Sudah jadi kebiasaan kalangan kita untuk berkongsi gambar rutin seharian dengan rakan-rakan rapat baik melalui pelbagai aplikasi antaranya What’s App, Instagram dan sebagainya.
Ada masa gambar yang dikongsi tidak menutup aurat dengan sempurna tapi ramai menganggap ia tidak jadi masalah kerana hanya dilihat oleh sama jantina dan rakan rapat saja.
Tapi benarkah begini? Persoalan ini juga ditanyakan oleh netizen dalam soal jawab kepada Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan
Assalamualaikum, ustaz. Bolehkah kalau post gambar tak tutup aurat dengan sempurna macam tak pakai tudung dalam kalangan ‘close friend’ perempuan kat Instagram? Saya lihat ada kenalan yang buat macam tu. Mohon pandangan dan terima kasih.
Jawapan
Ads
Bagi menjawab persoalan di atas, hukum menghantar atau memuat naik gambar gambar dengan keadaan tidak menutup aurat adalah perkara yang dilarang dalam syarak sama ada perbuatan ini dilakukan oleh lelaki mahupun wanita.
Setiap muslim perlu ada sifat malu dan berusaha menjaga auratnya sebaik mungkin dan tidak boleh mengambil mudah akan perihal aurat sehingga menjadi tontonan golongan ajnabi. Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Surah al-Nur (30-31)
Ads
Justeru itu, membuka aurat tanpa sebarang tujuan darurat adalah haram sama ada aurat diri sendiri atau aurat orang lain.
Kemungkinan tersebar
Walaupun gambar atau video yang dimuat naik telah dihadkan tontonannya kepada hanya yang mahram atau dalam kalangan sejantina, namun masih terdapat kemungkinan gambar itu tersebar sehingga menjadi tontonan ajnabi.
Justeru itu, sebagai langkah berjaga-jaga dan menghindarkan diri daripada fitnah, setiap orang perlu menapis setiap gambar dan perbuatan yang akan dipertontonkan kepada orang ramai.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
لَا تُبَاشِرُ المَرْأَةُ المَرْأَةَ، فَتَنْعَتَهَا لِزَوْجِهَا كَأَنَّهُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain, lalu wanita lain itu menceritakan kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihat wanita yang diceritakannya.[1]Riwayat al-Bukhari
Ads
Berdasarkan hadis tersebut, seorang isteri dilarang menceritakan keadaan bentuk badan wanita lain kepada suaminya kerana dikhuatiri suaminya berasa tertarik dengan sifat yang disebutkan sehingga menceraikan isterinya dan mengidamkan wanita yang diceritakan sifatnya itu.
Hadis ini merupakan hujah Imam Malik dalam menentukan piawaian sadd al-zariah iaitu menghalang perbuatan harus yang boleh membawa kepada sesuatu yang haram. (Rujuk Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar al-Asqalani, 9/338)[2]
Oleh yang demikian, memuat naik gambar atau video yang tidak menutup aurat dengan sempurna sewajarnya dielakkan. Walaupun tontonan di media sosial boleh dihadkan dan ditetapkan kepada golongan tertentu, namun terdapat kemungkinan gambar atau video itu boleh tersebar kepada orang lain atau dikhuatiri keadaannya itu diceritakan oleh orang yang melihat kepada ajnabi.
Apa hukum seorang suami menegur isterinya dengan satu patah perkataan, lalu si isteri membalas dengan banyak perkataan?
Jawapan URK: Wa’alaikum salam
Itu lumrah.
Tapi jika suami tak suka, boleh sahaja diluahkan dalam suasana tenang dan harmoni.
Berbincang, luah apa yang terbuku di hati; kedua-dua suami dan isteri.
Perbincangan perlu diurus dengan baik. Seorang bercakap dan seorang dengar; BUKAN dua-dua cakap serentak.
Masalahnya apabila si suami susah nak bercakap, susah nak menyatakan apa yang dia mahu atau apa yang dia tidak mahu; lalu si isteri terpaksa mengagak-agak; ini semua akan menyebabkan timbul salah faham, kekecewaan dan kemarahan oleh kedua-dua belah pihak.
Isteri pula, musibah segala musibah jika dia suka melawan, tunjuk pandai, tidak mahu merendah diri dan tidak mahu mendengar cakap suami.
Keadaan seperti ini semua perlu diperbetulkan bagi memastikan rumah tangga harmoni dan tenteram.
Barakallahu fikum.
SUMBER: PENDAKWAH BEBAS, USTAZ RIZA KAMARUDDIN
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dianjurkan berdasarkan nas Al-Quran dan hadis, inilah fitrah yang dilalui oleh manusia dalam membina kehidupan dengan sempuna dan bahagia.
Antara tujuan murni ini ialah melalui perkahwinan ialah mendapatkan zuriat solehah, memelihara maruah diri, mencari sakinah (ketenangan jiwa), memperoleh rahmah dan menghasilkan mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, benarlah firman Allah SWT:-
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.(Surah Al-Rum: 21).
Dalam memperoleh rahmah dan menghasilkan mawaddah iaitu cinta dan kasih sayang, antara lain tujuan berumahtangga pastinya untuk memperkembangkan zuriat keturunan.Dan biasanya bagi pengantin baru, malam pertama adalah malam dinanti-nantikan dengan penuh debaran.
Ini kerana malam pertama pasangan pasti menjadi usikan apatah lagi wujudnya gigitan cinta atau disebut love bite di leher pasangan.
Apakah hukumnya melakukan love bite dengan pasangan? Dari satu perkongsian video ceramah dari Ustaz Nahar Afandi, beliau menjelaskan, di leher bidadari di syurga tertulis kalimah nama Rasulullah (sama seperti dahi).
Tambahnya, ada adab suami isteri kena belajar mengenai melakukan love bite pada pasangan di mana suami isteri kena belajar hukum gigit ini.
Menurut Ustaz Nahar, hukum melakukan love bite adalah harus. Bahkan suami isteri dibenarkan untuk mencium leher pasangan untuk menambah rangsangan ketika melakukan hubungan intim.
Namun tanda gigitan cinta ini akan menjadi haram apabila ia menjadi tontonan umum di mana pasangan suami isteri dengan sengaja menayangkannya. Menurut Ustaz Nahar, perbuatan ini menjadi haram apabila ia menyinggung hati orang lain apabila kita dengan sengaja menayangnya.
“Situasinya dalam lif di mana ada lelaki muda dan pasangan tua. Bila melihat tanda love bite itu, warga tua akan bertanya kepada isteri kena tak lakukan gigitan cinta itu juga. Di sinilah haram jadinya kerana menyinggung perasaan orang,”jelasnya.
Dalam nada berlawak, kata Ustaz Nahar, gigitlah di tapak kaki kerana pasti tak ada siapa melihatnya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Khamis ini, kita akan menyambut peristiwa agung Israk dan Mikraj.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini sangat besar dan perlu dihayati kerana ia perjalanan Rasulullah SAW naik ke langit ke tujuh. Peristiwa pada malam hari ini dengan izin Allah taala bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa.
Firman Allah di dalam Surah Al-Israk ayat 1: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Baginda Rasulullah SAW kemudian naik ke langit sampai ke Sidratil Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Kisah-kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj mengandungi sesuatu yang amat menakjubkan kerana ia tidak sama dengan cara perjalanan ditempuh oleh manusia biasa. Perjalanan ini adalah perjalanan istimewa menggunakan kenderaan Allah (dikatakan burqa) yang kelajuannya tidak boleh ditandingi dengan apa saja kenderaan yang direka oleh manusia.
Di sebalik perjalanan ini, timbul satu pertanyaan, adakah perjalanan Rasulullah ini dengan roh dan jasad atau hanya roh sahaja semasa perjalanan agung itu terjadi? Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti menjawap persoalan mengenai perjalanan agung ini.
Jawapan: Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam isu ini, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pandangan para ulama yang berbeza di antara satu sama lain. Sebahagian mereka berpendapat bahawa Rasulullah S.A.W diperjalankan daripada Masjid al-Haram menuju ke Masjid al-Aqsa adalah dengan roh sahaja dan bukannya dengan jasad baginda. Manakala pendapat lain pula menyatakan bahawa baginda S.A.W diperjalankan oleh Allah S.W.T dengan roh dan juga jasad. Di antara ayat yang menjadi fokus perbincangan di dalam isu ini adalah firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Maha suci zat yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati kawasan sekelilingnya, untuk Kami tunjukkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami, sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Surah Al-Isra’(1)
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam Al-Thabari Rahimahullah berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan sifat (cara-cara) Allah S.W.T memperjalankan Nabi-Nya S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa. Sebahagian mereka berkata: Allah memperjalankan baginda dengan jasadnya. Maka Nabi S.A.W diperjalankan pada satu malam dan baginda berada di atas buraq daripada Baitullah al-Haram menuju ke Al-Aqsa sehinggalah baginda sampai ke sana. Lalu Allah menunjukkan kepada baginda apa yang dikehendaki dari sudut keajaiban-keajaiban perintah-Nya di samping keagungan dan kebesaran kerajaan-Nya. Kemudian baginda berkumpul di sana bersama dengan para Nabi, dan solat bersama mereka di sana. Kemudian Nabi dinaikkan ke atas langit sehingga ke langit yang ketujuh. Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda di sana, dengan kadar yang Dia kehendaki dan seterusnya baginda pulang semula ke masjid al-haram pada malam yang sama dan baginda solat subuh di sana.
Kemudian Imam Al-Thabari menukilkan pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak diperjalankan dengan jasad baginda akan tetapi dengan roh baginda. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian apabila beliau ditanyakan berkenaan dengan isra’ Nabi S.A.W beliau menjawab: Ia berlaku dengan cara mimpi yang benar.
Manakala Umm al-Mu’minin Aísyah R.anha pula berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W akan tetapi Allah S.W.T memperjalankannya dengan rohnya. Berkenaan dengan kenyataan daripada Saidina Mu’awiyah dan juga Umm al-Mu’minin A’isyah R.anha, ia diriwayatkan oleh Muhammad bin Ishak dengan katanya:
Maksudnya: Telah menceritakan kepada aku sebahagian daripada keluarga Abu Bakar, bahawasanya A’isyah R.anha berkata: Tidaklah hilang jasad Rasulullah S.A.W. Akan tetapi Allah memperjalankannya dengan rohnya.
Athar ini diriwayatkan daripada Ibn Hisyam di dalam kitabnya Sirah Al-Nabawiyyah (2/46). Riwayat ini bagaimanapun dikritik oleh ramai ulama besar. Kata Al-Syeikh ‘Alawi Al-Saqqaf: Athar ini dhaif, ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dengan sanad yang terputus. Lihat Takhrij Ahadiith al-Zhilal (Hlm. 246).
Bahkan melalui riwayat tersebut juga jelas kelihatan bahawa Ibn Ishaq tidak menamakan individu dari keluarga Abu Bakr yang menceritakan kepadanya. Ia dianggap sebagai mubham iaitu terdapat kesamaran pada perawi. Jika dinamakan sekalipun, kita perlulah meneliti berkenaan status individu tersebut, adakah ia thiqah ataupun sebaliknya. Maka jelaslah bahawa riwayat ini dhaif dan tidak boleh untuk dijadikan hujah sebagai sandaran.
Imam al-Thabari apabila mengeluarkan pendapat beliau dan mentarjihkan kedua-dua pendapat di atas beliau mengatakan: Pendapat yang tepat di sisi kami adalah:-
Sesungguhnya Allah S.W.T memperjalankan hambanya Muhammad S.A.W daripada Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa sebagaimana yang telah Allah khabarkan kepada para hamba-Nya. Dan sebagaimana yang telah jelas perkhabaran-perkhabaran daripada Nabi S.A.W, bahawasanya Allah S.W.T meletakkan baginda di atas buraq sehinggalah Nabi sampai dengan menaikinya serta solat di sana (Masjid al-Aqsa) bersama-sama dengan para Nabi dan Rasul, serta Allah S.W.T menunjukkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya. Maka tiada makna bagi golongan yang berpendapat: Nabi diperjalankan dengan rohnya dan bukan dengan jasadnya. Ini kerana, sekiranya keadaannya sedemikian rupa, sudah tentu perkara tersebut tidak menjadi suatu dalil kenabiannya serta tidak ada hujah ke atas kerasulan baginda. Maka Allah S.W.T apabila mengkhabarkan di dalam al-Quran bahawa Dia memperjalankan hamba-Nya, dan Dia tidak menyatakan yang Dia memperjalankan roh hamba-Nya. Maka tidak boleh untuk seseorang itu untuk berlebih-lebih terhadap apa yang dikatakan oleh Allah kepada pendapat lainnya. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (17/328).
Demikian juga Imam al-Thabari berpendapat bahawa dalil-dalil yang sahih telah jelas menunjukkan bahawa baginda Rasulullah S.A.W diperjalankan di atas haiwan yang dinamakan sebagai buraq. Sekiranya isra’ itu berlaku dengan roh baginda, nescayalah roh tidak dipikul di atas buraq. Ini kerana, haiwan tidak menanggung selain daripada jisim.
Berkenaan perjalanan Nabi S.A.W dengan menaiki buraq tersebut, hal ini dinyatakan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Kemudian aku didatangkan dengan seekor haiwan yang berwarna putih yang dinamakan sebagai al-buraq. Bentuknya lebih tinggi berbanding keldai dan rendah sedikit berbanding baghal.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa baginda melihat dengan jelas warna, bentuk, dan keadaan haiwan yang didatangkan kepada baginda. Kemudian baginda S.A.W menceritakan bahawa baginda dibawa naik ke atas belakang haiwan tersebut dengan sabdanya:
Maksudnya: Aku dibawa naik ke atasnya (Buraq) kemudian kami pun bertolak sehinggalah kami sampai ke langit dunia. Riwayat Muslim (164)
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Thabari sebelum ini, perkataan menaiki dan duduk di atas sesuatu itu jelas menunjukkan yang ia berlaku dengan jasad dan bukannya dengan roh sahaja. Inilah juga pendapat yang dipersetujui oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini. Beliau menukilkan pendapat daripada Imam al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah yang berkata: Para ulama berbeza pendapat berkenaan isu isra’ Rasulullah S.A.W.
Maka dikatakan bahawa: Keseluruhan peristiwa itu berlaku di dalam mimpi. Kebenarannya, yang dipegang oleh majoriti manusia, kebanyakan para salaf, serta ramai dari kalangan para fuqaha, ahli hadis, dan para mutakallimin bahawa baginda S.A.W diperjalankan dengan jasadnya. Athar-athar jelas menunjukkan kepada perkara ini bagi sesiapa yang meneliti dan mengkajinya. Dan adalah tidak boleh untuk mengalih hal ini daripada zahirnya. Bahkan tiada kemustahilan untuk ia berlaku sehingga memerlukan kepada takwil. Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (2/357).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti beberapa pendapat yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa kejadian isra’ (perjalanan) Rasulullah S.A.W daripada Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa itu berlaku dengan roh dan jasad baginda S.A.W. Ini dengan mengambil kira penelitian yang dilakukan terhadap nas ilahi di samping hadis-hadis yang sahih lagi jelas yang menyatakan hal tersebut. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan...