Hari ini adalah merupakan hari wuquf di Arafah bagi mereka yang berada di Tanah Suci. Hari Arafah adalah hari yang ke sembilan dalam bulan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah SWT serta mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu dan merupakan hari kemuncak ibadah haji.

Puasa sunat pada hari Arafah atau juga dikenali sebagai Hari Wukuf boleh dilakukan oleh umat Islam di Malaysia pada hari Sabtu, 10 Ogos 2019 Masihi bersamaan 9 Zulhijjah 1440 Hijrah. Umat Islam di sunatkan berpuasa sunat Arafah pada tarikh ini memandangkan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji/Aidiladha pada hari Ahad 11 Ogos 2019 .

NIAT PUASA ARAFAH

Sebaik-baik Doa Adalah Doa Di Hari Arafah, 9 Zulhijjah, Hari Doa Paling Mustajab

ARAFAH

Arafah adalah nama salah satu tempat yang semua jemaah haji diwajibkan berwukuf di situ pada hari dan waktu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam sebagai salah satu daripada rukun haji.

Mengikut apa yang disebut dalam Tafsir Al-Qurtubi, terdapat beberapa pendapat ulama mengenai nama tempat itu sebagai Arafah antaranya ialah :-

1. Kerana di tempat itulah manusia berkenal-kenalan di antara satu sama lain pada hari wukuf.

2. Kerana Jibril a.s. telah membawa Nabi Ibrahim a.s. mengelilingi tempat itu dan memperlihatkan kepada baginda segala pemandangannya lalu berkata : “Adakah engkau kenal? Adakah engkau kenal?” Nabi Ibrahim pun menjawab, “Saya kenal. Saya kenal.”

3. Kerana Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa ketika diturunkan dari syurga di tempat yang berasingan, akhirnya mereka bertemu semula dan berkenal-kenalan di antara satu sama lain di tempat itu.

IKLAN

KELEBIHAN HARI ARAFAH

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu, di antaranya ialah :-

  1. Ia merupakan hari kemuncak bagi ibadah haji, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah.” Ertinya, wukuf di Arafah merupakan satu rukun tertentu dalam ibadah haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.

2.  Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hari yang Allah s.w.t. memerdekakan paling ramai hambaNya daripada api neraka ialah hari Arafah, dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka, kemudian Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman, “Apakah yang mereka kehendaki?

Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah taala melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikatNya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah, lantas berfirman, lihatlah kamu kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai, dan berdebu.” (Riwayat Muslim)

3. Ia merupakan hari Allah menyempurnakan agama dan mencukupkan nikmat untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menurunkan ayat 3 surah Al-Maidah pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. berada di Arafah, iaitu, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

IKLAN

4. Ia merupakan hari Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam a.s. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian.

Sebaik-baik Doa Adalah Doa Di Hari Arafah, 9 Zulhijjah, Hari Doa Paling Mustajab

Kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Riwayat Ahmad)

AMALAN SUNAT HARI ARAFAH

Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menggambarkan tentang kemuliaan, kelebihan dan keagungan hari Arafah. Sementara amalan-amalan sunat yang dituntut pada hari Arafah pula antaranya adalah:

1. Berpuasa sunat Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji kerana orang yang berpuasa pada hari itu, akan diampunkan dosanya selama dua tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap bahawa Allah akan mengampunkan dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)

IKLAN

2. Menjaga solat secara berjemaah, memperbanyakkan solat sunat dan qiamulail kerana semua ini merupakan ibadah-ibadah yang paling afdal bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana sesungguhnya tiap-tiap kali engkau bersujud kepada Allah, Allah akan mengangkatkanmu dengan sujud itu satu darjat dan menghapuskan daripadamu satu kesalahan.” (Riwayat Muslim)

3. Memperbanyakkan doa dan zikir, kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah”  Oleh itu, perbanyakkanlah doa pada hari itu untuk mendapat keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka, serta memperbanyakkan berzikir dengan zikir yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para nabi sebelum baginda sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Selain itu, rebutlah peluang kemuliaan yang ada pada hari Arafah ini dengan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir. Ibnu Umar r.a. berkata yang bermaksud, “Kami bersama dengan Rasulullah s.a.w. pada pagi hari Arafah lalu sebahagian dari kami bertakbir dan sebahagian yang lain bertahlil.” Para muslimin juga disunatkan bertakbir tiap-tiap kali selepas solat, bermula dari solat Subuh hari Arafah 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.

KESIMPULAN

Begitulah sebahagian dari kelebihan Hari Arafah dan Hari Raya Aiduladha yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi saw. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur, pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut.

Sumber kredit: [Petikan Khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud pada 9 September 2016] via canselori.umt.edu.my

VIDEO KASHOORGA:

 

 

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI