Zaman Sekarang Isteri Bekerja Untuk Bantu Suami,Tapi Bolehkah Suami MAKAN Duit Isteri

  • 3
    Shares

Tugas utama yang diamanahkan oleh Allah kepada setiap wanita adalah membesar dan mendidik anak-anak. Malah tiada seorang pun yang dapat menggantikan peranan kaum wanita dalam memikul tugas ini. Di dalam al-Quran juga turut membicarakan tentang perihal wanita dalam pelbagai sisi kehidupan. Bermula dengan hak dan kewajipannya, sehinggalah menyentuh tentang keistimewaan tokoh-tokoh wanita dalam sejarah Islam dan kemanusiaan.

Sungguhpun begitu, Islam tidak pernah melarang wanita itu untuk keluar bekerja membantu menambah rezeki keluarga. Mereka boleh memilih bidang apa sekalipun asalkan pekerjaannya itu ‘halal’ , mendapat persetujuan suami, dan tidak melanggar syariat. Gaji atau pendapatan isteri ini sebenarnya boleh mempengaruhi suasana dalam keluarga. Gaji yang berkat ditambah dengan usaha dan bantuan yang ikhlas itu secara tidak langsung akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara suami dan isteri.

Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan suami yang sering ambil kesempatan terhadap isterinya yang bekerja. Seolah-olah, suami dengan sengaja memanfaatkan pendapatan yang diperoleh oleh isterinya, sehingga timbul pelbagai perbalahan dalam rumah tangga.

Fenomena inilah yang sering kali mengundang pelbagai persoalan dan pertanyaan. Apakah wang itu milik isteri semata, sehingga tiada ada hak bagi suami untuk menikmatinya? Atau wang tersebut milik bersama?

Islam menyarankan agar kaum lelaki berbuat baik terhadap wanita. Sebagaimana yang disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Bertakwalah kalian dalam (memperlakukan) terhadap wanita.” (Riwayat Muslim)

Dalam Shahihain, dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah bersabda:
“Hendaklah kalian memperhatikan kaum wanita dengan baik.” (Riwayat al Bukhari dan Muslim)

Setiap wanita harus memahami bahawa di bawah naungan Islam, wanita bakal hidup dalam kemuliaan lagi berharga, serta hak-haknya dilindungi sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah baginya.”

Nafkah Kewajipan Suami
Umumnya, wanita itu merupakan sebahagian masyarakat yang dijamin kehidupannya. Baik sebagai anak, isteri, ibu, atau saudara perempuan. Sementara kaum lelaki pula, mereka diberi tanggungjawab untuk melindungi kaum wanita, dan wanita itu sendiri tidak wajib untuk menanggung nafkah keluarga.
Begitu juga dengan wanita yang sudah berkeluarga, segala keperluan rumah dan anak-anak haruslah ditanggung oleh suami. Ini merupakan salah satu bentuk penghormatan Islam terhadap kaum wanita.

Allah SWT telah berfirman:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita), dan kerana mereka (kaum lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”. [Surah An Nisaa’: 34].

Seperti mana ‘mahar’, pendapatan isteri juga boleh dikategorikan sebagai hak mutlak isteri. Suami tidak mempunyai hak walau sedikit pun ke atas harta tersebut. Kelemahan fizikal atau statusnya sebagai isteri, tidak bererti suami boleh “merampas” hak miliknya atau memanfaatkannya mengikut kemahuannya.

Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman al Jibrin pernah ditanya tentang hukum suami yang mengambil wang (harta) milik isterinya, untuk digabungkan dengan wangnya (suami). Menjawab pertanyaan ini, Syaikh al Jibrin menyatakan, tidak dinafikan isteri lebih berhak dengan mahar dan harta yang dia miliki, baik melalui usaha yang dilakukan, hibah, atau warisan. Ia adalah hartanya, dan akan kekal menjadi miliknya. Dia yang paling berhak untuk melakukan apa saja dengan hartanya itu, tanpa ada campur tangan pihak lainnya.

Sepenuhnya Milik Isteri
Wang atau harta isteri adalah milik peribadinya, tidak boleh dimanfaatkan kecuali dengan keredaan dan kerelaannya. Setelah mendapat keredaan itu, barulah ia menjadi ‘halal’ bagi suaminya.

Seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” [Surah an Nisaa’ : 4].

Ayat di atas, jelas ditujukan kepada para suami, bukan kepada para wali wanita.

Syaikh ‘Abdur Rahman as Sa’di di dalam tafsirnya menulis, ketika ramai orang (suami/lelaki.) berbuat aniaya kepada kaum wanita dan merampas hak-hak mereka, terutamanya mas kahwin yang dirasakan berat untuk diberikan kepada isteri maka Allah memerintahkan para suami untuk tetap memberikan mahar tersebut kepada isteri.

Apabila para isteri mengizinkan bagi kalian (para suami) dengan reda dan kerelaan, iaitu mengurangkan sebahagian darinya, atau menunda, atau diganti dengan yang lain, maka tiada masalah bagi kalian (para suami).

Ada beberapa pertanyaan yang diajukan kepada Syaikh Bin Baz, antaranya, “ Saya telah menikahi seorang guru. Apakah saya berhak mengambil dari gajinya dengan redanya untuk suatu keperluan, misalnya untuk meminta sebuah rumah?”

Beliau menjawab: Tiada masalah bagi mu untuk mengambil gaji isterimu atas dasar redanya, jika dia seorang wanita rasyidah (berakal). Begitu juga dengan segala sesuatu yang diberikan kepadamu untuk membantumu, tiada masalah untuk engkau gunakan. Dengan catatan, ia rela dan dewasa.

Berdasarkan firman Allah SWT :

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” [Surah an Nisaa`/4 : 4].[13]

Tolak Ansur Suami Isteri
Hakikatnya terdapat jalinan kasih sayang yang begitu utuh dan erat antara suami isteri. Namun, kemesraan ini tidak seharusnya berlandaskan kepada wang ringgit. Kerana, harga kemesraan dan keutuhan dalam rumah tangga itu tidak boleh diukur dengan harta benda dan wang semata. Sebaliknya kejujuran, kerjasama dan saling memahami merupakan resipi utama dalam kebahagiaan berkeluarga.

Andai kata suami itu seorang yang ‘cukup’ serba serbi, mungkin dia tidak akan tergamak untuk mengambil atau menggunakan harta isterinya. Begitu juga bagi seorang isteri, pasti dia tidak sanggup untuk meminta itu dan ini, sekiranya suaminya seorang yang tidak bergaji besar.

Dalam keadaan ini, isteri sangat dianjurkan untuk membantu suami. Malah, rumah tangga akan terasa bertambah manis, andai bantuan itu diberikan dengan hati yang benar-benar ikhlas dan reda. Sebagaimana yang lakukan oleh Zainab, isteri Ibnu Mas’ud, menerusi Al Bukhari meriwayatkan hadis Abu Sa’id dalam Sahihnya, ia berkata:

“Dari Abu Sa’id al Khudri : … Zainab, isteri Ibnu Mas’ud datang meminta izin untuk bertemu. Ada yang memberitahu: “Wahai Rasulullah, ini adalah Zainab,” baginda bertanya,”Zainab yang mana?” Maka ada yang menjawab: “(Zainab) isteri Ibnu Mas’ud,” baginda menjawab,”Baiklah. Izinkanlah dirinya,” maka dia (Zainab) berkata: “Wahai, Nabi Allah. Hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Sedangkan aku mempunyai perhiasan dan ingin bersedekah. Namun Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa dirinya dan anaknya lebih berhak menerima sedekah ku,” Nabi bersabda,”Ibnu Mas’ud berkata benar. Suami dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu.”

Dalam lafaz lain, Nabi s.a.w menambahkan:
“Benar, ia mendapatkan dua pahala, pahala menjalin tali keakraban dan pahala sedekah.”

Syaikh Abdul Qadir bin Syaibah al Hamd mengatakan, terdapat beberapa pengajaran melalui hadis di atas:
1). Dibolehkan bagi wanita bersedekah untuk suaminya yang miskin.
2). Suami adalah orang yang paling utama untuk menerima sedekah daripada isterinya berbanding orang lain.
3). Isteri dibolehkan bersedekah untuk anak-anaknya dan kaum kerabatnya yang tidak menjadi tanggungannya.
4). Sedekah isteri tersebut termasuk bentuk sedekah yang paling utama.

Maka disebabkan itulah, bagi seorang isteri yang baik, akan dapat mengelola wang dan harta milik peribadinya secara bijak, membelanjakan pada hal-hal yang bermanfaat bagi dirinya di dunia dan akhirat, tidak boros sehingga mendatangkan kerugian baginya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*