
Bekerja keras mencari nafkah adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Malah, usaha mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga juga dikira sebagai satu ibadah di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Namun dalam kehidupan hari ini, ada satu persoalan yang sering bermain di fikiran ramai orang. Mengapa ada yang bekerja pagi petang, malah ada yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan, tetapi gaji masih terasa sempit dan tidak pernah benar-benar cukup?
Jika kita pernah merasakan perkara ini, mungkin sudah sampai masanya untuk kita muhasabah diri. Adakah masalahnya benar-benar pada jumlah pendapatan atau sebenarnya ada perkara lain yang menjejaskan keberkatan rezeki dalam hidup?
Menerusi perkongsian Ustazah Asma’ Harun, antara perkara penting yang perlu difahami ialah gaji kecil bukanlah satu-satunya punca rezeki tidak cukup.
“Ada individu yang berpendapatan sederhana, sekitar RM1000 atau RM2000 sebulan, namun masih mampu meneruskan hidup dan menyara keluarga dengan baik. Dalam keadaan tertentu, rezeki mereka tetap terasa cukup, malah hati juga lebih tenang.” katanya lagi.
Ini menunjukkan bahawa soal rezeki bukan hanya terletak pada banyak atau sedikitnya wang yang diterima, tetapi juga pada keberkatan yang Allah SWT letakkan padanya.
BACA JUGA: Hukum Trend Childfree Dalam Perkahwinan Menurut Islam
Boleh jadi rezeki kita banyak pada angka, tetapi tidak cukup pada rasa. Boleh jadi juga pendapatan tidak besar, namun hidup terasa lapang dan terurus.
Antara perkara yang perlu dilihat semula ialah hubungan kita dengan ibu bapa. Dalam Islam, menjaga ibu bapa bukan sekadar tanggungjawab biasa, tetapi termasuk antara amalan yang sangat besar nilainya.
Jika kita diberi rezeki, janganlah terlalu berkira untuk berkongsi dengan mereka. Ibu bapa telah banyak berkorban membesarkan kita, bukan hanya dari sudut harta dan wang ringgit, tetapi juga kasih sayang dan seluruh kehidupan mereka.
Cuba tanya diri sendiri, bagaimana layanan kita terhadap ibu bapa selama ini? Adakah kita terlalu sibuk bekerja hingga jarang bertanya khabar? Adakah kita mudah meninggikan suara, lambat membantu, atau menganggap keperluan mereka sebagai beban?
Semua ini perlu direnung semula kerana hubungan yang tidak baik dengan ibu bapa boleh menjadi antara sebab hilangnya keberkatan dalam hidup.
Bukan itu sahaja, mengasihi dan beradab dengan ibu bapa juga sangat besar kaitannya dengan ketenangan jiwa.
Hidup yang bahagia bukan hanya apabila memiliki wang yang banyak, tetapi apabila hati tenang dan urusan dipermudahkan Allah. Kadang-kadang, sempitnya rasa dalam hidup bukan kerana pendapatan terlalu kecil, tetapi kerana ada adab yang tidak dijaga.
Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7:
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
Justeru, jika selama ini kita rasa rezeki masih sempit walaupun sudah bekerja keras, jangan hanya melihat pada angka gaji semata-mata. Lihat juga hubungan kita dengan Allah, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang ada, dan bagaimana adab kita terhadap ibu bapa serta orang di sekeliling.
Kadang-kadang, bila perkara ini diperbaiki, Allah buka jalan yang tidak disangka-sangka dan menghadirkan keberkatan yang menjadikan hidup terasa jauh lebih cukup.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







