Hujung minggu mungkin ada dalam kalangan kita yang mendapat jemputan majlis perkahwinan. Tapi bagaimana pula jika kita mengambil keputusan untuk tidak menghadirinya kerana berasa jauh atau kepenatan dan sebagainya? Ini kerana hukum menghadiri majlis kahwin adalah wajib.
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” Riwayat Muslim (1053)
Hukum wajib dalam hadis di atas diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.
Ads
Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.” Riwayat Muslim (1432)
Ads
Hal ini membawa maksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah SWT, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, sekiranya tidak terdapat sebarang keuzuran, maka wajib bagi seseorang untuk memenuhi undangan perkahwinan yang dijemput.
Walaupun begitu, jika terdapat keuzuran atau janji yang sudah dirancang sebelumnya, atau tersangat jauh, atau membabitkan kos yang tinggi, atau menyebabkan terabainya tugas yang telah ditaklifkan, maka kami berpendapat alangkah baiknya beliau mewakilkan, atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan. Yang paling penting, jangan sekali-kali putuskan silaturrahim dan mohonlah izin dengan penuh adab.
Adat dalam perkahwinan adalah harus selagi mana kepercayaan dan ritual tersebut tidak membawa kepada khurafat. Sebenarnya adat perkahwinan dalam sesebuah masyarakat itu tidak salah.
Namun janganlah pula berlebihan hingga bercanggah dengan hukum agama. Tidak dinafikan, masing-masing ingin melakukan yang terbaik dalam mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan, tapi perlulah berhati-hati dalam mengikut trend.
Ikuti perkongsian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ini berkaitan adat dalam perkahwinan Melayu adakah ianya haram jika diikuti.
Soalan:
Apakah hukum bagi adat-adat seperti berikut.
1) Adat menyarung cincin ketika bertunang.
2) Adat menyarung cincin setelah akad nikah (adat batal air sembahyang).
3) Bersanding di khakayak ramai ketika walimah contohnya di hadapan dewan (tanpa melakukan sebarang upacara khurafat, sekadar duduk dengan menjaga batas aurat).
Pertunangan atau khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya.
Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya,maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, halaman 3]
Maksudnya: “Dan tidak ada dosa bagi kamu semua meminang wanita-wanita itu dengan kiasan/ sindiran”.
Imam Khatib al-Syarbini menyatakan dalam kitabnya mengenai definisi khitbah:
الخطبة التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة
Maksudnya:
Khitbah itu ialah pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan yang dilakukan oleh pihak pelamar (lelaki) kepada pihak yang dilamar (perempuan). [Lihat Mughni al-Muhtaj, jilid 3, halaman 183]
Dalam mazhab Syafie, hukum khitbah ini adalah disunatkan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melamar Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar.
Perkahwinan Dalam Islam
Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga salah satu sunnah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
وَمِن كُلِّ شَيۡءٍ خَلَقۡنَا زَوۡجَيۡنِ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”
[Surah al-Dzariyat: 49]
Sebuah perkahwinan akan dianggap sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan syarak.
Dr. Muhammad Zuhaili telah menyebut dalam kitabnya bahawa tidak akan sempurna akad nikah itu melainkan dengan memenuhi rukun-rukunnya dan melengkapi syarat-syarat bagi setiap rukun tersebut.
Beliau juga memperincikan rukun-rukun nikah kepada enam perkara iaitu sighah (ijab dan qabul), al-‘aqidan (pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.
Pada asalnya, perbuatan menyarung cincin bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat turun temurun bagi masyarakat Melayu semata-mata.
Lazimnya, mengikut adat masyarakat Melayu ketika pertunangan, cincin bertunang akan disarungkan oleh wakil keluarga lelaki yang kebiasaannya bakal ibu mertua kepada bakal pengantin perempuan sebagai tanda atau simbolik untuk ke arah perhubungan yang serius iaitu menjadikan wanita tersebut sebagai isteri.
Begitu juga adat menyarung cincin setelah akad nikah. Ia bukanlah satu rukun atau syarat dalam menentukan bahawa akad itu sah atau tidak kerana ia tidak termasuk dalam rukun nikah bahkan merupakan satu adat yang juga dipanggil sebagai acara batal air sembahyang.
Menurut sebuah kaedah fiqh:
الأصل في العادات الإباحة إلا ما ورد عن الشارع تحريمه
Maksudnya: “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”
Justeru, adat kebiasaan yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat itu adalah harus selagi mana tidak terdapatnya perkara atau dalil yang mengharamkan adat kebiasaan tersebut.
Misalnya terdapat sebarang kepercayaan atau ritual berkenaan adat tersebut yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpendapat adat menyarung cincin ketika bertunang merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah selagi mana tiada perkara yang melanggar syarak dilakukan.
Sebagai contoh, si lelaki sendiri menyarungkan cincin tunang kepada bakal isterinya atau terdapat kepercayaan bahawa dengan pemakaian cincin itu, ia akan membina ikatan yang kuat antara bakal pasangan pengantin.
Keyakinan yang sebegini adalah bertentangan dengan syarak, maka hendaklah ditinggalkan.
Begitu juga dengan adat batal air sembahyang iaitu dengan menyarungkan cincin antara pasangan pengantin harus dilakukan dengan syarat tiada perbuatan lain dilakukan antara suami isteri yang melampaui batas syarak yang tidak sepatutnya dipertontonkan di hadapan khalayak ramai.
Namun, kami juga berpendapat adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara bertutup tanpa menjadi tatapan umum.
Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.
Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabiah walaupun bukan dengan tujuan syahwat sekiranya tiada sebab yang mengharuskan baginya melihat wanita tersebut.
Namun, sekiranya terdapat sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, dalam majlis pengajian, berubat dan ketika berjual beli maka tiada masalah untuk lelaki ajnabi melihat wanita ajnabiah.
Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin.
Maka kami katakan, tiada masalah jika ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat, adab-adab dan batasan-batasan diraikan dan dijaga dengan baik.
Di antara adab-adab dan batasan-batasan yang perlu dititik-beratkan ketika bersanding adalah:
Sekiranya mengadakan pelamin, perlu diingatkan bahawa ia tidak dilakukan secara berlebihan yang menjurus kepada pembaziran serta tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan.
Adat bertepung tawar dan menabur beras kunyit tambahan yang disertai dengan jampi dan mantera adalah haram dilakukan. Sebaliknya, adalah lebih baik sekiranya dilaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan pasangan pengantin.
Pasangan pengantin perlulah menjaga etika berpakaian iaitu pakaian yang menutup keseluruhan aurat bagi lelaki dan wanita, pakaian yang tebal dan tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit dan pakaian yang longgar sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh.
Berhias termasuk make-up sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah SWT, tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak menghiraukan batasan syarak dalam perhiasan diri seperti bertabarruj dan membazir.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan huraian di atas kami berpandangan bahawa hukum asal untuk bersanding ini adalah harus.
Namun, terdapat perkara-perkara yang berlaku di sebaliknya yang menyebabkan perbuatan tersebut menjadi haram, seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas lelaki dan wanita, mendedahkan aurat atau mempertontonkan pengantin perempuan kepada lelaki ajnabi secara terbuka dengan perhiasan yang berlebihan dan juga melakukan pembaziran.
Sekiranya kesemua perkara ini dapat dielakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut. Sebaliknya, jika perkara yang disebutkan seperti di atas tidak dapat diraikan atau dilaksanakan, maka hukumnya tetap menjadi haram.
Bayar Deposit Beli Barang Tapi Tak Jadi Ambil, Duit Pendahuluan Ini Hak Pembeli Atau Penjual?
Dalam urusan jual beli hari ini, bayaran pendahuluan atau deposit sering menjadi amalan biasa terutama dalam pembelian rumah, tanah atau barang bernilai besar. Namun, kadangkala berlaku situasi di mana pembeli membatalkan hasrat untuk meneruskan pembelian.
Maka timbul persoalan adakah wang pendahuluan itu boleh diambil sepenuhnya oleh penjual atau broker? Atau ia wajib dipulangkan kepada pembeli?
Dalam Islam, isu ini dikenali sebagai jual beli ‘Urbun’. Para ulama berbeza pandangan mengenainya. Ada yang mengharamkan kerana ia mirip mengambil harta tanpa hak, manakala sebahagian lain seperti Mazhab Hanbali dan ulama kontemporari membenarkannya dengan syarat-syarat tertentu.
Oleh itu penting untuk kita fahami batas dan hukum sebenar agar urusan jual beli tidak menzalimi mana-mana pihak dan kekal diberkati.
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum jual beli jenis ini:
Jumhur ulama (Hanafi, Maliki, Syafi’e) menyatakan jual beli ini tidak sah, kerana menurut mereka terdapat larangan daripada Nabi SAW:
“Rasulullah SAW melarang jual beli secara ‘Urbun’.”
(Hadis Riwayat Malik)
Menurut mereka, ia mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dan boleh membawa kepada pengambilan harta secara batil.
Namun, Mazhab Hanbali membenarkan jual beli urbun dengan syarat ditetapkan tempoh pembelian yang jelas bagi mengelakkan kerugian sebelah pihak.
Dr. Wahbah al-Zuhaili, ulama kontemporari dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, menyatakan bahawa jual beli urbun diharuskan, kerana hadis larangan itu tidak sahih, dan ia telah menjadi uruf semasa dalam urusan jual beli.
Dalam realiti hari ini, jual beli seperti ini sudah menjadi keperluan masyarakat, terutamanya dalam urusan hartanah. Wang pendahuluan menjadi simbol komitmen dan tanggungjawab agar tidak berlaku pembaziran masa dan kerugian.
Maka, mengambil wang deposit adalah harus, dengan syarat:
Kesimpulannya jika pembeli tidak meneruskan pembelian dan wang pendahuluan telah diambil oleh penjual atau broker hukumnya harus, dengan syarat adil dan tidak menzalimi mana-mana pihak.
Islam tidak menghalang untung, tapi mengharamkan penindasan dan pengambilan harta tanpa hak.
“Sesungguhnya Allah menyukai keadilan dalam setiap urusan, termasuk urusan harta dan jual beli.”
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan…”
(Surah an-Nahl, 16:90)
Anak dara atau janda? Setiap orang punya pandangan tersendiri mengenai pilihan jodoh ini. Namun menurut Islam, siapa perlu diutamakan, antara anak dara atau janda. Berikut adalah perkongsian dari Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin.
Soalan: Dr, saya seorang janda muda yang berusia 26 tahun. Baru-baru ini saya telah bercinta dengan seorang pemuda di tempat kerja saya yang berusia 25 tahun. Kami bercadang untuk berkahwin. Namun keluarganya menghalang atas alasan saya seorang janda. Mereka menggunakan alasan agama kononnya agama tidak menyukai seseorang berkahwin dengan janda. Benarkah demikian pendirian Islam terhadap golongan janda seperti saya?
Jawapan: Saudari yang dimuliakan!
1. Islam tidak pernah memandang hina kepada golongan janda. Bahkan RasululLah s.a.w isteri-isteri baginda hampir kesemuanya janda. Poligami yang dianjurkan oleh Islam juga antara kebaikannya membantu golongan janda yang kehilangan suami.
2. Namun begitu dari segi keutamaan, jika di hadapan seseorang lelaki ada pilihan antara seorang janda dan anak dara yang kedua-dua sama baik dari semua sudut, melainkan yang seorang anak dara dan seorang lagi janda, maka diutamakan anak dara. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menggalakkan berkahwin dengan anak dara.
Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan Ibn Majah dengan sanadnya yang hasan:
“Hendaklah kamu mengahwini anak dara. Ini kerana mereka lebih baik perkataannya, lebih subur rahimnya dan lebih redha dengan yang sedikit”. (al-Albani menilai sebagai hasan dalam al-Silsilah al-Sahihah)
Maksud hadis di atas ialah oleh kerana anak dara belum pernah bergaul dengan lelaki, maka biasanya sifat kasar mereka itu kurang. Peluang memperolehi anak lebih luas disebabkan biasanya mereka lebih muda atau tidak terdedah kepada masalah kelahiran sebelumnya yang mungkin menghalang mereka untuk terus melahirkan anak. Juga mereka lebih redha dengan yang sedikit di sudut pemberian lelaki, atau kehebatan hubungan seks. Ini kerana mereka belum ada pengalaman untuk dibuat perbandingan. Faktor ini boleh menyebabkan rumahtangga lebih bahagia dan mesra. Hadis ini mengkhabarkan hakikat yang sebenar.
3. Namun begitu, ada keadaan tertentu, mungkin janda lebih baik daripada anak dara. Ini seperti apabila janda tersebut lebih kuat pegangan agamanya. Ini akan menyebabkan segala ciri-ciri baik yang membawa kebahagiaan rumah tangga ada padanya. Maka janda boleh menyaingi anak dara dengan kekuatan agamanya.
4. Juga ada kalanya janda lebih baik berdasarkan kepada hajat lelaki yang inginkan janda untuk kebaikan tertentu. Seperti dia ingin wanita yang lebih matang, atau janda berkenaan lebih dapat menjaga anak-anaknya disebabkan faktor-faktor tertentu. Oleh itu dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:
Kata Jabir: Ayahku mati, meninggalkan tujuh atau sembilan anak perempuan (periwayat kurang pasti). Aku mengahwini seorang wanita janda. RasululLah S.A.W telah bertanya kepadaku: “Engkau telah kahwin wahai Jabir ?” . Jawabku : Ya !. Baginda bertanya : “Anak dara atau janda?”. Jawabku : “Janda”. Sabda baginda: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa”. Aku kata kepada baginda: “Sesungguhnya `Abd Allah telah mati dan meninggalkan anak perempuan. Aku tidak suka aku mendatangkan kepada mereka orang yang seperti mereka, maka aku pun kahwin dengan seorang wanita yang dapat mengatur dan menguruskan mereka” Baginda bersabda : “Semoga Allah memberkatimu” atau baginda menyebut sesuatu yang baik .
5. Hadis Jabir itu dan hadis sebelumnya menggambarkan tujuan galakan Nabi s.a.w untuk memilih anak dara adalah demi kemesraan dan kebahagiaan rumahtangga. Namun jika seseorang ada alasannya yang tersendiri, di mana pemilihan janda itu membawa kebaikan tertentu kepadanya, maka itu adalah haknya. Dengan itu Nabi s.a.w tidak membantah setelah Jabir r.a. memberikan alasannya. Bahkan baginda mendoakan untuk Jabir kebaikan.
6. Begitu juga seseorang wajar mengahwini janda untuk memberikan pertolongan kepadanya, seperti janda yang kehilangan suami sedangkan dia tanpa tempat bergantung. Ini terutama bagi janda yang berasal daripada keluarga bukan Islam atau negara yang jauh. Jika perkahwinan itu mempunyai hasrat menyelamatkan agamanya, itu adalah kebaikan. Ini kerana baginda Nabi s.a.w juga mengahwini ramai janda demi menolong mereka.
7. Apa yang penting, kita perlu tahu bahawa Islam tidak membenci dan memandang lekeh kepada golongan janda. Cumanya, hadis-hadis itu bercakap dalam bentuk perbandingan umum. Jika janda itu seorang yang beragama dan berakhlak mulia melebihi anak dara yang ada dalam pilihan seseorang lelaki, atau yang dicadangkan kepadanya, maka memilih janda adalah lebih baik.
Ini kerana seseorang memilih apa yang sesuai dan baik untuk dirinya. Jika dia ada pilihan yang kedua-duanya baik untuknya, maka ketika itu anak dara mempunyai kelebihan yang tersendiri. Ini kerana anak dara dari sudut yang lain mungkin lebih menghargai kerana tiada pengalaman sebelumnya. Demikian akan lebih manja dan cinta tanpa perbandingan kerana itulah satu-satu suami yang pernah dia rasai. Sumber : Jabatan Mufti Negeri Perlis
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?