SITUASI: Iqbal memerhatikan teman sebiliknya menunaikan solat Subuh pada satu pagi. Dia mendapati bahawa temannya itu tidak membaca doa Qunut semasa rakaat kedua dan tidak melakukan sujud sahwi di
akhir solat. Apabila ditanyakan, temannya hanya tersenyum dan menyatakan bahawa solat tidak batal walaupun meninggalkan doa Qunut dengan sengaja dan tidak melakukan sujud sahwi.
Ustaz Khairul Naim Mansor menghuraikan persoalan ini.
Perkara ini telah dibahaskan oleh para ulama sekian lamanya. Secara ringkas, saya ingin cuba menghuraikan padangan-pandangan ulama tentang perkara ini.
Pertama: Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa ia terus-menerus menjadi sunnah pada solat subuh pada waktu ketika bencana atau tiada berlaku apa-apa. Pendapat ini adalah daripada Imam Malik, Imam Syafie, Ibnu Abi Laila, Hasan bin Solah, Abu Ishaq al-Ghazali dan al-Auza’ie serta ramai lagi. Termasuk juga daripada sahabat yang berpandangan sedemikian seperti Abu Bakar al-Siddiq,Umar al-Khatab, Uthman bin ‘Affan, Ali bin Abi Talib, Ibnu Abbas, Barra’ bin Azib.
Antara dalil yang paling kuat sebagai hujah bagi pandangan ini adalah “Terus-menerus Rasulullah s.a.w qunut pada solat subuh sehingga Baginda wafat.” (Abdul Razzaq dalam Musannaf 3:110 no 4964, Ahmad 3:162 dan banyak lagi).
Namun terdapat beberapa kritikan pada perawinya sehingga dianggap bahawa hadith ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Ini kerana ada juga yang mengatakan Qunut itu mempunyai lebih daripada 10 makna pengertian iaitu doa, khusyuk, ibadah, taat dan lain-lain sebagaimana yang diriwayatkan Ibnu Hajar dan Ibnu Arabi.
Manakala dalam hal waktu solat yang lain ada juga dinyatakan bahawa “tidak ada qunut dalam solat lima waktu kecuali solat subuh. Melainkan jika berlakunya bencana maka dibolehkan dalam semua solat sekiranya imam menyukai.” (al-Umm 1 : 205)
Kedua: Ada di antara mereka seperti Abu Hanifah, Sufian al-Thauri dan lain-lain daripada ulama Kufah yang berpendapat qunut pada solat subuh tidak disyariatkan kerana sudah ter’mansukh’.
Ketiga: Ulama yang berpendapat qunut hanya disyariatkan pada Qunut nazilah dan boleh dilakukan pada solat subuh dan solat-solat lain. Ini merupakan pandangan daripada Imam Ahmad, Al-Laith bin Sa’ad, Yahya bin Yahya al-Laithi dan ahli-ahli fiqh daripada para ulama hadith. Ada juga daripada mereka yang mengatakan tidak ada dalil sahih yang mengkhususkan solat subuh secara terus menerus dan ada riwayat yang menunjukkan qunut subuh disyariatkan daripada perlakuan sahabat yang sahih namun tidak boleh dijadikan pembuktian dalil daripada riwayat tersebut. Ada pun jika ada perlakuan yang jelas daripada mereka ianya pula lemah dan tidak boleh digunakan untuk berhujjah.
Selain itu, Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan bahawa di dalam Zaad al-Ma’ad Qunut tidak disyariatkan terus-menerus. Ini kerana andai ia dilakukan pastinya akan diriwayatkan dengan begitu banyak daripada para sahabat namun ternyata ia hanya diriwayatkan dalam hadith yang lemah. Maka meninggalkannya adalah tidak menjadi kesalahan.
Manakala jika kita mengikut pandangan Mazhab Syafie Qunut subuh dikira sebagai sunat ab’adh kerana selalu dilakukan oleh Nabi s.a.w dan apabila meninggalkannya atau terlupa, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi dan tidak mengapa jika tidak melakukannya. Ini adalah merujuk hadith yang menerangkan keadaan Nabi s.a.w yang melakukan sujud sahwi ketika meninggalkan tahiyat awal. Para ulama meng’qiyas’kan sujud sahwi yang disebabkan terlupa dan dengan meninggalkannya secara sengaja berdasarkan samanya illat (alasan) hukum iaitu terlupa atau lalai (khalal). Justeru itu, meninggalkan Qunut dan tahiyat awal dianggap sama.
Walau bagaimanapun, ada pendapat kecil yang mengatakan bahawa tidak sunat sujud sahwi jika meninggalkan dengan sengaja. Pendapat ini disanggah ulama kerana kelalaian dengan sengaja itu lebih utama untuk diganti dengan sujud sahwi dari sebab lalai atau terlupa.
Ustaz Khairul Naim Mansor merupakan penyunting Al-Quran di Jabatan Penerbitan Al-Quran Karangkraf dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Kesusasteraan, Universiti Yarmouk, Jordan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI