
Orang tua-tua sering berpesan agar tidak tidur dalam keadaan berbogel kerana dikhuatiri mudah diganggu jin. Kepercayaan ini sudah lama berlegar dalam masyarakat sehingga ada yang menganggapnya sebagai satu larangan dalam agama.
Namun, adakah perkara tersebut benar menurut pandangan Islam atau sekadar mitos yang digunakan untuk menakutkan orang ramai?
Pada dasarnya, seseorang dibenarkan memakai pakaian yang dirasakan selesa ketika tidur, termasuk tidak memakai seluar, selagi berada bersendirian di dalam bilik yang tertutup dan auratnya tidak dilihat oleh orang lain.
Begitu juga dengan memakai pakaian yang seksi. Jika anda berpakaian sebegitu untuk tatapan si suami, maka ia adalah digalakkan untuk mengeratkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.
Bagaimanapun, Islam sangat menitikberatkan sifat malu serta adab dalam kehidupan seharian. Oleh itu, memakai pakaian yang sopan dan menutup tubuh ketika tidur adalah lebih baik serta lebih beradab.
Malah, seseorang juga perlu memastikan auratnya sentiasa terpelihara, terutama jika tinggal bersama ahli keluarga, berkongsi bilik atau terdapat kemungkinan orang lain memasuki bilik secara tiba-tiba.
Dakwaan bahawa jin gemar mengganggu individu yang tidur tanpa memakai seluar tidak mempunyai sandaran daripada dalil yang sahih.
Oleh itu, perkara tersebut tidak boleh dianggap sebagai hukum agama atau kepercayaan yang pasti. Ia lebih kepada petua dan kepercayaan masyarakat terdahulu yang diwarisi secara turun-temurun.
Dalam Islam, umatnya diajar supaya tidak terlalu takut kepada jin atau syaitan sehingga mempercayai sesuatu perkara tanpa bukti yang jelas.
BACA JUGA:
Takut Bangun Tahajud Kerana Terbayang Filem Seram, Jangan Biarkan Khayalan Ganggu IbadahSebaliknya, setiap Muslim digalakkan untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT dan mengamalkan adab sebelum tidur seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Antara amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur ialah membaca doa sebelum tidur, membaca tiga surah pelindung iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas serta membaca Ayat Kursi.
Selain itu, seseorang juga digalakkan mengambil wuduk sebelum tidur, mengibas tempat tidur dan berbaring mengiring ke sebelah kanan.
Malah, dalam sebuah riwayat daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: “Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama Allah)” [HR al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat (2504)]
Sebaiknya juga kita mengamalkan bismillah ketika membuka pakaian untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Amalan tersebut bukan sahaja menjadi pelindung dengan izin Allah SWT, malah dapat membantu seseorang tidur dalam keadaan lebih tenang dan mengingati Allah.
Kesimpulannya, kepercayaan bahawa tidur tanpa memakai seluar boleh menyebabkan seseorang diganggu jin adalah tidak berasas kerana tiada dalil sahih yang menyokong dakwaan tersebut.
Walaupun begitu, umat Islam tetap disarankan menjaga kesopanan, menutup aurat dan mengamalkan adab sebelum tidur. Letakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT serta berdoa agar sentiasa dilindungi daripada segala gangguan dan perkara yang tidak baik.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok