Ada kala bila makan beramai-ramai ada antara kita yang bercakap tentang sunnah kunyah 40 kali sebelum menelan. Jika diikut, tak dapat dinafikan waktu makan akan mengambil masa.

Tapi kembali kepada perkara utama, adakah hadis yang disandarkan untuk melakukan sunnah ini?

Dalam hal ini Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjawab persoalan ini berdasarkan penjelasan Imam Al Nawawi yang turut ditanya berkenaan hal ni.

Imam al-Nawawi Rahimahullah pernah ditanya soalan yang hampir sama iaitu adakah benar Nabi SAW memerintahkan untuk mengecilkan makanan serta menghancurkannya (di dalam mulut sebelum ditelan) ketika makan.

Imam al-Nawawi menjawab persoalan di atas dengan menyatakan:

Ads

“Tidak ada langsung hadith yang sahih dalam perkara ini. Akan tetapi, ia adalah satu perkara yang baik kerana itu lebih sesuai (sopan) ketika makan bersama orang lain dan ia juga bertujuan untuk mengajar, ataupun boleh jadi makanan itu sukar untuk dikunyah disebabkan dia seorang yang dhaif (lemah) ataupun disebabkan seseorang itu sudah kenyang dan dikhuatiri jika dia mengangkat tangannya (berhenti daripada makan) akan menyebabkan orang lain yang sedangkan makan akan turut sama berhenti sedangkan mereka itu masih berhajat kepada makanan tersebut (lapar) atau seumpama dengannya yang melibatkan tujuan-tujuan yang baik.” [Lihat: al-Manthurat, 104]

Bagaimanapun berkaitan perbuatan  menjilat jari selepas daripada makan ia ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih. Antaranya:

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Ads

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَمْسَحْ يَدَهُ حَتَّى يَلْعَقَهَا أَوْ يُلْعِقَهَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka janganlah dia menyapu tangannya melainkan setelah dia menjilatnya atau dijilatnya.” [Riwayat al-Bukhari (5456) dan Muslim (2031)]

Selain itu juga, beliau menyatakan lagi cara menjilat jari adalah bermula dengan jari tengah, kemudian telunjuk dan seterusnya ibu jari. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Thabaran.

Ads

Kesimpulannya, perbuatan menguyah sebanyak 40 kali sebelum ditelan tidak mempunyai sandaran yang sahih daripada agama ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam fatwanya. Akan tetapi, hal tersebut adalah baik jika tujuannya adalah untuk perkara-perkara yang baik sepertimana yang kami jelaskan di atas.

Bagaimanapun perbuatan menjilat jari selepas daripada makan adalah sunnah kerana terdapat hadith yang sahih menceritakan akan hal tersebut.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI