Haid dikenali juga sebagai menstruasi. Ia satu perubahan tubuh di mana dari seorang kanak-kanak, kita bergelar wanita. Apabila haid berlaku, kita mengalami pendarahan pada faraj dan ia berbeza dari satu wanita ke wanita lain.
Kitaran haid normal adalah antara 3-7 hari dan ada merujuk sehingga hari ke 15 sebelum disebut darah penyakit istihadah.
Bagaimana sebenarnya menentukan tanda berakhirnya haid ini menurut syariat? Dan bila dibolehkan melaksanakan thaharah (bersuci)?
Berdasarkan Fatwa Syaikh Shahih Al-Munajjid, berikut adalah caranya menentukan masa selesainya haid seorang perempuan.
Pertamanya, majoroti ulama berpendapat darah haid adalah tidak lebih 15 hari.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah dalam kitabnya 'Majmu’ Fatawa' berpendapat bahawa tidak ada batasan masa mahupun maksimun untuk masa haid namun jika muncul darah yang ciri khasnya seperti yang diketahui (sebagai darah haid) maka itulah masa haid, baik sedikit mahupun banyak. Kemudian ia juga mengatakan, “Allah mengaitkan banyak hukum yang berlaku ketika haid. Dan Allah tidak memberikan batasan. Baik batasan masa dan habisnya. Tidak pula batas hari suci antara dua masa haid.
Kedua :- Ada darah disebut istihadah. Cirinya berbeza dengan darah haid. Ia dapat dibezakan melalui empat perkara iaitu darah haid warna merah gelap sedangkan darah istihadah berwarna merah segar (darah merah). Kekentalan. Darah haid lebih kental sedangkan istihadah agak cair. Ketiganya darah haid agak hamis sedangkan darah istihadah tidak hamis kerana ia darah dari pembuluh darah. Dan terakhir, darah haid tidak mengering ketika keluar sementara istihadah mengering kerana ia darah dari pembuluh darah.
Jika seorang wanita datang haid, ia tidak wajib solat sementara istihadah wajib solat (pastikan darah dibersihkan atau dipakai pad). Jika darah keluar, ia tidak membatalkan solat
Ketiga, wanita boleh tahu haidnya sudah kering jika cairan putih telah keluar dan darah tidak lagi keluar dari lubang faraj. Untuk memastikan sudah benar-benar tiada darah haid keluar (sebagai contoh waktu azan Zuhur) boleh gunakan cotton bud untuk membuat calitan di bahagian faraj. Jika ada tanda bekas merah, kuning (keruh) atau coklat, jangan solat dahulu kerana masih ada sisa darah haid dan perlu tunggu azan Asar pula.
Hal ini pernah dirujuk pada Syaidatina Aishah RA untuk bertanya:-
Mereka membawa kapas. Pada kapas itu ada warna kuning. Kemudian Aisyah berkata, لا تعجلن حتى ترين القصة البيضاء “Jangan terburu-buru (suci) sampai kamu melihat al-qasshah al-baidha’.” (HR. Bukhari secara mu’allaq. Juga diriwayatkan oleh Malik, no. 130) Al-qasshah al-baidha’
Keempat, jika perempuan tersebut yakin bahawa dia telah suci kemudian darah keluar lagi (ertinya, yang keluar itu adalah darah berwarna merah, bukan sekadar cairan kuning atau cairan keruh) maka darah itu dihukumi sebagai darah haid, selama darah kedua tersebut tidak keluar selama sebulan. Sumber : Kalam Sindownews
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Perlu Ke Tunaikan Nazar Begini? Ketua Penolong Mufti Wilayah Ulas Isu Nazar Poligami
Ramai yang beranggapan andai bernazar, ianya wajib ditunaikan. Namun bila menyentuh tentang nazar ada sesuatu yang harus kita fahami dari konteks apa nazar itu disebut. Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkongsi mengenai nazar poligami yang wajar diberi perhatian oleh golongan lelaki yang sering menyebutnya.
Nazar Poligami
(Sesiapa yang malas baca semua, boleh skip ke point no. 7 dan seterusnya)
1) Apabila seseorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ibadah yang sunat, maka wajib ke atasnya untuk melakukan ibadah itu, sebagai contoh: ‘Aku bernazar kerana Allah melakukan puasa Asyura pada tahun ini’. Hukum asal puasa pada hari Asyura ialah sunat, namun apabila dinazarkan maka ia menjadi wajib. Jika dia tidak melakukan puasa Asyura pada tahun itu, maka dia wajib membayar kaffarah kerana melanggar janji kepada Allah.
2) Namun begitu tidak semua amalan sah atau ‘valid’ untuk dijadikan amalan yang dinazarkan(Manzur). Oleh itu sesiapa yang ingin bernazar maka dia perlu mengenal pasti dahulu amalan manakah yang sesuai untuk dinazarkan. Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) menjelaskan piawaian amalan yang sah untuk dijadikan amalan nazar di dalam karangan beliau “Fathul Rahman”(Syarah Matan Zubad):
وأما المنذور: فهو قربة غير واجبة وجوب عين، سواء أكانت عبادة مقصودة بأن وضعت للتقرب بها وعرف من الشارع الاهتمام بتكليف الخلق بإيقاعها عبادة؛ كصلاة وصوم وحج، واعتكاف وصدقة، أو فرض كفاية
Maksudnya: “Manakala ‘manzur’(amalan yang dinazarkan) adalah qurbah(ibadah) yang bukan fardu ain, samaada ibadah maqsudah iaitu dilakukan untuk mendekatkan diri (kepada Allah) dan ditakrifkan oleh Pensyariat(Allah Ta’ala) sebagai satu komitmen yang ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) kepada makhluk yang dikira sebagai ibadah, seperti solat, puasa, haji, iktikaf, sedekah atau fardu kifayah”.
3) Kenyataan Imam Ramli di atas menunjukkan bahawa amalan yang layak dinazarkan hanya tertakluk kepada ibadah sahaja yang bukan ketogari fardu ain seperti solat 5 waktu dan puasa Ramadan. Selain dari ibadah khusus seperti solat dan puasa sunat, apa sahaja amalan yang dipuji oleh syarak, sah dan wajib diamalkan sebagai nazar, perkara ini disebut dengan jelas oleh Imam Ramli dalam rujukan yang sama:
وإنما هي أعمال وأخلاق مستحسنة رغب الشارع فيها؛ لعظم فائدتها، وقد يبتغي بها وجه الله تعالى فيثاب عليها؛ كعيادة المريض، وتطييب الكعبة وكسوتها، وتشميت العاطس، وزيارة القادم والقبور، وإفشاء السلام على المسلمين، وتشييع الجنائز.
Maksudnya: “Ia(qurbah) hanyalah amalan-amalan dan akhlak yang baik yang mana ia digalakkan oleh Pensyariat(Allah) untuk melakukannya kerana faedahnya yang sangat besar. Adakalanya ia (dilakukan) demi mendekatkan diri pada Allah maka ia diberi ganjaran melalui amalan-amalan itu seperti menziarahi orang sakit, mewangikan kaabah, meletakkan kiswah pada kaabah, mendoakan orang yang bersin, menziarahi orang yang pulang dari musafir, menziarahi kubur, memberi salam pada orang-orang Islam dan mengiringi jenazah”.
4) Perbuatan yang tidak dikira sah untuk diamalkan sebagai nazar adalah perkara yang melibatkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang diharuskan/dibolehkan oleh syarak. Fakta ini dinyatakan dengan jelas oleh Imam al-Ramli:
وخرج بـ (القربة): المعصية، فلا يصح نذرها، والمباح كأكل ونوم، فلا يصح نذره؛ لخبر أبي داوود: "لا نذر إلا فيما ابتغي به وجه الله"، فلو نذر ذلك وخالف .. لم تلزمه كفارة.
Maksudnya: “Perkara yang terkeluar dari ketogari qurbah ialah maksiat, maka tidak sah nazar untuk maksiat. Begitu juga perkara yang harus hukumnya seperti makan dan tidur, maka tidak sah nazarnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, “Tiada nazar melainkan pada perkara yang mendekatkan diri pada Allah”. Jika seseorang itu bernazar (untuk perkara yang harus hukumnya) lalu dia tidak menunaikan nazar itu, maka tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya”.
5) Jelas di sini bahawa hukum bernazar dengan amalan yang harus dilakukan menurut syarak tidak sah nazarnya menurut mazhab Syafi’ie, malah ia adalah perkara yang sia-sia dan pada zahirnya tiada ganjaran yang dikurniakan oleh Allah. Malah jika seseorang tidak menunaikan nazar tersebut maka dia tidak dikira melanggar janji pada Allah dan tidak diwajibkan kaffarah sebagai ganti. Perkara ini dibuktikan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas radiyallahu ‘anhuma:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ قَائِمٍ فِي الشَّمْسِ فَسَأَلَ عَنْهُ؟ قَالُوا: هَذَا أَبُو إِسْرَائِيلَ نَذَرَ أَنْ يَقُومَ، وَلَا يَقْعُدَ، وَلَا يَسْتَظِلَّ، وَلَا يَتَكَلَّمَ، وَيَصُومَ، قَالَ: «مُرُوهُ فَلْيَتَكَلَّمْ، وَلْيَسْتَظِلَّ، وَلْيَقْعُدْ، وَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ». رواه أبو دأود
Maksudnya: Ketika Nabi ﷺ berkhutbah, pada masa yang sama ada seorang lelaki yang berdiri di tengah matahari terik, lalu Baginda bertanya tentang lelaki itu. Lalu para sahabat menjawab, ‘Dia Abu Israel bernazar untuk berdiri dan tidak duduk, tidak berteduh (dari kepanasan matahari), tidak bercakap dan berpuasa’. Lalu Baginda bersabda, “Suruh dia bercakap, berteduh dan duduk. Hendaklah dia menyempurnakan puasanya”. (HR Abu Daud)
6) Jelas yang dinyatakan oleh hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak membenarkan Abu Israel RA meneruskan amalan nazar yang bukan dalam ketogari ibadah. Namun Baginda memerintah agar beliau menuruskan nazar puasanya kerana ia termasuk dalam ibadah.
7) Bagi menjawab soalan di atas, hukum asal perkahwinan adalah sunat dan ia termasuk dalam kategori qurbah (ibadah) yang dipuji dan digalakkan oleh syariat, bahkan ia adalah sunnah yang amat dituntut Rasulullah ﷺ. Oleh itu sesiapa yang telah bernazar untuk berkahwin sama ada poligami atau monogami, maka dia wajib menunaikannya lebih² lagi bagi mereka yang mampu.
8)) Hukum meninggalkan nazar bagi mereka yang mampu melaksanakan adalah berdosa dan disifatkan sebagai orang yang bersifat munafik kerana mengingkari janjinya kepada Allah. Selagi dia mampu untuk melaksanakan nazar itu dia tidak boleh berpindah kepada kaffarah.
9) Melainkan jika seseorang itu tidak mampu atau terhalang untuk melaksanakan nazar oleh keuzuran syar’ie, maka dia wajib menunaikan “Kaffarah Yamin”, iaitu memilih salah 1 dari 3 cara, a) Membebaskan seorang hamba mukmin b) Memberi makan 10 orang fakir miskin c) Memberi pakaian lengkap kepada 10 orang fakir miskin d) Jika tiada ketiga² di atas, maka puasa 3 hari.
10) Satu perkara penting yang ditekankan di sini bahawa sesuatu nazar tidak sah dan tidak wajib dilaksanakan jika sekadar berniat di hati, iaitu niat nazar itu tidak dilafazkan dengan lidah. Maksudnya jika bernazar untuk poligami hanya di dalam hati dan tidak dilafazkan di mulut, maka tidak termetrai nazar itu dan tidak wajib dilaksanakan. Namun jika sebaliknya ia menjadi kewajipan yang tidak boleh diabaikan.
11) Dinasihat agar kita semua perlu berfikir panjang sebelum berniat dan melafazkan sesuatu nazar, apakah implikasinya di kemudian hari? agar tidak menyesal di suatu hari nanti, jangan sampai periuk dan belanga terbang di sana sini.
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
@ Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tempoh Iddah Orang Lelaki, Selepas Bercerai Berapa Lama Kena Tunggu Sebelum Kahwin Baru?
Kita sering mendengar lelaki akan segera berkahwin selepas bercerai khususnya pada yang semasa perkahwinan mempunyai hubungan cinta. Cuma yang biasa bertahan orang wanita kerana mereka memikirkan banyak perkara termasuk mahu besarkan anak-anak selain trauma dengan hubungan lalu.
Jika orang perempuan mempunyai tempoh iddah selepas bercerai, ada atau tak iddah bagi orang lelaki? Mufti Wilayah Persekutuan menjawap soalan berkaitan berkaitan iddah orang lelaki.
Mohon ustaz terangkan iddah orang laki. Biasa kita dengar iddah orang perempuan sahaja.
Jawapan:-
Sebelum dijelaskan jawapan bagi persoalan ini, dikemukakan terlebih dahulu takrifan bagi iddah dan nas syarak yang berkaitan dengannya.
Pengertian Iddah
Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj’ie.
Dalil Berkaitan Dengan Iddah
- Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci”
(Surah al-Baqarah: 228)
- Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami:
وَأُولاَتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”
(Surah at-Talaq: 4)
Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian. Namun, bagi golongan lelaki pula mereka tidak mempunyai tempoh iddah sepertimana iddahnya wanita. Tetapi dalam hal-hal yang tertentu, lelaki juga mempunyai tempoh untuk dia tidak mengahwini wanita lain atau wujudnya penghalang untuk dia berkahwin. Dalam kitab ada menyebut bahawa ulama fiqh berpandangan bahawa iddah tidak wajib bagi lelaki. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: 29/306)
Berikut dibentangkan beberapa keadaan iddah bagi lelaki, antaranya:
- Lelaki yang mempunyai empat orang isteri.
Apabila dia telah menceraikan salah seorang isterinya maka dia tidak boleh berkahwin lain melainkan selepas isteri yang dicerainya itu habis iddah talak raj’ie (cerai yang masih boleh rujuk).
- Masih mempunyai pertalian dalam keluarga isteri.
Seorang suami tidak boleh mengahwini kakak isterinya atau ibu saudara isterinya melainkan selepas habis iddah talak raj’ie isterinya. Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tiada Hukum Karma Dalam Islam. ‘Setiap Perbuatan Baik Atau Buruk Hanya Dibalas Allah.’
Tiada hukum karma dalam islam. ‘Setiap perbuatan baik atau buruk hanya dibalas Allah.’ Jadi jangan sedap-sedap mulut cakap karma, kerana dalam Islam tiada hukum karma.
Selama ini, kita anggap dalam Islam juga terdapat hukum karma. Sebaliknya kifarah yang terdapat dalam Islam. Ikuti kupasan isu karma ini daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel Berkaitan: Dahsyatnya Tiupan Sangkakala Di Hari Kiamat, Keadaan Manusia Ketika Itu Wanita Hamil Gugur Kandungan Sebelum Melahirkan!
Tiada Hukum Karma
Soalan:
Saya selalu terbaca di media sosial orang mengatakan bahawa jika seseorang berbuat jahat maka dia akan dibalas dengan hukum karma. Benarkah wujud hukum karma dalam Islam?
Dalam Islam
Ringkasan Jawapan:
Konsep karma merupakan kepercayaan dalam agama hindu dan berbeza dengan kepercayaan agama Islam. Setiap muslim perlu meyakini bahawa apa-apa yang berlaku di dunia merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah SWT.
Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran, maka umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT.
Walau bagaimanapun Islam mengiktiraf konsep “setiap perbuatan sama ada baik atau buruk akan dibalas oleh Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat berdasarkan apa yang dia lakukan”.
Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa melakukan kebaikan kepada orang lain dan menjauhkan diri dari berbuat kejahatan kepada orang lain.
Setiap Perbuatan
Huraian Jawapan:
Karma merupakan suatu konsep yang berasal daripada bahasa sanskrit dan mempunyai asas kepercayaannya dalam Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme.
Konsep Karma ini mula dijumpai di dalam teks lama Hindu iaitu Rigveda, dan kemudiannya dikembangkan perbincangannya di dalam Upanishad.
Secara terminologi, karma bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’, dan seterusnya difahami sebagai konsep ‘timbal-balik’ atau ‘sebab-akibat’ daripada perbuatan seseorang manusia di atas dunia.
Baik Atau Buruk
Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan perbuatan-perbuatan yang murni seperti menolong orang lain, berlaku adil sesama manusia atau menjaga ibu bapa dengan baik, maka ia akan menghasilkan balasan yang baik di kemudian hari.
Konsep ini kemudiannya ia berkembang menjadi falsafah moral dan etika sehingga dianggap sebagai undang-undang universal.
Menurut kajian, konsep karma yang berasal daripada falsafah Hinduisme ini menerangkan bahawa wujudnya prinsip kausaliti universal iaitu hukum asas dunia berkaitan sebab dan akibat daripada perbuatan seseorang manusia.
Seseorang manusia itu tidak boleh lari daripada melakukan sebarang perbuatan dan tindakan sama ada baik atau buruk dan ia akan menjadi satu kitaran yang berulang.
Baca Di Sini:
Sebelum Berlibur, Allah Didahulukan. Sekumpulan Gadis Solat Di Pusat Karaoke, Circle Positif
Tak Salah Berbeza Agama. ‘Berpeluk Cium, Tak Tutup Aurat Secara Terbuka Itu Membimbangkan’
Hanya Dibalas Allah
Konsep karma ini memberi kesan kepada beberapa peringkat hidup iaitu Samsara – kitaran kelahiran semula, di mana jika seseorang itu berlaku zalim di atas dunia maka dia akan dilahirkan semula sebagai makhluk yang hina, dan sebaliknya jika seseorang itu berlaku adil dan mulia, maka dia akan dilahirkan semula sebagai ciptaan yang terpuji.
Karma juga mempunyai tiga peringkat pembalasan iaitu sachinta karma (masa yang telah berlalu/karma yang telah berlaku), prarabdha karma (karma yang sedang berlaku/kesan daripada karma yang dahulu) dan agami karma (karma pada masa hadapan yang ditentukan melalui karma yang sedang berlaku).
Justeru, karma dilihat sebagai undang-undang pembalasan moral atau undang-undang kosmos yang membalas perbuatan baik dan perbuatan buruk.
Kepercayaan dan kesinambungan karma yang merentasi kelahiran dan masa juga boleh bertindak sebagai kawalan terhadap etika kelakuan manusia, serta menawarkan peluang yang tidak berkesudahan untuk penambahbaikan dan harapan kepada manusia untuk berbakti.
Karma Menurut Islam
Meyakini bahawa ada kuasa lain yang memberi kesan selain dari Allah boleh membawa kepada kekufuran. Akidah Islam menyatakan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dengan kuasa dan kehendak Allah SWT.
Setiap yang terjadi di alam ini kesemuanya adalah ketentuan dan kuasa dari Allah SWT. Peredaran bulan dan bintang di atas paksinya adalah dengan kehendak dan ketentuan Allah SWT. Tidak ada di alam ini yang terjadi dengan sendirinya secara semula jadi.
Konsep Karma
Konsep Karma yang ada dalam agama hindu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Islam meyakini bahawa segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia akan dibalas sama ada di dunia mahupun akhirat. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
البِرُّ لا يَبْلَى ، وَالِإثْمُ لَا يُنْسَى ، وَالدَّيَّانُ لَا يَمُوتُ ، فَكُن كَمَا شِئتَ ، كَمَا تَدِينُ تُدَانُ
Maksudnya: “Kebaikan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan(Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah seperti mana yang kamu ingin, seperti mana yang kamu lakukan kamu akan dibalas.”
Sekalipun status hadis ini adalah daif namun ia boleh diamalkan dalam bab fadhail amal di samping maknanya adalah benar.
Ungkapan yang masyhur di sisi ulama الجزاء من جنس العمل bermaksud: ‘Balasan itu sesuai dengan apa yang dilakukan’. Perkataan ini diucapkan oleh ramai ulama antaranya Imam Ibn Kathir, Imam Ibn Qayim al-Jauziyah dan Ibn Rajab al-Hambali.
Hadis Berkaitan
Terdapat banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang perkara ini antaranya:
المُسلِمُ أَخُو المُسلِمِ لا يَظلِمُهُ وَلا يُسْلِمُه ، مَن كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ ، وَمَن فَرَّجَ عَن مُسلِمٍ كُربَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنهُ بِهَا كُربَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ ، وَمَن سَتَرَ مُسلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَومَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain.
Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.
Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”- (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Rajab al-Hanbali ketika menerangkan makna hadis ini berkata:
هذا يرجع إلى أن الجزاء من جنس العمل ، وقد تكاثرت النصوص بهذا المعنى
Maksudnya: “Perkara ini merujuk kepada balasan mengikut kepada jenis amal. Terdapat banyak nas-nas yang menunjukkan kepada makna ini.”
Kesimpulan:
Berdasar kepada penjelasan tersebut maka dapat disimpulkan bahawa tidak wujud konsep karma dalam Islam. Setiap orang perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah.
Meyakini sebab dan akibat tanpa campur tangan kuasa Allah ialah suatu bentuk kekufuran. Umat Islam wajib meyakini setiap balasan sama ada yang baik mahupun buruk ialah daripada Allah SWT.
Kashoorga : Setiap orang perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI