
Islam tidak pernah menyekat wanita daripada mencari ketenangan, pemulihan emosi atau kekuatan diri. Namun dalam mencari “healing”, seorang Muslimah tetap terikat dengan batas syariat.
Namun menjadi kerisauan bila baru-baru ini tular tentang program motivasi wanita yang didakwa menyimpang daripada ajaran Islam malah pesertanya dilaporkan menari dalam keadaan bogel atas nama pembaharuan jiwa dan emosi.
Lebih membimbangkan, aktiviti seperti itu bukan sahaja menyentuh soal adab dan aurat, bahkan menjurus kepada unsur yang menyalahi syariat termasuk pendedahan tubuh sesama wanita, sentuhan fizikal tidak wajar dan gerakan tubuh yang menyerupai ritual luar agama. Atas nama kejujuran emosi, maruah dan hukum agama dijadikan korban.
Larangan Melihat Aurat Sesama Wanita
Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak boleh untuk seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama, demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama.” (HR Muslim – hadis sahih)
Hadis ini memberi peringatan jelas bahawa aurat tetap perlu dijaga walaupun sesama jantina. Ulama menyatakan bahawa aurat wanita kepada wanita Muslimah lain adalah antara pusat dan lutut, itu pun dengan syarat tiada unsur syahwat atau suasana fitnah.
Jika aktiviti melibatkan tarian sensual, pendedahan tubuh tanpa keperluan, atau gerakan yang bercanggah dengan adab Islam maka ia menjadi pelanggaran syarak yang nyata.
Petanda Akhir Zaman
Situasi ini juga mengingatkan kita kepada petanda akhir zaman yang disebut Nabi Muhammad. Rasulullah SAW telah memperingatkan kita bahawa antara tanda-tanda akhir zaman ialah apabila zina dilakukan secara terbuka:
“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kamu bersetubuh di jalanan seperti persetubuhan keldai – tanpa rasa malu dan tanpa segan silu.”
(al-Taʿlīqāt al-Ḥisān ʿalā Ṣaḥīḥ Ibn Ḥibbān: no. 6729)
Dalam satu lagi sabda baginda
“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah punggung-punggung wanita suku Daws bergoyang-goyang di sekitar Dzu al-Khalasah (berhala kaum mereka dahulu).” (HR al-Bukhari)
Kedua-dua hadis ini memberi gambaran jelas bagaimana aurat, maruah dan rasa malu akan dipermainkan secara terbuka, seolah-olah sudah tiada harga diri.
Sebagai Muslimah, kita dimuliakan dengan maruah. Jangan gadaikan kehormatan diri kerana terpedaya dengan slogan pemerkasaan yang kosong daripada nilai agama.

Islam mengiktiraf keperluan emosi dan pemulihan jiwa. Namun ia perlu dilakukan dalam kerangka syariat. Aurat bukan alat eksplorasi emosi. Tiada keperluan dalam Islam untuk menyentuh, membuka pakaian, tanggal baju atau menari bagi “merawat” trauma.
Baca Lagi: Hukum Kongsi Gambar Tak Tutup Aurat, Tak Bertudung Dengan Kawan Wanita Yang Rapat Saja
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?


