
Dalam kehidupan yang sibuk ini, pelbagai cabaran ditempuh setiap individu bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Keadaan ini menyebabkan wujudnya tekanan daripada pelbagai faktor yang akhirnya menyesakkan fikiran.
Namun, sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita juga harus bijak mengawal tekanan yang dihadapi kerana inilah realiti kehidupan pada zaman moden.
Seorang yang bijak akan memandang tekanan yang dihadapi sebagai suatu bentuk ujian yang mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT.
Bahkan, Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya jika seseorang itu tidak mampu untuk menghadapinya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155-156:
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Oleh itu, orang-orang yang beriman seharusnya kembali kepada Allah apabila ditimpa tekanan yang hebat dalam kehidupan.

Mendirikan solat juga merupakan terapi terbaik untuk berdepan keadaan ini. Ia bukan sahaja suatu kewajipan, malah menjadi waktu “rehat” untuk menenangkan diri daripada kesibukan dunia.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Wahai Bilal, iqamatlah untuk solat, agar kami beroleh istirahat dengannya (solat).”
(HR Abu Daud, 4985)
Tekanan yang menyebabkan jiwa tidak tenang juga boleh dirawat dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran atau zikir harian.
BACA JUGA: Rumah Bersepah Boleh Undang Tekanan Jiwa, Ini Kesan Hoarding Disorder Dalam Islam
Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.”
Jika tiada tempat untuk meluah, sebaiknya kita meluah kepada Allah SWT.
Firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 86:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Nabi Yaakub AS yang berada dalam kesedihan juga mengadu kepada Allah, apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang lemah. Ke mana lagi tempat terbaik untuk meluah jika bukan kepada Sang Pencipta.
Namun demikian, jika anda memiliki kewangan yang stabil atau masa yang mencukupi, tidak salah untuk mendapatkan bantuan daripada pakar.

Rujuklah kepada psikiatri atau kaunselor kerana itu merupakan bidang kepakaran mereka. Usaha mendapatkan rawatan juga menunjukkan bahawa anda tidak berputus asa dalam mencari jalan keluar daripada ujian yang dihadapi.
Mungkin melalui ikhtiar ini, hati menjadi lebih tenang dan akhirnya kita mampu reda menerima setiap ketentuan Allah SWT.
Sesungguhnya tekanan hidup bukan tanda Allah meninggalkan kita, sebaliknya ia boleh menjadi jalan untuk kita kembali mendekatkan diri kepada-Nya.
Dalam setiap ujian, sentiasalah meletakkan harapan kepada Allah, memperbanyakkan doa, solat dan zikir, di samping berusaha mendapatkan bantuan yang diperlukan. Mudah-mudahan setiap beban yang ditanggung dipermudahkan, dan setiap hati yang resah dikurniakan ketenangan oleh Allah SWT.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







