
Dalam proses kejadian manusia, Allah sudah menetapkan empat perkara dalam kehidupan kita.
Nabi SAW bersabda :
ثم يبعث الله ملَكًا فيؤمر بأربع كلماتٍ، ويقال له: اكتُبْ عمله ورزقه وأجله، وشقي أو سعيد، ثم ينفخ فيه الروح
Maksudnya : “…Kemudian Allah mengutuskan malaikat, lalu diperintahkan agar ditulis empat kalimah. Dikatakan kepada Malaikat : Tulislah amalannya, rezekinya, ajalnya dan (pengakhirannya) sama ada duka atau gembira. Kemudian ditiupkan roh ke dalamnya…”.
Rezeki ini pelbagai. Ada dikurniakan rezeki sikit tapi berkat. Ada melimpah ruah tapi hasil curi dan rumahtangga sentiasa tidak tenang. Ada diberikan rezeki anak tapi anak-anak sukar dibentuk dan ada pula diuji dengan sukarnya mendapat cahaya mata namun masih redha. Pendek kata, apa saja ujian, jika yang tidak baik kita diminta menjauhinya tapi kalau yang baik dan halal kita diminta mensyukurinya.
Dalam satu perkongsian di fb, atas nama Raihanah Abdullah, wanita ini berkongsi suka dan dukanya dalam perkahwinan. Sudah mendirikan rumahtangga 8 tahun namun hingga ke hari ini dirinya dan suami masih berdua menyambut ulangtahun perkahwinan mereka.
Semoga Allah mengurniakan mereka rezeki anak yang menjadi penyeri rumahtangga.
Baca perkongsiannya. Agak sebak dan memahami apa dirasainya.
8 tahun bergambar berdua je…tak bosan ke tak sedih ke ? tidak sama sekali alhamdulillah, makin mengenal Allah swt, bersyukur dan ikhlas dengan apa yang ditakdirkan. Memahami bahawa tak semua keinginan kita akan dapat, mungkin masanya belum tiba.
Bukan tak berikhtiar, ikhtiar sudah sesungguh nya ikhtiar. IUI, IVF semua dah cuba. Badan penat, pantang makan makanan favourite, tahan sakit. Tengok embrio pun dah gembira. Nangis sama-sama bila period datang. Dulu lah, sekarang sama-sama redha.
Kenapa hanya kerana satu keinginan yang belum termakbul, kita nak lupakan jutaan nikmat lain yang Allah berikan?
Bukan nangis sebab xde anak, tapi nangis kenapa Allah baik sangat pada kita? dalam kebanyakan dari sekelian orang yg baik2, tapi kita yg pendosa ni yg dipilih Allah swt untuk ujian besar ini. Allahuakbar…sudah pasti ujian ini untuk buat kan kita lebih dekat denganNya. Supaya kita tak henti2 terus berdoa padaNya.
Kerana terkadang dengan tidak memiliki itu lah sebesar2 nikmat yang kita dapat.
Selamat ulangtahun ke-8, sayang.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
‘Syukur Alhamdulillah, Ramai Mendoakan Saya.’ Tahniah Neelofa, Hamil Anak Kedua

Isi Kandungan
Toggle‘Syukur alhamdulillah, ramai mendoakan saya.’ Tahniah Neelofa, hamil anak kedua. Akhirnya teka-teki tentang selebriti terkenal Neelofa yang didakwa hamil anak kedua terjawab.
Sebelum ini, teka-teki tentang kehamilan bekas pemenang Dewi Remaja 2009/2010 itu tercetus selepas tular video menunjukkan perubahan pada bahagian perutnya yang kelihatan bentuk ‘baby bump’ dalam media sosial baru-baru ini.
Dalam video tersebut, Neelofa memegang perutnya yang kelihatan semakin membesar sewaktu memberikan ucapan sempena ulang tahun kelahiran Bilal yang pertama pada 29 Januari lalu.
Artikel Berkaitan:
Syukur Alhamdulillah
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 34, mengiyakan dakwaan dirinya hamil anak kedua selepas berkongsi cabaran menunaikan ibadah umrah bersama keluarga baru-baru ini.
“Ya, half way to go (pertengahan jalan). Jadi faham-fahamlah. Orang pun sudah nampak kan? (perutnya). Ramai yang mendoakan saya sihat dan selamat.
“Ramai mendoakan saya perkara yang baik-baik, menghantar mesej dalam Instagram (DM) ucapan yang baik-baik. Syukur alhamdulillah,” kata Neelofa.
Ramai Mendoakan Saya
Menurut isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu lagi, dia bersyukur apabila urusannya dipermudahkan walaupun aktif bergerak ke sana sini untuk bekerja.
“Saya pun aktif pergi sana sini, dengan anak kecil lagi (Muhammad Bilal). Bukan mudah sebenarnya tapi urusan saya dipermudahkan,” ujarnya.
Di samping itu, tambah Neelofa, untuk kehamilan kali kedua ini, dia tidak kisah tentang jantina anak yang bakal dikurniakan asalkan bayi yang dilahirkan dalam keadaan sihat dan urusannya dipermudahkan.
Tahniah Neelofa
“Dari kehamilan pertama lagi saya tidak memilih (jantina). Saya okey sahaja. Alahan pun tidak teruk, alhamdulillah. Kalau dibandingkan dengan kenalan saya, ada yang tidak boleh bangun dari katil.
“Jadi saya sangat bersyukur. Dari segi perubahan bentuk badan, rasa, hormon berubah dan banyak lagi. Mereka yang banyak kali hamil sudah biasa dengan semua itu,” ulasnya.
Dalam masa yang sama, Neelofa berkongsi cerita mengenai kelakuan Bilal yang bakal menerima adik, Neelofa bersyukur anak sulungnya itu tidak banyak meragam.
Hamil Anak Kedua
“Bilal okey sahaja sebab dia pun sudah besar dan makin kenal orang. Saya rasa itu hanya mitos bila orang kata anak pertama akan meragam apabila bakal ada adik. Alhamdulillah semuanya okey sahaja,” ujarnya.
Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Muhammad Haris Ismail pada 27 Mac 2021 di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Bilal berusia setahun yang dilahirkan pada 29 Januari 2022.
Kashoorga: Semoga Neelofa dipermudahkan urusan dan dapat melalui fasa kehamilan dengan baik.
Sumber: Kosmo Online
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Apabila Wanita Melamar Lelaki, Terima Atau Tolak?

Situasi wanita melamar lelaki bukan lah sesuatu yang baharu, cuma dalam masyarakat kita melamar cara ini kurang dipraktikkan. Mungkin juga bimbang dijolokan sebagai perigi mencari timba. Namun betapa Maha suci Allah, perkara ini tidak menjadi kesalahan di sisi agama.
Rasulullah SAW pernah dilamar oleh isteri pertamanya iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a pada usia baginda 25 tahun, manakala Khadijah berusia 40 tahun. Ini adalah usia yang pendapatnya diterima secara umum dalam catatan sejarah.

Besar jurang jarak usia namun itu bukan halangan menghalalkan pernikahan. Kita ikuti catatan ustaz Somad yang telah disunting berkenaan hal ini sebagai pencerahan buat mana-mana wanita yang ingin melamar lelaki pujaan hati tetapi ragu-ragu untuk berbuat demikian.
Mungkin bahasanya bukan “wanita melamar lelaki”, kerana dalam Islam, wanita itu mempunyai wali, maka ketika ia akan menikah, walinya lah yang menerima pinangan. Jadi ungkapan yang tepat adalah, bolehkah wali menawarkan wanita yang dia walikan kepada seseorang yang soleh?
Dalam al-Quran surat al-Qashash ayat 27 ada menyebut:
“Berkatalah Dia (Syu’aib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu. Maka aku tidak hendak memberati kamu. dan kamu insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.
Dalam ayat ini disebutkan bahwa nabi Syu’aib menawarkan anak gadisnya kepada Nabi Musa. Imam al-Qurthubi mengulas kisah ini:
Dalam kisah ini terkandung makna bahawa wali boleh menawarkan perempuan yang dia walikan kepada seorang lelaki. Ini adalah tradisi yang terus dilaksanakan; seorang yang soleh dari suku Madyan menawarkan puterinya kepada orang yang soleh dari Bani Israel.
Umar menawarkan Hafshah puterinya kepada Abu Bakar dan Usman, dan wanita itu sendiri menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW.
Tindakan ini merupakan perbuatan baik apabila seorang wali menawarkan perempuan yang dia walikan atau perempuan itu sendiri menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh mengikuti ash-Shalafu ash-Shaleh (Tafsir al-Qurthubi, juz.13, halaman: 271 Maktabah Syamilah).
Bahkan Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya menulis satu Bab: Seseorang menawarkan puterinya atau saudari perempuannya kepada orang yang baik.
Kemudian dalam bab ini Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis:
Dari Abdullah bin Umar, Sesungguhnya Umar bin al-Khatab, ketika Hafshah menjadi janda kerana suaminya, Khunais bin Hudzafah as-Sahmi yang juga salah seorang shahabat telah meninggal di Madinah. Maka Umar berkata,
“Aku datang kepada Usman, aku tawarkan Hafshah kepadanya, ia menjawab, “Aku akan memperhatikan keadaanku”. Berlalu beberapa malam, kemudian ia menemuiku dan berkata, “Telah terlihat jelas bagiku bahawa aku tidak menikah saat ini”. Maka aku menemui Abu Bakar, aku katakan, “Jika engkau mahu, aku nikahkan engkau dengan puteriku Hafshah”.
Abu Bakar diam, ia tidak menjawab apa-apa. Aku lebih berharap kepadanya daripada Usman. Berlalu beberapa malam. Kemudian Rasulullah SAW meminangnya, maka aku pun menikahkannya dengan Rasulullah SAW.
Lalu Abu Bakar datang seraya berkata,
“Ketika engkau menawarkannya kepadaku engkau berharap kepadaku, akan tetapi aku tidak membalas”. Umar menjawab, “Ya”. Abu Bakar berkata, “Tidak ada yang mencegahku untuk kembali kepadamu (memberikan jawapan), hanya saja aku mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut tentang Hafshah. Aku tidak mungkin membukakan rahsia Rasulullah SAW. Andai Rasulullah SAW meninggalkannya, pastilah aku menerima Hafshah”. (HR. Al-Bukhari).
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengulas hadis ini:
Dalam hadis ini terkandung makna: seseorang boleh menawarkan puterinya atau orang lain yang dia walikan kepada orang yang ia yakini kebaikannya kerana mengandung manfaat yang dapat diperoleh oleh orang yang ditawarkan tersebut dan tidak perlu malu dalam masalah ini. (Kitab Fath al-Bari, juz. 11, halaman: 82).

Imam al-Bukhari juga memuat satu bab dalam kitab Shahihnya:
Bab: Seorang perempuan menawarkan dirinya kepada orang yang soleh.
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengulas hadis-hadis yang ada dalam bab ini:
Dalam dua hadis ini mengandung makna: Boleh bagi perempuan menawarkan dirinya kepada seorang lelaki yang dia kenal dan dia inginkan, tidak perlu merasa malu baginya dalam masalah ini.
Dan orang yang ditawari tersebut memiliki pilihan (untuk menerima atau menolak), akan tetapi tidak selayaknya dia tolak dengan jelas, cukup dengan diam. (Kitab Fath al-Bari, juz. 11, halaman: 80).
Dari beberapa dalil di atas dapat kita ambil kesimpulan bahawa menawarkan saudari, anak perempuan atau orang yang kita walikan kepada orang yang soleh adalah sunnah.
Terkadang seorang wali lebih rela membiarkan anak gadisnya dibawa pergi malam minggu oleh orang-orang yang tidak jelas, daripada menawarkan kepada orang yang soleh. Itulah salah satu sebab banyaknya kemungkaran saat ini.
Akan tetapi dalam hal ini perlu juga diperhatikan sifat amanah, agar jangan sampai menjadi bahan ejekan dan cacian.
Artikel berkaitan:Nikahi Wanita Itu Kerana Empat Perkara, Harta, Keturunan, Cantik Agama, Tapi Pilihlah Agama
Wallahu a’lam bi ash-shawab.
Sumber artikel: somadmorocco
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kalau Pernah Buat, Taubatlah! Mufti Kata Tak Boleh Sebarkan Gambar Mangsa Di Media Sosial

Kala ini netizen mungkin sedang berbalah mengenai isu instafamous yang juga usahawan Hafiz Mahamad yang berkongsi kenangan menguruskan sahabat baiknya, Loh atau nama sebenar arwah Wan Mohd Abdullah Wan Mohd Noor. Walau Hafiz sudah memberi penjelasan bahawa dia tiada niat membuka aib sesiapa tapi isu ini terus mendapat perhatian ramai.
Dalam ramai mungkin mengecam tindakan Hafiz, sedar atau tidak kita mungkin pernah membuat naik gambar mangsa kemalangan jalan raya, ,mangsa bunuh dan sebagainya tanda sedar, ia adalah haram.
Dalam satu perkongsian dari pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah jelas kenapa kita dilarang menyebarkan gambar jenazah sama sekali.
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya. Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati. Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Sumber gambar kemalangan : Kosmo
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI