
‘Suamiku Anak Mak’ buka mata ramai, isteri berhak ke tolak tinggal sebumbung dengan mentua? Ini penjelasan mufti.
Drama Suamiku Anak Mak lakonan Emma Maembong dan Keith Foo semakin mencuri perhatian menerusi konflik rumah tangga Zaraa dan Haris yang sering diganggu campur tangan ibu mentuanya, Mak Leha.
Lebih menyentuh emosi, Zaraa terpaksa berdepan pelbagai tekanan apabila suaminya terlalu mengutamakan kehendak ibu sehingga mengabaikan perasaan dan hak isterinya.
Situasi ini turut menimbulkan persoalan, adakah seorang isteri wajib tinggal bersama keluarga mentua sekiranya itu kehendak suami?
Persoalan ini bukan sahaja menjadi perbincangan dalam kalangan penonton drama, malah turut berkait rapat dengan hak isteri dalam Islam, khususnya apabila melibatkan tempat tinggal, privasi dan tanggungjawab suami selepas berkahwin.
BACA JUGA:Sokong Kempen Free Palestine, Shawn Mendes Ajak Rakan Artis Berani Bersuara
Suamiku Anak Mak: Isteri Berhak Mendapat Tempat Tinggal Sendiri
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Hukum Siri Ke-618, menyediakan tempat tinggal yang sesuai merupakan antara tanggungjawab wajib seorang suami terhadap isterinya.
Majoriti ulama berpandangan bahawa suami perlu menyediakan kediaman khusus untuk isteri tanpa perlu berkongsi rumah dengan ahli keluarga suami.
Ini kerana tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi menjaga keselamatan, privasi dan keharmonian rumah tangga.
Malah, isteri dibolehkan untuk tidak tinggal sebumbung dengan ibu bapa suami sekiranya dia tidak bersetuju dengan aturan tersebut.
Bagaimanapun, kewajipan menyediakan tempat tinggal perlu mengambil kira kemampuan kewangan suami.
Dalam hal ini, kediaman yang disediakan tidak semestinya sebuah rumah yang dibeli sendiri. Apa yang penting, tempat tinggal tersebut bersesuaian dengan kemampuan suami serta memenuhi keperluan asas dan hak isteri sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak.
Perkara ini juga menunjukkan bahawa hak tempat tinggal bukan sekadar menyediakan tempat untuk berteduh, tetapi turut melibatkan ruang peribadi yang membolehkan pasangan menjalani kehidupan rumah tangga dengan lebih selesa.

Tidak Salah Tinggal Bersama Mentua Jika Isteri Reda
Islam tidak melarang pasangan suami isteri tinggal bersama ibu bapa atau keluarga mentua.
Sekiranya isteri reda dan bersetuju, perkara itu dibolehkan dengan syarat hubungan kekeluargaan terpelihara serta tidak mendatangkan kemudaratan.
Namun, dalam penjelasan Al-Kafi #1749, Mufti Wilayah turut menekankan bahawa rasa tidak selesa semata-mata perlu ditangani secara berhemah dan tidak semestinya mewajibkan suami membeli rumah baharu di luar kemampuannya.
Penyelesaian seperti menyewa kediaman yang bersesuaian atau berbincang mencari jalan tengah boleh dipertimbangkan bersama.
Dalam keadaan tertentu, pasangan mungkin memilih untuk tinggal bersama keluarga mentua atas faktor kewangan, kesihatan ibu bapa atau keperluan menjaga ahli keluarga.
Bagaimanapun, persetujuan dan keselesaan kedua-dua pihak tetap penting supaya keputusan tersebut tidak menimbulkan tekanan atau perselisihan yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri.
Suami juga perlu memahami bahawa persetujuan isteri untuk tinggal bersama mentua bukan bermaksud perasaan dan privasinya boleh diabaikan.
Berbakti Kepada Ibu, Jangan Abaikan Hak Isteri
Seorang anak lelaki tetap mempunyai tanggungjawab untuk menghormati, menyayangi dan menjaga kebajikan ibunya meskipun sudah berkahwin.
Namun, tanggungjawab tersebut tidak sepatutnya menyebabkan hak isteri diketepikan.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
Justeru, suami perlu bijak mengimbangi tanggungjawab terhadap kedua-duanya tanpa membiarkan konflik berpanjangan.
Dalam kehidupan berumah tangga, menghormati ibu dan menjaga kebajikan isteri bukanlah dua tanggungjawab yang perlu dipertentangkan.
Seorang suami masih boleh berbakti kepada ibu bapanya walaupun tinggal berasingan, sama ada dengan menziarahi mereka, membantu dari segi kewangan mengikut kemampuan atau memastikan keperluan mereka tidak terabai.
Pada masa sama, isteri juga berhak mendapat layanan yang baik, perlindungan dan ruang untuk membina kehidupan rumah tangga bersama suaminya.

Konflik Suamiku Anak Mak Jadi Pengajaran Buat Pasangan Berkahwin
Konflik yang dipaparkan menerusi drama ini memperlihatkan bagaimana campur tangan keluarga boleh menjadi cabaran besar apabila suami gagal menetapkan keseimbangan antara tanggungjawab terhadap ibu dan isteri.
Walaupun kisah Zaraa, Haris dan Mak Leha merupakan penceritaan drama, isu yang diketengahkan cukup dekat dengan situasi yang mungkin dihadapi sesetengah pasangan dalam kehidupan sebenar.
Sebab itu, soal tempat tinggal sebaiknya dibincangkan secara terbuka sebelum atau selepas berkahwin supaya kedua-dua pihak memahami keperluan, kemampuan dan harapan masing-masing.
Jika timbul perselisihan, perbincangan secara baik dan mendapatkan pandangan pihak yang berautoriti dalam hal ehwal agama boleh membantu pasangan mencari penyelesaian yang lebih adil.
Pengajaran daripada drama Suamiku Anak Mak ini cukup dekat dengan realiti kehidupan. Menghormati ibu bukan bererti membiarkan isteri terluka, manakala menjaga hak isteri pula bukan bermaksud membelakangkan ibu.
Kedua-duanya mempunyai kedudukan dan hak yang perlu dipelihara dengan penuh hikmah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Sumber rujukan:
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan – Irsyad Hukum Siri Ke-618: Definisi Nafkah Tempat Tinggal Bagi Isteri
- Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan – Al-Kafi #1749: Hak Isteri Berkaitan Nafkah Tempat Tinggal
- Astro – Suamiku Anak Mak

sekarang ya?

