Kata orang kalau sudah kahwin tak perlu jaga hati pasangan. Ini kerana dia sudah jadi milik kita selamanya.
Tetapi sebenarnya tidak salah untuk kita mengorat isteri sendiri. Teknik ini sebenarnya boleh menambah kasih sayang antara keduanya.
Kadang kala kita tidak tahu pasangan kita sebenarnya ada menyimpan perasaan merajuk dengan tindakan yang kita lakukan tanpa sedari.
Jika anda lihat si dia diam sepanjang hari walaupun ditegur itu tandanya dia sedang merajuk.
Jadi cubalah bersikap lebih gentleman dengan cuba mengoratnya kembali seperti sewaktu mula-mula berkenalan dulu.
Pasti rumahtangga ini akan kekal bahagia hingga ke syurga. Ini teknik yang boleh diamalkan perkongsian Taufiq Razif untuk di laman sosial Facebook untuk menggoda isteri sendiri dan menjadi insan dicintainya hingga ke jannah.
5 Teknik Rahsia Menjadi Suami Yang Dicintai Isteri
Teknik 1 : Kena ada Mind-Reading abilities
Walaupun nampak susah tapi kemahiran membaca dan meneka perasaan dan fikiran isteri ni boleh membuatkan si isteri makin rasa disayangi & dicintai
Suami yang pandai membaca dan mendalami perasaan, mimik wajah dan rajukan isteri ni dipanggil suami yang ada Emphatic Accuracy.
Teknik 2 : Kena jadi Active Listener isteri
Suami yang ada skill menadah telinga ni sangat sangat disukai isteri lebih lebih lagi yang tahu ilmu Active Listening ni.
Apa tanda suami tu Active Listener?
Fokus sepenuhnya
Bukan sekadar mendengar
Tapi bertanya soalan juga
Mendengar untuk memahami
Bukan mendengar untuk membalas balik bebelan isteri
Teknik 3 : Kena jadi Spiritual Mentor isteri
Isteri sangat suka suami yang boleh bimbing rohaninya. Sebab bila rohani si isteri dipenuhi, maka hati isteri akan jadi mudah jinak, lebih tenang dan rasa lebih tenteram sepanjang hari.
Sebab tu lah sesibuk apa pun suami, suami tetap kena penuhi hati isteri dengan rasa cinta pada Allah, Rasul dan hari akhirat.
Teknik 4 : Suami kena ada Self-Control yang tinggi
Bila suami tengah sangat marah tetapi masih boleh kawal intonasi dan nada suara, suami tu dikira ada self-control yang hebat.
Suami yang self-control yang hebat ni sangat dihormati isteri kerana ia menandakan mereka mempunyai kemampuan mengemudi emosi sendiri. Inilah juga yang akan menaikkan kredibiliti dan autoriti seorang suami sebenarnya.
Teknik 5 : Kena tahu Love Language isteri
Love language isteri kita adalah apa je perbuatan kita pada dia yang buatkan dia rasa dicintai. Lain orang lain Love Language-nya tau.
Ada setengah isteri rasa lebih dicintai bila suaminya cuci pinggan, ni tanda Love Languagenya adalah Service. Ada isteri yang lebih rasa dicintai bila suaminya banyak ucap I Love You, ni Love Languagenya adalah Words of Affirmation.
Yang agak haru sikit bagi si suami kalau Love Language isteri adalah Receiving Gift. Haa, yang ni kalau dapat dua tiga untas rantai emas juga ni baru tersenyum senyum si isteri sebab rasa dicintai.
Apa pun, tak rugi pun memberi pada isteri dan anak anak ni sebab sebaik baik pemberian adalah memberi kepada keluarga sendiri.
– Taufiq Razif –
#share
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Suami Atau Mertua
Hari perkahwinan adalah hari paling bahagia yang dinanti-nanti oleh bakal pasangan mempelai untuk mengikat hubungan cinta ke peringkat yang lebih rasmi. Kenduri kahwin pula diadakan bagi meraikan tetamu yang datang ke memeriahkan hari bahagia pasangan mempelai.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing. Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: “Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ
Iaitu “Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: “Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.
MAJLIS PERKAHWINAN TANGGUNGJAWAB SIAPA
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: “Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda SAW menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah SWT
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur. Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki).
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Adik 14 Tahun Jadi Wali Nikahkan Kakak.’ Masih Muda Tapi Berani Tunaikan Tanggungjawab
‘Adik 14 tahun jadi wali nikahkan kakak.’ Masih muda tapi berani tunaikan tanggungjawab sebagai seorang wali kepada kakaknya. Keberanian remaja ini mengundang rasa sebak warganet.
Tidak semua remaja seusianya mampu dan berani menjalankan tanggungjawab sebegini besar.
Artikel Berkaitan : Nak Kahwin? Ambil Tahu Syarat-syarat Jadi Wali Nikah
Adik 14 Tahun
Adik berusia 14 tahun menjadi wali nikahkan kakak, ramai sebak dan puji berani. Biarpun masih muda, remaja lelaki itu tetap menunaikan tanggungjawabnya dengan berani dan lancar.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit 23 saat yang tular pada laman sosial TikTok, seorang remaja lelaki bernama Irfan melafazkan akad pernikahan kakaknya di sebuah masjid sambil diperhatikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan.
@lizabakar72 pernikahan kakak Diwali oleh adik nya yg berumur 14thn suasana menjadi sayu Dan pilu dengan tangisan adik nya😭 #fypシ #fyp #foryoupage ♬ original sound – Liza bakar
Jadi Wali
“Pernikahan kakak diwalikan oleh adiknya yang berumur 14 tahun. Suasana menjadi sayu dan pilu dengan tangisan si adik.”
Video yang dikongsikan pengguna TikTok @lizabakar72 itu memperlihatkan ramai jemputan sebak dan sayu berpelukan, malah tangisan kedengaran menyelubungi suasana.
Malah Irfan sendiri tidak dapat menahan pilu menitiskan air mata usai menjalankan tugasnya sebagai wali.
Nikahkan Kakak
Biarpun masih muda, lafaz ijab remaja itu begitu lancar. Menerusi ruangan komen, seorang pengguna TikTok Shim Al Ganu memberitahu telah membantu Irfan bagi mempermudahkan Irfan menunaikan tanggungjawabnya di dalam majlis berkenaan.
“Saya Penolong Pendaftar pada akad nikah ini. Pada mula adik Irfan tidak mahu menikahkan kakaknya. Beliau malu. Namun selepas saya pujuk dan memberikan semangat, dia okay. Saya siapkan teks sahaja,” titipnya.
Warga maya rata-rata sebak dan mengakui turut menitiskan air mata melihat remaja itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai wali.
Baca Di Sini:
Masih Muda
– “14 tahun dengan tanggungjawab besar seorang ketua keluarga. Mahram kakaknya. Sayu hati saya melihatnya tetapi bangga, moga adik Irfan sentiasa di dalam barakah-NYA.”
– “Kecil lagi adik ini memikul tanggungjawab menjadi wali kakaknya, moga rumah tangga yang dibina kekal ke syurga.”
-“Alhamdulillah, pastinya si adik akan membesar menjadi insan yang sangat bertanggungjawab dan bakal imam untuk keluarganya nanti.”
-“Alhamdulilkah lancar, smooth sahaja. Siapa tengok banyak kali kite geng. Tahniah adik, sangat bertanggungjawab dan berani.”
Tapi Berani
SIAPA LAYAK MENJADI WALI?
Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Ia juga merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan dan salah satu syarat sah nikah.
Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
– Islam
– Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun)
– Berakal (Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali).
– Lelaki
– Adil
– Merdeka
Manakala orang buta atau bisu pula adalah diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan memenuhi syarat sah menjadi wali.
Tunaikan Tanggungjawab
SUSUNAN WALI MENGIKUT TERTIB
Menurut urutan tertib wali, orang yang bertanggungjawab menjadi wali menikahkan pengantin perempuan ialah bapa kandung, datuk sebelah bapa ke atas kemudian ketiga ialah saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya seperti berikut:
1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan)
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja atau sultan
“Sekiranya wali pertama tiada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tiada, hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya mengikut tertib.”
Bagaimanapun, permohonan perkahwinan menggunakan wali hakim adalah dibolehkan atas beberapa sebab iaitu :
1. Tiada wali yang sah daripada nasab
2. Wali ghaib
3. Anak tidak sah taraf
4. Wali enggan
5. Wali dalam ihram atau umrah
6. Wali tidak cukup syarat
Kashoorga : Semoga anak ini membesar menjadi seorang anak, suami dan ayah yang soleh. Insyallah.
Sumber : Sinar Plus
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Terima Gift Hasil Buat Live NPC Di TikTok
Soalan:
Assalamualaikum wbt, Dr, mohon penjelasan hukum dan sumber keberkatan duit, berkenaan trend NPC yang ada di live TikTok sekarang. Bila penonton bagi gift/duit, mereka akan buat pergerakan atau memek muka comel untuk penonton. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hadiah berasal daripada perkataan bahasa Arab, yang bermaksud pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup, secara tunai tanpa ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan.(Lihat Aqrab al-Masalik, 5/342)
Dari sudut bahasa, hadiah ialah harta yang diserahkan atau diberikan kepada seseorang sebagai tanda penghormatan kepadanya. Manakala dari sudut istilah, ulama’ mazhab Syafi’i menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/252)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:
تَهَادُوا تَحَابُّوا
Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”
Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)
Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.
Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”
Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.
Para fuqaha’ bersepakat bahawa pensyariatan hadiah adalah disunatkan pada asalnya, melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang.
Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/255)
Selain itu, turut dijelaskan bahawa pembahagian hadiah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:
Halal di antara keduanya iaitu pemberi dan penerima hadiah bertujuan untuk bersilaturrahim. Haram di antara keduanya seperti pemberian bertujuan melakukan kezaliman. Diharamkan kepada penerima hadiah sahaja sekiranya pemberian hadiah itu bertujuan untuk menggelakkan kezalimannya ke atas diri kita.
Selain itu, pemberian hadiah disebabkan rasa takut disebabkan kemudharatan adalah halal bagi pemberi dan haram bagi penerima. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/258)
Menjawab bagi persoalan di atas, istilah NPC sering diucapkan oleh para pemain dalam dunia permainan atau video game. Ia sering muncul ketika bermain game yang bertema yang melibatkan banyak karakter. NPC, yang merupakan singkatan bagi “Non-Player Character” adalah karakter yang tidak dapat dikendalikan oleh pemain. Sebaliknya, mereka dikendalikan oleh komputer dan bergerak secara automatik.
Meskipun dikendalikan secara automatik oleh komputer, karakter NPC dapat memengaruhi permainan yang sedang dimainkan. Mereka akan mengikuti perintah yang telah ditetapkan sebelumnya. Karakter NPC sering digambarkan sebagai manusia yang tidak memiliki kemampuan berpikir secara rasional atau objektif.
Namun, dalam dunia media sosial seperti TikTok dan Twitter, istilah NPC digunakan untuk menggambarkan individu yang dianggap kurang mampu berpikir rasional atau bertindak secara spontan
Konten “NPC Live” di TikTok, misalnya, menampilkan orang yang bergerak dengan kaku seperti karakter dalam video game. Mereka menciptakan gerakan yang mirip dengan karakter NPC dalam game asli dan merujuk kepada individu yang cuba meniru gaya, perwatakan, kostum, suara atau aksi sesuatu non-player character tersebut.
Tren NPC ini dilakukan setiap kali mendapat gift atau hadiah dari penonton melalui aplikasi tersebut. Meraih jumlah gift yang tinggi membolehkan individu-individu ini meraih keuntungan menerusi live yang dijalankan.
Dalam isu ini kami katakan memberi dan menerima hadiah adalah salah satu amalan yang dianjurkan dalam Islam. Amalan ini membantu memupuk rasa kasih sayang dan memperkuat hubungan sesama umat Islam. Namun, penting untuk diingat bahawa memberi hadiah seharusnya dengan tujuan yang bersesuaian dengan nilai-nilai agama seperti mengeratkan silaturrahim dan sebagainya
Namun, memberi hadiah dengan niat untuk melihat gaya yang ditunjukkan oleh tiktoker melalui trend NPC adalah tidak sesuai dalam konteks Islam, begitu juga dalam menerimanya terutamanya jika gaya yang ditunjukkan tersebut menimbulkan fitnah, lagi-lagi jika dipertontonkan oleh wanita. Yang demikian bersesuaian kaedah fiqh:
كُلّ مَا أدّى إِلى حَرَامٍ فَهُوَ حَرَام
Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara yang haram maka ia adalah haram (hukumnya).”
Justeru, mengikut trend dengan memperlihatkan gaya yang tidak bersesuaian dengan nilai dan akhlak seorang muslim adalah tidak dibolehkan. Yang demikian kerana dalam Islam, kita diajar untuk bersifat dengan sifat malu, menjaga kehormatan dan maruah diri, serta menghindari perbuatan yang boleh merosakkan imej sebagai muslim.
Diriwayatkan daripada Abu Huraira R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.”
Riwayat al-Bukhari (9)
Syeikh Soleh al-Uthaimin menyatakan bahawa: Prinsip dalam berperilaku dengan sopan santun adalah untuk tidak melakukan apa yang dipertentangkan oleh orang lain, baik dalam perkataan maupun perbuatan (Lihat Syarh al-Mumti’, 11/108)
Dinyatakan dalam Hilyah al-Awliya’ bahawa: Maruah adalah rasa malu seseorang terhadap dirinya sendiri, dan tidak berbuat dalam keadaan tersembunyi apa yang dia malu berbuat dalam keadaan terang-terangan. Ini adalah tanda keagungan diri; oleh itu, Imam al-Shafi’i rahimahullah berkata: ‘Demi Allah, jika aku tahu air sejuk akan mengurangkan maruahku, nescaya aku tidak akan minumnya.(Lihat Hilyah al-Awliya’, 9/132)
Sebagai kesimpulan, penting untuk diingat bahawa memberi dan menerima hadiah harus dihindari apabila berkaitan dengan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya sentiasa berusaha untuk memperkayakan diri dengan akhlak dan sifat-sifat terpuji serta menjauhi segala perbuatan atau sikap yang mencacatkan nilai-nilai agama kita
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam
Sumber: Maktabah Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI