
Dugaan besar menimpa arena sukan tanah air apabila atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, diuji dengan ujian yang meruntun jiwa.
Selepas berhempas-pulas diselamatkan akibat kemalangan ngeri, tangan kanan badang muda kebanggaan negara ini terpaksa dipotong paras atas siku.
Berita duka itu disahkan sendiri oleh Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, selepas pembedahan rumit yang memakan masa lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selesai.
Demi Selamatkan Nyawa Yang Lebih Utama
Menurut Datuk Ayub, pihak pasukan perubatan telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan tangan atlet berusia 22 tahun itu.
Namun, kekangan serius pada sistem saraf dan salur darah yang tercedera parah menjadikan keadaan tidak lagi mengizinkan, sekali gus memaksa keputusan sukar dibuat demi kelangsungan nyawa Hafizuddin.
BACA JUGA:Sokong Kempen Free Palestine, Shawn Mendes Ajak Rakan Artis Berani Bersuara
“Udin selesai menjalani pembedahan lebih tujuh jam tadi di HKL. Doktor cuba menyelamatkan tangannya.
Tetapi tangan kanannya terpaksa dipotong paras atas siku yang mungkin mengancam nyawanya,” ujar beliau ketika dihubungi media.
Terdahulu, Hafizuddin atau mesra dengan panggilan Udin dilaporkan terbabit dalam satu kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil sekitar jam 11 malam, sebelum beliau terpaksa ditidurkan bagi membolehkan rawatan intensif serta pembedahan dijalankan.
Kilauan Emas & Jasa Hafizuddin Roslin Buat Negara
Buat peminat sukan tanah air, nama Muhammad Hafizuddin bukanlah asing lagi.
Atlet kelahiran Perlis ini pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila merangkul pingat emas dalam kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Lebih manis lagi, beliau turut melakar sejarah membanggakan dengan mencipta rekod kebangsaan baharu bagi acara snatch menerusi angkatan seberat 162kg, di samping memecahkan rekod baharu Sukan Komanwel dalam kategori berkenaan dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg.
Doa Seluruh Rakyat Malaysia Buat Hafizuddin Roslin
Ujian ini pastinya amat berat untuk dipikul oleh Hafizuddin dan ahli keluarga tercinta yang kini setia menemani di HKL.
Pihak PABM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) turut tampil memberikan sokongan moral yang padu, termasuklah penyediaan khidmat kaunseling bagi membantu atlet kesayangan ramai ini mendepani fasa-fasa sukar dalam kehidupannya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

