
Dalam lafaz taklik pengantin lelaki akan menyebut lafaz ini sebaik selesai akad nikah. Setiap negeri lafaznya berbeza-beza. Di Selangor, lafaznya adalah seperti berikut .
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”
Dalam melayari alam rumahtangga, tidak semua bahagia. Ada diuji dengan jatuh sakit, berjauhan kerana kerja, diuji bertemu cinta pertama, curang serta lain-lain masalah.
Tapi satu yang harus difahami suami isteri dalam hubungan intim khususnya, apabila suami meninggalkan hubungan badan selama setahun, isteri boleh pergi ke Mahkamah Syariah untuk menuntut fasakh.
Ramai isteri mungkin tidak menyedari hal ini kerana hati mereka disakiti. Menurut jurnal diterbitan oleh Mahkamah Syariah, isteri berhak menuntut fasakh atas hal nafkah batin ini.
Bagaimana seseorang boleh memohon Fasakh?
Jawapan :- Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :
a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
Bila Hati Mulai Membenci Pasangan, Ini Nasihat Mufti Untuk Suami Isteri

Perkahwinan adalah penyatuan jiwa dua individu berbeza. Awalnya memang agak susah untuk menerima semua kekurangan pasangan namun ia berlalu mengikut masa. Kata orang, lima tahun pertama adalah ujian dan apabila berjaya memasuki fasa ini, kita akan mulai mengenai sifat pasangan. Tapi bagaimana jika hati semakin tawar, adakah dibolehkan meminta cerai? Ini penjelasan dari Mufti Pulau Pinang mengenai isu ini.
Assalamualaikum Tuan Mufti,
Saya sudah berumahtangga lebih 11 tahun dan Alhamdulillah, sudah dikurniakan 3 org anak. Namun sejak setahun lepas isteri sudah berubah hati dan kerap menyatakan dia mahu bercerai. Saya sudah ikhtiar pelbagai cara termasuklah hadir ke sesi kaunselling untuk perbaiki keadaan kerana sejujurnya saya tidak tahu apa kesalahan syarak yang telah saya lakukan. Isteri juga tak mampu memberi jawapan apabila ditanya oleh pelbagai pihak termasuklah dari pihak keluarganya sendiri, cuma dia hanya beritahu dia sudah tawar hati dan tak mahu teruskan hidup dengan saya dan tidak boleh nak taat pada saya lagi.
Saya terus bersabar dan cuba menasihati isteri dan terus istiqamah mengajak kepada kebaikan bersandarkan dalil-dalil yang terdapat dalam Quran dan Hadis namun sehingga kini isteri tetap berkeras dan sering membuat saya berkecil hati dan kecewa dengan kata-katanya dan perbuatannya.
1) Saya ingin bertanya, bila manakah seorang suami harus mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya dan berlepas diri setelah pelbagai nasihat dan usaha telah dilakukan namun isteri tetap ingkar dan nusyuz?
2) Saya ada membelikan isteri barang kemas sebelum ini. Bolehkah saya meminta isteri memulangkan semula barangan tersebut kerana penceraian ini adalah kemahuannya dan kerapkali dia berlaku nusyuz terhadap saya. Apakah dibolehkan permintaan sebegini mengikut Islam?
JAWAPAN:-
Wa’alaikumussalam wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Perkahwinan merupakan sebuah ikatan suci yang memberi pelbagai nikmat disertai amanah dan tanggungjawab. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan nilai keagamaan dalam setiap individu muslim, seperti sabda Baginda SAW:-
إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي
Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki. (Riwayat al-Baihaqi, 5486; al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat, 7647).
Namun begitu, sebagai manusia biasa kita tidak dapat menafikan wujudnya pasang surut dalam setiap perhubungan. Bak kata pepatah sedangkan lidah lagi kan tergigit. Tiada pasangan yang tidak menghadapi masalah. Langit tidak selalunya cerah. Pasti akan ada cabaran dan masalah yang mendatang. Justeru, kita sebagai muslim yang beriman kepada Allah SWT hendaklah berusaha menanganinya dengan sebaik mungkin. Terutama sekali sebagai seorang suami yang menggalas tugas ketua keluarga, dia persis nakhoda yang mengemudi bahtera rumahtangga maka hendaklah mahir mengemudinya berdasarkan kompas Ilahi dan sunnah Nabi.
Tatkala seorang lelaki muslim yang telah di ijab kabulkan dengan lafaz akad yang sah, maka tertanggunglah ke atasnya hak-hak isterinya yang menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik dan penuh amanah. Semuanya itu akan dihisap di hadapan Rabbuljalil di mahsyar nanti.
Antara tanggungjawab suami terhadap isteri ialah:-
1. Suami dituntut untuk melayani isterinya dengan baik dan bersabar dengan kelemahan yang ada padanya, ini berdasarkan firman Allah SWT:-
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
Rasullullah SAW juga bersabda:-
إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya daripada orang beriman yang paling sempurna ialah yang paling baik akhlaknya dan yang paling mesra melayan ahli keluarganya..(Riwayat al-Tirmizi, 2612)
2. Suami juga hendaklah menjaga kemuliaan isteri dan tidak menghinanya, dan berlaku baik padanya seperti yang ditunjuk oleh baginda Nabi SAW:-
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي
Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.(Riwayat Ibn Majah, 1977; Riwayat al-Tirmizi, 3895)
Dicatatkan juga dalam kitab Nizomul Usrah Fil Islam karangan Dr. Muhammad Uqlah:-
ما أَكْرَمَ النساءَ إلا كريمٌ، ولا أهانهن إلا لئيمٌ
Maksudnya: Bukan (suami) yang memuliakan wanita (isteri) itu melainkan dia seorang yang mulia, dan bukan yang menghinanya melainkan dia seorang yang keji. (Lihat Nizomul Usrah Fil Islam, hlm. 51)
3. Ulama bersepakat bahawa nafkah isteri juga wajib ke atas suami, hal ini berdasarkan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:-
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.(Surah Al-Nisa’: 34)
Ayat ini menunjukkan bahawa suami dipertanggungjawabkan untuk memberi dan menyediakan nafaqah. Daripada Jabir RA, katanya:-
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَإِنَّ لَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَمْ تَضِلُّوا إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah. (Riwayat Muslim, 1218; Rujuk Al-Feqh Al-Manhaji, jilid 2 hlm. 171)
Di samping itu terdapat juga tanggungjawab bersama antara suami isteri yang tidak boleh dipandang remeh, seperti menjaga rahsia rumah tangga, mendidik anak-anak, menjaga kebersihan masing-masing, dan lain-lain. Dengan memenuhi kewajipan-kewajipan yang ditetapkan dengan sebaiknya hubungan perkahwinan tersebut akan lebih harmoni dan bahagia.
Walaubagaimanapun, kadangkala terdapat suami, isteri atau salah seorang daripada mereka yang tidak mematuhinya. Keadaan ini menyebabkan wujudnya perasaan benci di antara mereka. Ia berlaku sama ada dizahirkan atau hanya dipendam di dalam hati. Namun sekiranya pasangan memandam rasa perkara ini akan lebih sukar jika masing-masing tidak mahu berterus terang dan berusaha mencari jalan perdamaian. Apabila ia terjadi dan pelbagai usaha telah dilakukan namun masih tidak menemui titik pertemuan dan penyelesaian, maka hukum syarak menyediakan jalan keluar dengan keharusan untuk pernikahan dibubarkan tanpa mensia-siakan hak kedua-dua pasangan. Firman Allah SWT:
وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا
Maksudnya: Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurnia-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Bijaksana.(Surah An-Nisa’: 130)
Pembubaran pernikahan atau talak merupakan salah satu cara dan jalan terakhir bagi pasangan suami isteri memilih haluan masing-masing untuk berpisah. Akan tetapi ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan hanya untuk memuaskan hawa nafsu dan perasaan benci, ini kerana Rasullullah SAW pernah bersabda;
أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ
Maksudnya: Perkara yang halal yang amat dibenci oleh Allah SWT ialah talak.
(Riwayat Abu Daud, 2178; Ibn Majah, 2018)
Kesimpulannya, berdasarkan persoalan yang diajukan penceraian boleh dilaksanakan jika sudah tiada lagi usaha yang dapat dilakukan untuk memulihkan keadaan dan hubungan suami isteri serta persefahaman untuk hidup bersama antara keduanya tidak lagi dapat dicapai. Mungkin dengan penceraian merupakan solusi terbaik untuk merungkai segala konflik dan tidak berterusan berada dalam keadaan yang tidak menentu. Hanya Allah SWT yang maha mengetahui perkara yang baik-baik daripada yang tidak baik dan kepada-Nya dikembalikan semua perkara.
Dinasihatkan kepada saudara yang bertanya agar tidak membuat keputusan untuk melafazkan talak secara terburu-buru tetapi merujuklah terlebih dahulu kepada Mahkamah Syariah Pulau Pinang agar masalah ini dapat dirujuk dalam majlis sulh dan dimurnikan dengan baik tanpa perpisahan demi menjaga ikatan suci yang telah terbina sejak 11 tahun dan demi anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang keduanya.
Untuk persoalan yang kedua berkaitan permintaan semula barangan kemas yang telah diberikan kepada isteri kerana isteri sendiri yang mahukan penceraian, maka masalah ini dapat diselesaikan dengan kaedah khulu’ ataupun tebus talak. Ia merupakan talak atau penceraian yang berlaku dengan kemahuan isteri serta nekad untuk bercerai. Oleh itu, si isteri disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya dengan memberinya suatu kadar mas kahwin yang dipersetujui bersama.
Khulu’ atau tebus talak adalah daripada jenis penceraian yang berlaku dengan gantian yang diserahkan oleh isteri kepada suaminya. Firman Allah SWT:-
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ
Maksudnya: Jika kamu khuatir bahawa kedua-duanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)(Surah Al-Baqarah: 229)
Begitu juga hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasullullah SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةَ ثَابِتِ بْنِ قِيسٍ أَتَتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلَا دِينٍ وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الْكُفْرَ فِي الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ؟» قَالَتْ: نَعَمْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اقْبَلِ الْحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً»
Maksudnya: Isteri Thabit bin Qais telah bertemu dengan Rasulullah dan berkata: ”Wahai Rasulullah! Saya tidak mencela Thabit bin Qais dari segi perangai dan pegangan agamanya, tetapi saya tidak menyukai kufur setelah memeluk Islam. Sabda Rasulullah SAW: “Adakah engkau bersedia mengembalikan kebunnya yang telah diberikannya kepadamu sebagai mas kahwin? “Jawab isteri Thabit bin Qais: “Ya!“, Sabda Rasulullah (kepada Thabit bin Qais): “Terimalah kembali kebun itu dan ceraikanlah dia dengan satu talak.” (Riwayat Al-Bukhari, 4971)
Hukum khulu’ adalah harus dan ia tidak berlaku melainkan tebusan yang berbentuk harta yang ditetapkan oleh isteri kepada suami. Jika harta tebus talak itu dimaklumi dan disebut, ia wajib diserahkan sedemikian.
Jika suami menceraikan secara khulu’, isteri berkuasa menguruskan dirinya sendiri. Suami tidak lagi mempunyai sebarang kuasa terhadapnya dan tidak boleh rujuk kepadanya dalam tempoh ‘iddah, sebagaimana talak biasa. Ini kerana khulu’ merupakan talak yang tidak boleh dirujuk (بائن). Sehubungan dengan itu, suami hanya boleh memiliki jandanya semula dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru dan terpulanglah kepada kemahuan janda tersebut. (Rujuk Al-Feqh Al-Manhaji, jilid 2, hlmn.121, 122).
Berdasarkan Enakmen Undang-undang keluarga Islam Negeri Pulau Pinang Seksyen 49. Perceraian khulu’ atau cerai tebus talak. Ia menetapkan bahawa jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talak, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah bain-sughra atau tak boleh dirujukkan.
Kami mendoakan supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin agar tiada pihak yang akan dizalimi haknya. Ikhtiarkanlah juga dengan amalan ruqyah syar’iyyah moga dapat dihindari sihir dan gangguan yang bersifat rohani, jika ada. Kita berikhtiar, Allah SWT jualah penyembuhnya.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahu’aklam.
Suami, Sentiasalah Sentuh Isteri

Sentuhan seorang suami terhadap isterinya mempunyai manfaat luar biasa dari segi emosional, fizikal mahupun spiritual. Kajian membuktikan, ada banyak manfaat terutama dari segi emosi jika suami sentiasa menyentuh isteri.
Sayangnya, sebahagian besar suami merasakan hal ini tidak penting. Mereka hanya menyentuh isteri ketika berada di bilik tidur saat menunaikan hajat dan selebihnya tidak melakukan perbuatan ini kerana menganggapnya tidak penting sama sekali.
Hasil penelitian, berikut adalah enam kebaikan diperoleh di sebalik suami menyentuh isteri.
- Mulakan sentuhan kasih sayang ini di pagi hari. Biasakan menepuk lembut di pipi isteri saat membangunkannya untuk tahajud bersama-sama. Atau boleh lakukan sentuhan dengan memeluknya agar bersama-sama bangun awal pagi. Saat itu, suami boleh ke masjid untuk solat Subuh atau berjemaah bersama isteri. Selesai semuanya, isteri boleh menguruskan keperluan normanya seperti menyediakan sarapan pagi dan sebagainya sementelah suami bersiap ke pejabat.
- Dalam sehari, hantarlah ucapan-ucapan indah untuk isteri seperti anda menyayanginya dan mendoakan agar dirinya diberi kesihatan yang baik sementara kita belum pulang dari kerja. Ini menunjukkan anda suami yang prihatin dengan dirinya.
- Sentuh emosinya dengan menulis di atas kertas bahawa anda sangat menyintainya sama sekali. Walau hanya sedikit tulisan tapi isteri tahu anda sangat menyayanginya dan dia pasti tertunggu-tunggu kehadiran anda untuk segera dipeluk.
- Ketahui apa disukai isteri. Belikan dirinya makanan atau barang kesukaannya, hatinya pasti berbunga dan terus mencintai anda. Bahkan hubungan rumahtangga juga akan sentiasa mekar dengan kasih sayang. Tak perlu hadiah mahal kerana wanita lebih menghargai apabila emosinya dibajai.
- Suami yang kelelahan saat berada di luar rumah pasti akan memperoleh tenaga kembali jika memeluk isteri sesampainya di rumah.Peluklah isteri dengan hangat, kucup keningnya dan rasakan apa berlaku dalam kehidupan anda.
- Jangan pernah lupa untuk memegang tangan isteri saat berjalan di luar atau ketika duduk di rumah. Ia sebagai tanda anda amat menghargainya dan ia satu tindakan spontan yang isteri amat menyukainya.
Sebenarnya tidak susah untuk menghangatkan kembali rumahtangga yang sudah tidak indah di awal perkahwinan. Apa yang penting suami isteri kena tahu dan carilah cara untuk menawan kembali hati pasangan.
Jodoh Tak Pernah Sesat, Cinta Tak Pernah Menipu. Dari Kawan Sekolah Akhirnya Jadi Mak Tiri

Jodoh itu aturan Allah sejak manusia di luh mahfuz lagi. Ia akan datang bila tiba masa dan saatnya. Ada orang jodohnya lambat, ada cepat dan ada yang tidak tertulis jodohnya kerana sudah menunggu di syurga kerana tiada orang bujang di syurga.
Bila bercerita tentang jodoh, ia berkait rapat dengan soal hati dan perasaan. Bahkan cinta juga agak unik kerana ia buta. Tak hairanlah kita pernah melihat lelaki bujang mengahwini nenek tua, atuk tua jodohnya wanita muda. Bahkan kadang kala pasangan cantik tapi suami atau isterinya tidak seindah di pandangan mata orang lain. Tapi andai cinta itu sudah tercipta, tiada apa yang mustahil.
Begitu juga perkahwinan yang viral di tik tok ini atas nama @Fiithryyyy_22 yang berkongsi kisah kawan baiknya ketika sekolah menengah kini bergelar ibu tirinya. Video ini telah mendapat tontonan ramai sebanyak 22.6 juta orang yang ternyata kagum dengan ikatan ini.
Bahkan selepas kawan sekolahnya ini, Anisa mengahwini ayahnya itu, mereka menubuhkan satu akaun Tik Tok baru atas nama @anisa_fithry dan berkongsi momen-momen indah mereka berdua. Jadi mitos ibu tiri garang sudah jauh ketinggalan.
Kongsi Fiitryyyy_22, Mama tirinya itu baru saja bernikah dengan ayahnya 22 Ogos lalu dan disatukan dalam majlis yang meriah. Tidak kisah kawan baiknya menjadi ibu tirinya, akui Fiitryyy dia gembira kerana mereka sudah menjadi keluarga untuk seumur hidup. Bahkan dari perkongsiannya, dilihat remaja ini tidak kekok sedikit pun untuk memperkenalkan kawan sekolahnya itu sebagai ibunya. Bahkan wajah mereka juga dilihat seakan seiras.
Walau ramai tidak percaya bagaimana dari kawan sekolah tapi berakhir sebagai ibu tiri tapi itulah namanya jodoh. Ia tidak pernah sesat bahkan cinta juga tak pernah menipu.
https://www.tiktok.com/@fiithryyyyy_22/video/7016606084471196955?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id6973624686812366338