill, iaitu membahagikan jumlah bayaran secara adil mengikut pesanan setiap individu.
Dalam konteks semasa, ia sudah menjadi satu norma sosial yang diamalkan secara meluas di seluruh dunia.
Malah, split bill bukan sekadar soal wang, tetapi turut mencerminkan nilai amanah, keadilan dan tanggungjawab dalam perhubungan sesama manusia.
Namun begitu, dalam kehidupan hari ini, ada yang berasa serba salah. Adakah meminta semula wang yang telah didahulukan itu dianggap berkira? Atau adakah membiarkan rakan mendahulukan bayaran tanpa segera membayarnya semula boleh dianggap tidak adil?
Hakikatnya, setiap harta yang dimiliki oleh orang lain tetap menjadi haknya selagi tidak dihalalkan.
Dalam soal ini, Islam sangat menitikberatkan amanah dan tanggungjawab dalam urusan harta. Jika seseorang menggunakan wang rakannya, maka dia wajib memulangkannya semula kecuali jika rakannya itu dengan rela hati menghalalkan atau niat untuk belanja.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.”
Riwayat al-Bukhari (2387)
Hadis ini memberi peringatan jelas bahawa soal hutang, walaupun kecil, tidak boleh dipandang ringan.
Dalam konsep split bill, hukum asalnya adalah harus. Namun, bahagian yang telah didahulukan oleh rakan itu tetap dikira sebagai hutang yang perlu dilunaskan dan wajib untuk melangsaikannya. Jangan kerana nilainya kecil, kita menganggapnya remeh. Dibimbangi perkara yang tidak diselesaikan di dunia akan menjadi beban pada kemudian hari.
Berbeza pula keadaannya jika seseorang itu dengan ikhlas mahu belanja dan tidak meminta bayaran semula. Jika itu berlaku atas kerelaan dan ihsan dirinya sendiri, maka tiada isu. Namun, jangan pula kita mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain.
Ketika keluar makan beramai-ramai, setiap orang sepatutnya bijak berbelanja mengikut kemampuan sendiri. Sedarlah had bajet masing-masing dan jangan memesan melebihi kemampuan hanya kerana orang lain yang mendahulukan bayaran. Jika ada rakan yang membayar dahulu, segerakanlah membayar semula bahagian anda walaupun dia tidak mendesak atau menuntutnya.
Begitu juga jika ada rakan yang mahu belanja, berpada-padalah ketika membuat pesanan.
Elakkan memilih makanan atau minuman yang terlalu mahal sehingga boleh membebankan dirinya.
Menghargai kebaikan orang lain juga sebahagian daripada adab dalam persahabatan.
Kesimpulannya, split bill bukanlah tanda seseorang itu kedekut atau terlalu berkira.
Sebaliknya, ia adalah satu bentuk keadilan dan tanggungjawab agar tiada sesiapa yang terbeban secara kewangan. Hubungan persahabatan juga akan lebih terjaga apabila tiada rasa tidak puas hati atau persengketaan dalam soal wang.
Biarlah dilihat berkira di dunia, asalkan tidak dituntut di akhirat kelak.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







