Gaya Hidup

Tular Isu Lelaki Berpakaian Seperti Wanita, Islam Tegah Perbuatan Menyerupai Jantina Lain

Share

Fenomena di media sosial hari ini memperlihatkan sempadan antara hiburan dan dosa semakin kabur. Demi mengejar tanda suka, jumlah tontonan dan perhatian ramai, ada kandungan yang dihasilkan tanpa memikirkan batas agama serta kesannya terhadap masyarakat.

Baru-baru ini tular seorang pengguna media sosial yang tampil berpakaian menyerupai wanita, termasuk mengenakan tudung, ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan.

Kemunculannya mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen. Adakah perbuatan tersebut sekadar gurauan dan hiburan, atau sebenarnya sudah melampaui batas yang ditetapkan oleh agama?

Berdasarkan pemerhatian pada akaun media sosial individu berkenaan, dia dipercayai merupakan seorang usahawan dan pernah tampil dengan penampilan serupa ketika membuat siaran langsung bagi menjual barangan di TikTok.

BACA JUGA:“Ini Bukan Soal Fesyen” — Ustazah Asmak Tegur Isu Pekerja Berhijab Disyaratkan Pakai Turban

Bagaimanapun, sebab sebenar dia memilih penampilan tersebut tidak dapat dipastikan. Bahkan keadaan menjadi semakin parah apabila netizen menegur, dia seolah-olah tidak terkesan dengan teguran yang diberikan.

Dalam Islam, lelaki dan wanita dituntut menjaga fitrah, penampilan dan identiti masing-masing. Perbuatan sengaja menyerupai jantina lain telah disebut dalam sebuah hadis.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)

Perkataan laknat dalam hadis tersebut menunjukkan bahawa perbuatan ini bukan perkara kecil yang boleh dijadikan bahan gurauan atau kandungan hiburan semata-mata, tetapi dosa besar.

Ia perlu dipandang serius, terutama apabila dilakukan secara terbuka, berulang kali dan disebarkan kepada khalayak ramai.

Apabila seseorang lelaki tampil dengan imej wanita Muslimah, bercakap dengan lemah lembut, bersopan santun atau menyentuh perkara berkaitan agama, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penonton.

Lebih membimbangkan apabila penampilan sedemikian mula dianggap biasa kerana sering muncul di media sosial.

Normalisasi sesuatu perbuatan boleh menyebabkan masyarakat hilang sensitiviti terhadap batas agama. Lama-kelamaan, perkara yang asalnya dianggap salah boleh diterima sebagai sekadar hiburan.

Pada masa yang sama, imej wanita Muslimah juga tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau alat untuk menarik perhatian. Tudung dan pakaian sopan membawa nilai kehormatan serta menjaga maruah seorang wanita, bukannya sebagai kostum untuk mencetuskan sensasi.

Islam tidak melarang umatnya berniaga, melakukan jual beli atau menghasilkan kandungan untuk membantu menaikkan jualan. Namun, setiap perkara tetap mempunyai batas yang perlu dipatuhi.

Seseorang lelaki khususnya boleh berniaga dalam apa juga bidang yang halal, termasuk menjual kosmetik, pakaian atau barangan berkaitan perkahwinan, tanpa perlu mengubah penampilan sehingga menyerupai jantina lain.

Begitu juga dalam usaha menghiburkan orang ramai. Kreativiti tidak semestinya memerlukan seseorang melanggar batas agama atau mengorbankan maruah diri.

Alasan mencari rezeki tidak boleh digunakan untuk menghalalkan semua cara. Niat yang baik tetap perlu disertai dengan kaedah yang baik dan dibenarkan oleh syarak.

Sebagai pengguna media sosial, kita juga mempunyai tanggungjawab dalam menentukan kandungan yang terus mendapat perhatian.

Setiap tontonan, perkongsian, komen dan tanda suka boleh membantu sesuatu kandungan menjadi lebih meluas.

Oleh itu, elakkan memberi sokongan kepada kandungan yang jelas melanggar batas agama. Teguran pula hendaklah dilakukan dengan ilmu, hikmah dan bahasa yang baik, bukan dengan penghinaan, makian atau membuka aib.

Tujuannya bukan untuk menjatuhkan seseorang, tetapi untuk mengingatkan bahawa populariti dan keuntungan tidak seharusnya mengatasi tuntutan agama.

Rezeki datang daripada Allah SWT. Namun, keberkatan rezeki perlu dicari melalui jalan yang halal, baik dan diredai-Nya.

Justeru, sebelum menghasilkan atau menyokong sesuatu kandungan, tanyalah diri, adakah hiburan tersebut sekadar membuat orang ketawa atau sebenarnya sedang membawa kita semakin jauh daripada batas yang ditetapkan agama?

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah