Sesungguhnya seksaan api neraka itu sangatlah azab dan dahsyat. Bayangkan, golongan yang mendapat seringan-ringan seksaan di dalam api neraka kelak adalah seorang lelaki yang diberi pakai kasut atau selipar daripada api neraka.
Sebaik sahaja meletakkan kakinya di atas selipar itu, maka akan terbakar dan menggelegak otaknya. Ketika itu, dia merasakan dialah yang mendapat azab neraka paling pedih, sedangkan itulah seringan-ringan azab di dalam neraka.
Marilah kita semua memanjatkan doa dengan penuh pengharapan supaya Allah SWT menjauhkan diri dan ahli keluarga kita daripada menjadi bakaran api neraka.
Berdasarkan hadis yang sahih, terdapat 10 amalan yang berupaya menjauhkan diri kita dari dibakar ke dalam api neraka yang sangat dahsyat.
Amalan-amalan tersebut adalah:
1. Mengucapkan syahadah dengan penuh ikhlas
Ucapkanlah syahadah setiap hari dengan penuh ikhlas bahkan jadikanlah ia zikir harian kita kerana ia berupaya menjadi pendinding buat diri kita dari neraka Allah. Sabda Rasulullah:
مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ
“Tidak ada seorang lelaki yang mengucap Lailaha illah wa anna muhammad Rasulullah dengan penuh ikhlas dan membenarkan dalam hatinya melainkan Allah akan mengharamkan ke atas dirinya neraha. (Sahih al-Bukhari)
2. Berakhlak mulia
Perbaikilah akhlak kita serta janganlah kita menyakiti yang lain. Kerana akhlak berupaya menjadi pendinding buat diri kita dari dibakar oleh neraka Allah. Sabda Rasulullah:
أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِمَنْ يَحْرُمُ عَلَى النَّارِ أَوْ بِمَنْ تَحْرُمُ عَلَيْهِ النَّارُ ؟ عَلَى كُلِّ قَرِيبٍ هَيِّنٍ سَهْلٍ
“Hendakkah kamu aku beritahu perkara yang menyebabkan dirimu diharamkan dari dibakar oleh neraka? Iaitu setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (HR al-Tirmizi)
3. Melibatkan diri dalam perjuangan di jalan Allah
Mereka yang berjuang sehingga berdebu kakinya kerana mendaulatkan agama Allah, maka Allah akan mengharamkan dirinya dari dibakar neraka Allah:
مَنْ اغْبَرَّتْ قَدَمَاهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ
“Barangsiapa yang berdebu kakinya dalam jalan Allah, maka Allah mengharamkan dirinya dari neraka.” (Sahih al-Bukhari)
4. Sujud pada Allah dengan penuh penghayatan dan keinsafan
Sabda Rasulullah:
حَرَّمَ اللَّهُ عَلَى النَّارِ أَنْ تَأْكُلَ أَثَرَ السُّجُودِ
“Allah mengharamkan neraka dari membakar kesan sujud (atau solat yang sempurna). (Muttafaq Alaih)
5. Solat Sunat empat rakaat sebelum dan sesudah Zohor
Barangsiapa yang menjaga solat sunat 4 rakaat sebelum zohor dan sesudahnya, maka Allah akan menjaga dirinya dari neraka. Sabda Rasulullah:
مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ
“Barangsiapa yang menjaga (solat sunat) 4 rakaat sebelum zohor dan 4 rakaat selepasnya maka Allah akan mengharamkan dirinya dari neraka. (HR al-Tirmizi)
6. Mengesakan Allah sebelum saat kematian
Barangsiapa yang berupaya mengucapkan syahadah sebelum kematiannya, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka. Sabda Rasulullah:
مَنْ رُزِقَهُنَّ عِنْدَ مَوْتِهِ لَمْ تَمَسَّهُ النَّارُ
“Barangsiapa yang dikurniakan rezeki (untuk mengucapkan syahadah sebelum kematianya) maka jasadnya tidak akan disentuh api neraka.” (HR Ibn Majah)
7 & 8. Menangis kerana takutkan Allah atau berjaga malam dijalan Allah
Sabda Rasulullah:
عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan dijalan Allah.” (HR al-Tirmizi)
9. Tidak melihat perkara yang haram
Dalam riwayat al-Tabrani pula, ada lafaz yang menyebutkan bahawa mata yang tidak melihat perkara yang haramkan akan diselamatkan dari neraka Allah:
“Tiga mata yang tidak akan melihat neraka Allah: dan mata yang menunduk tidak melihat perkara yang diharamkan oleh Allah.” (HR al-Tabrani)
10. Bersabar atas kematian anak
Ini adalah salah satu amalan yang dikurniakan bagi orang-orang yang terpilih sahaja, iaitu mereka yang bersabar atas kematian anak, maka Allah mengharamkan buat dirinya neraka. Sabda Rasulullah:
“Seorang muslim yang meninggal dunia tiga orang anaknya, maka disentuh oleh api neraka, maka tidak ada baginya kecuali sambil lalu saja.” (HR Muslim)
Semoga Allah membimbing kita.
Sumber: Harian Metro & Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI