Memilih untuk mendirikan rumahtangga adalah sebahagian dari sunnah Rasulullah yang sangat dituntut dan digalakkan oleh Islam bagi mereka yang telah cukup syarat dan berkemampuan daripada pelbagai aspek.
Ada 5 rukun nikah wajib diketahui iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi serta ijab dan kabul.
Antara perkara paling penting dalam urusan pernikahan ialah kehadiran wali. Jika ayah masih ada, maka ayahlah menjadi walinya dan jika ayah sudah meninggal dunia maka tanggungjawab itu jatuh kepada datuk (iaitu bapa kepada ayah) dan selepas itu barulah adik lelaki seibu seayah yang sudah baligh.
Dalam satu perkongsian dari Muzakarah Jawatankuasa MKI Kali Ke-111 yang bersidang pada 8-10 November 2017 berdasarkan kajian dan kertas yang dibentangkan, mendapati bahawa:
Ads
i. Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap susunan wali pernikahan yang diguna pakai oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat tiga isu perbezaan pada susunan sesetengah wali, istilah yang digunakan, dan penetapan sesetengah wali dalam senarai.
ii. Isu pertama ialah perbezaan dalam penetapan cucu saudara (anak lelaki kepada anak saudara lelaki) dalam senarai wali, di mana sesetengah pihak menyenaraikannya dalam satu kategori khas, manakala sesetengahnya pula tidak menyenaraikannya dalam satu kategori khas. Setelah membuat penelitian terhadap perbezaan tersebut, didapati bahawa perbezaan hanya timbul dari sudut perincian susunan wali sahaja dan tidak mengubah susunan wali sebagaimana yang sebenarnya.
iii. Isu kedua ialah perbezaan antara negeri-negeri pada susunan antara datuk saudara dan sepupu. Setelah meneliti rujukan-rujukan muktabar dalam mazhab Syafie berhubung turutan susunan antara sepupu dan datuk saudara,didapati bahawa sepupu sepatutnya didahulukan daripada datuk saudara.
Ads
iv. Isu ketiga ialah perbezaan antara negeri-negeri berkenaan kedudukan moyang saudara dalam susunan wali. Setelah meneliti rujukan-rujukan muktabar dalam mazhab Syafie berhubung kedudukan moyang saudara didapati bahawa susunan yang tepat ialah moyang saudara diletakkan selepas ketiadaan anak dan cucu kepadadatuk saudara.
Ads
4.1.4 Sehubungan dengan itu, Muzakarah bersetuju menerima cadangan susunan wali seperti berikut :-
(1) Bapa الأب (2) Datuk (bapa kepada bapa) dan ke atas الجد أبو الأب (3) Saudara lelaki seibu sebapa الأخ للأب والأم (4) Saudara lelaki sebapa الأخ للأب (5) Anak saudara lelaki seibu sebapa ابن الأخ للأب والأم (6) Anak saudara lelaki sebapa ابن الأخ للأب (7) Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa ke bawah ابن ابن الأخ للأب والأم (8) Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa ke bawah ابن ابن الأخ للأب (9) Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa العم للأب والأم (10) Bapa saudara sebelah bapa sebapa العم للأب (11) Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa (sepupu) ابن العم للأب والأم (12) Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa (sepupu) ابن العم للأب (13) Anak sepupu seibu sebapa ke bawah ابن ابن العم للأب والأم (14) Anak sepupu sebapa ke bawah ابن ابن العم للأب (15) Bapa saudara bapa sebelah bapa seibu sebapa (datuk saudara) عم الأب للأب والأم (16) Bapa saudara bapa sebelah bapa sebapa (datuk saudara) عم الأب للأب (17) Anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ابن عم الأب للأب والأم (18) Anak lelaki datuk saudara sebapa ابن عم الأب للأب (19) Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara seibu sebapa ke bawah ابن ابن عم الأب للأب والأم (20) Anak lelaki kepada anak lelaki datuk saudara sebapa ke bawah ابن ابن عم الأب للأب (21) Bapa saudara datuk seibu sebapa (moyang saudara) عم الجد للأب والأم (22) Bapa saudara datuk sebapa (moyang saudara) عم الجد للأب (23) Anak lelaki moyang saudara seibu sebapa ابن عم الجد للأب والأم (24) Anak lelaki moyang saudara sebapa ابن عم الجد للأب (25) Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara seibu sebapa ابن ابن عم الجد للأب والأم (26) Anak lelaki kepada anak lelaki moyang saudara sebapa ابن ابن عم الجد للأب
4.1.4 Muzakarah juga berpandangan cadangan susunan wali ini harus dirujuk dan tertakluk kepada enakmen pentadbiran undang-undang keluarga di negeri masing-masing . Sumber : Portal Rasmi JAKIM
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramai golongan bukan berilmu cuba “memandai” menyampaikan ilmu walau bukan dalam bidang mereka sehingga menjadi isu kontroversi di seluruh negara. Ada baiknya kita menurut apa “kepakaran” yang ada tanpa mencampurkan adukkan antara bisnes dan agama kerana tidak mahu tersalah percakapan mampu membawa kepada kesyirikan.
Dalam pada itu, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang baru dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024 memperjelaskan maksud Al-Khaliq di mana Allah bukan makhluk dalam perkongsianya di e-book Maktabah Al Bakri mengenai isu ini berdasarkan soalan ditanya kepada dirinya.
Soalan Tular di media sosial beberapa hari ini bahawa terdapat individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus. Mohon ulasan daripada Datuk.
Jawapan:-
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Saya mulakan persoalan ini dengan firman Allah SWT:
Maksudnya : “…Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.”[1] Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung yang tidak ada tandingan bagi-Nya”.[2]
Imam al-Syaukani berkata: “ Sesiapa yang memahami dan merenungi ayat mulia ini dengan sebenar-benarnya pasti dia akan melalui di atas jalan yang putih dan jelas di persimpangan perselisihan manusia dalam masalah sifat-sifat Allah. Lebih baik lagi apabila direnungi makna firman Allah: “Dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat”. Hal ini kerana penetapan ini setelah menafikan sesuatu yang serupa mengandungi keyakinan yang mantap dan menjadikan penawar bagi hati. Wahai pencari kebenaran, peganglah pada hujjah yang jelas dan kuat ini, pasti engkau dapat membenteras pelbagai jenis kebid’ahan.[3]
Syeikh Ahmad bin Mustafa Al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya : “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang sepadan dengannya. Kerana Dia adalah Maha Esa dan menjadi tumpuan makhluk untuk memohon sebarang hajat. Boleh jadi makna ayat tersebut adalah tiada apa-apa pun yang sama dengan-Nya dalam pentadbiran-Nya yang mana Kudrat-Nya adalah Maha Sempurna. Ilmu-Nya Maha Luas dan kebijaksanan-Nya adalah Maha Lengkap.”[4]
Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan: Sesungguhnya semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya.[5]
Huruf kaf di dalam ayat “لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ” adalah mengukuhkan penghujahan, menyucikan dan menafikan persamaan-Nya dengan mana-mana makhluk dengan penafian yang sempurna. Dalam kaedah Bahasa Arab, kaf di dalam satu-satu perkataan boleh membawa maksud sebagai pengukuh (li al-tawkid) atau persamaan (li al-tashbih) Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang berbeza dengan dirinya, contohnya jika dikatakan “Engkau umpama bulan (أنت كالبدر)” maka ia adalah bentuk persamaan. Engkau (manusia) dan bulan adalah dua benda yang berbeza. Maka, kaf di sini berperanan untuk memberi makna “Engkau umpama bulan dari sudut keindahannya.”
Jika kaf itu berada bersama-sama kata benda (al-ism) yang sama dengan dirinya, contohnya seperti ayat al-Qur’an di atas, maka ia adalah satu bentuk pengukuhan. Ka dan mithl pada ayat tersebut adalah perkataan sinonim dan ini berperanan memberi penguat kepada ayat tersebut. Sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh Ahmad Jabir Jubran, jikalau dikatakan لَيْسَ مِثْلِهِ شَيْءٌ (tanpa kaf), ia membawa makna penafian penyerupaan yang setara (al-mithl al-mukafi’).[6]
Berdasarkan persoalan di atas, kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat dan boleh menjejaskan akidahnya serta menjebakkan dirinya ke lembah kesyirikan, apatah lagi sekiranya perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja. Sedangkan perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT.
Maksudnya:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”[7]
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ia bermaksud Allah SWT tidak mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.[8]
Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.
Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa. Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka. Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat[9] membahagikan syirik kepada enam jenis:
Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ianya dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak. Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ianya disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak. Jika dia meyakini bahawa ianya memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah.
Allah sebagai al-Khaliq
Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa (خَلَقَ), yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus. Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il (فَاعِل) kepada perkataan khalaqa (خَلَقَ) yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq (خَالِق) yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”
Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”[10]
Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:
ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺧَﺎﻟِﻖُ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ۖ ﻭَﻫُﻮَ ﻋَﻠَﻰٰ ﻛُﻞِّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻭَﻛِﻴﻞٌ Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”[11]
Firman Allah SWT lagi: هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Maksudnya:“Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.[12]
Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT merupakan الخَالِقُ (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk مَخْلُوقyang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”.
Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim. Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain. Manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya. Oleh sebab itu, jin mampu masuk ke badan manusia tanpa dapat dirasai dan mereka masuk ke dalam manusia dan menusukkan sifat was-was dalam hati manusia. Kedua-dua jisim ini sama ada kathif ataupun latif tidak akan sama dengan sesuatupun daripada sifat Allah. Bahkan Allah sebagai al-Khaliq ini lah yang menciptakan jisim kathif dan latif.
Sebagai penutup, saya mengambil peluang untuk menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.
Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:-
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.[13]
Begitu juga terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ Maksudnya:Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.[14] Saya menutup dengan sama-sama kita berdoa dan beristighfar:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” Wallahua`lam. Bertarikh 16 Disember 2021 M bersamaan 12 Jamadil Awwal 1443 H [1] Surah al-Syura: 11 [2] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194 [3] LihatFath al-Qadir, 4/528. [4] Lihat Tafsir al-Maraghi, 25/15 [5] Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 9/595 [6] Lihat Ta’liqat al-Sunniah ‘ala Matn al-Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 11 [7] Surah al-Nisa: 48 [8] Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1/86 [9] Lihat al-Nasamat al-Quddusiyyah Syarh al-Muqaddimat al-Sanusiyyah, hlm. 50-55 [10] Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 380 [11] Surah al-Zumar: 62 [12] Surah al-Hasyr: 24 [13] Riwayat Ibn Majah (2043) [14] Riwayat al-Tirmidzi (2499), Ibn Majah (4251), dan Ahmad (13049). Imam al-Suyuti di dalam al-Jami’ al-Saghir (2674) menyatakan hadith ini sahih
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sunat letakkan batu di atas kubur. ‘Abah bawa batu sungai untuk dijadikan tanda kubur Hammad.’
Sebelum itu tular berita kematian allahyarham Hammad, iaitu anak kedua Dr Zulkifli yang pergi buat selama-lamanya pada usia berusia 22 tahun iaitu di usia yang begitu muda selepas tiga tahun menghidap kanser sarkoma.
Sebagai tanda kasihnya seorang bapa kepada anaknya, selepas beberapa hari pemergiannya, Dr Zulkifli telah memilih batu sungai untuk diletakkan di atas kubur anaknya.
Kongsi Dr Zulkifli Al-Bakri di akaun instagramnya,
Sunat meletakkan batu, kayu atau yang sesuai di atas kubur khususnya di bahagian kepala di sisi mazhab Syafie sebagai tanda untuk memudahkan penziarah mengenalpasti kubur.
Zaman sekarang umumnya di Malaysia diletakkan batu nisan.
Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW meletakkan sebuah batu di bahagian kepala kubur ‘Uthman Bin Maz‘un dalam hadith riwayat Abu Daud.
Imam al-Bujairimi mengulas hadis tersebut dengan menjelaskan, anjuran meletakkan batu bersaiz bersaiz besar bagi memudahkan untuk dikenali apabila ziarah. Imam al-Mawardi menambah anjuran meletakkan batu di bahagian kedua kaki jenazah.
Perbahasan lanjutnya ada dinyatakan dalam al-Majmu’, Tuhfah al-Muhtaj, Nihayah al-Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, dan Hasyiah I’anah al-Talibin.
Alhamdulillah, semalam Abah bawa batu sungai untuk jadikan tanda kubur Hammad.
Tular satu video di aplikasi TikTok sekumpulan anak muda sedang bersolat dalam keadaan memakai kasut ketika melakukan akiviti hiking.
Ramai yang mempersoal malah meragui kesahihan solat ini? Adakah boleh melakukan solat dengan memakai kasut.
Isu ini mendapat respons dari Ustaz Dr Kamilin Jamilin yang Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis.
Memulakan penjelasannya beliau terlebih dahulu memuji kumpulan anak muda ini yang tidak meninggalkan kewajipan bersolat meski sedang melakukan aktiviti lasak di dalam hutan.
Memberi penerangan tentang isu yang dibangkitkan yakni solat dengan memakai kasut katanya tiada yang pelik tentang perlakuan ini bahkan ia digalakkan dalam keadaan tertentu.
“Solat pakai kasut ini tak pelik pun bahkan digalakkan dalam keadaan yang tertentu seperti kawasan tersebut berbatu, penuh tanah.
Perkara ini juga yang dilakukan oleh para nabi dan sahabat. Ini kerana masjid zaman itu tiada lantai tiles, marmar yang ada cuma batu-batu kecil, tanah serta pasir,”katanya.
Bahkan ada satu hadis Abi Daud yang menunjukkan Nabi sendiri solat dengan memakai kasut. Dari Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata:
“Rasulullah ﷺ solat bersama para sahabatnya, lalu baginda menanggalkan kedua sandalnya dan mereka pun ikut menanggalkannya. Setelah selesai, Rasulullah ﷺ bertanya:
‘Kenapa kamu semua menanggalkan kasut kamu?’
Mereka menjawab, ‘Kami lihat engkau menanggalkannya maka kami ikut.’
Rasulullah bersabda:
‘Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa pada kasutku ada najis, maka aku pun menanggalkannya. Maka jika seseorang dari kamu datang ke masjid, lihatlah kasutnya. Jika ada najis padanya, bersihkanlah. Kemudian bolehlah dia solat sambil memakainya.’” (HR Abu Dawud no. 650, dinilai hasan oleh al-Albani)
Dalam hadis ini Nabi ingin memberitahu jika kasut tiada najis tak perlulah membukanya.
Malah dalam hadis lain Nabi sendiri menggalakkan solat memakai kasut. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi kerana sesungguhnya mereka tidak mendirikan solat dengan memakai kasut atau khuf mereka.”
“Maksud hadis ini ketika zaman kita boleh solat sepatu atau khuf disebabkan lantainya Nabi SAW galakkan sahabat menyelisihi cara solat orang Yahudi.
“Maka solat dengan memakai kasut adalah tak pelik. Boleh saja memakai kasut bahkan digalakkan dalam keadaan tertentu antaranya seperti di hutan. Apa yang penting pastikan kasut tiada najis,” jelas Ustaz Dr. Kamilin
Namun akhirinya jika di tempat seperti masjid yang sudah tersedia lantai yang elok, dan berkarpet tak perlulah pakai kasut demi meraikan kebersihan dan jemaah solat yang lain.