Pasti ramai dalam kalangan kita yang selalu memberi makan kepada kucing jalanan yang mundar-mandir di kawasan rumah. Apatah lagi jika seseorang itu pencinta haiwan, tak sampai hati melihat kucing kelaparan. Malah ada yang sanggup melakukannya setiap hari tanpa mengira kos yang dihabiskan.
Sesungguhnya ia perbuatan yang cukup mulia tapi bagaimana pula jika perbuatan memberi makan kepada kucing jalanan tersebut mengganggu jiran-jiran. Ini kerana mungkin disebabkan kucing jalanan tersebut membuang najisnya merata-rata hingga ke rumah jiran.
Dalam hal ini adakah perbuatan ini mendatangkan pahala atau sebaliknya kerana mengguris hati jiran. Berikut adalah penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang persoalan ini.
Hukum asal, sunat memberi makan kucing jalanan
Pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Dalam hal ini, keharmonian jiran tetangga merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Baginda Nabi SAW memberi amaran kepada umatnya bahawa tidak akan dimasukkan ke dalam syurga kepada sesiapa yang melakukan sesuatu perkara sehingga mengganggu jiran tetangganya.
Ini jelas seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga bagi seseorang itu apabila jirannya tidak merasa aman dengan gangguannya. Riwayat Muslim (46)
Nabi SAW menasihatkan para sahabatnya supaya berbuat baik kepada jirannya kerana sikap dan keperibadian seorang muslim yang sejati itu adalah mereka yang sentiasa berbuat baik kepada jiran tetangganya. Ini sepertimana sabda Nabi SAW, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Dan jadilah jiran yang baik kepada jiran kamu, maka kamu akan menjadi Muslim sejati Riwayat Ibnu Majah (4357)
Tidak digalakkan jika menggangu jiran
Sebagai kesimpulan, berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas serta nas yang diberikan, pada asalnya sunat untuk memberi makanan kepada kucing jalanan selagi mana tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ads
Justeru, keutamaan wajib diberi dengan berpandukan keadaan di tempatnya, sekiranya dengan memberi makanan tersebut akan mengganggu dan menyusahkan jiran tetangga disebabkan najis atau bau yang tidak menyenangkan, maka perbuatan memberi makan itu adalah tidak digalakkan bagi menjamin keharmonian hubungan antara jiran.
Sebaiknya kebijaksanaan dalam mempertimbangkan kaedah yang terbaik bagi mendapat dua kebaikan, iaitu kebaikan dalam menjaga hubungan di antara jiran dan juga kebaikan dengan memberi makan kepada kucing jalanan
Sunat bererti sesuatu yang diberi pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya. Ramai sedar akan kelebihan melakukan ibadah sunat seperti puasa sunat, solat sunat dan sebagainya.
Tahukah, ada lima jenis puasa sunat yang boleh kita lakukan dan meraih pahala sebanyak mungkin. Dikongsikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, berikut adalah lima jenis puasa sunat yang ganjarannya sangat banyak termasuk dos akita dihapuskan setahun lamanya. Ternyata walau hanya sunat tapi ganjarannya sangat besar di sisi Allah taala.
Antara jenis puasa sunat ialah:
Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji.
Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Riwayat Muslim (1162)
Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.” Riwayat Muslim (1338) Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.
Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” Riwayat al-Bukhari (1900) dan Muslim (1130) Hadith yang lain pula, daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” Riwayat Muslim (1162)
Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.” Riwayat Muslim (1134)
Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut.
Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.
Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.” Riwayat al-Tirmizi (747)
Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)
Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”Riwayat Abu Daud (2449)
Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.
Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.”Riwayat Muslim (1164)
Berdasarkan kitab ini, dan juga dalil-dalil yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita bahawa puasa 27 Rejab tidak dianggap termasuk dalam puasa-puasa sunat yang dituntut kecuali ia berlaku pada hari Isnin atau hari Khamis. Begitu juga sebagaimana yang kami bahaskan bahawa penentuan Isra’ Mi’raj pada 27 Rejab juga menjadi khilaf di kalangan ulama’ tarikh.
Marilah sama-sama kita beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan inilah yang diajar oleh Islam kepada kita. Semoga kita sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripada-Nya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Permainan video PUBG dan Mobile Legends: Bang Bang amat popular di kalangan remaja. Malah ramai menghabiskan masa berjam-jam mengadap telefon bimbit masing-masing sehingga ada yang terlupa mengerjakan solat yang menjadi kewajiban bagi umat Islam. Lebih malang, adakalanya pemain bertaruh wang sesama sendiri sekaligus wujudnya unsur perjudian di situ.
Terkini, streamer menjadikan itim-item untuk ditikam dengan menggunakan Unknown Cash (UC) dalam permainan ini. Apakah hukumnya. Dengarkan penjelasan Mufti Wilayah mengenai hukum UC ini.
Assalamualaikum. Tujuan saya mesej SS Mufti adalah untuk memberitahu tentang amalan streamer FB (livestream) di Malaysia yang beragama Islam yang gemar menikam item-item yang luar biasa dalam permainan video seperti Player Unknown’s Battle Ground (PUBG), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan sebagainya. Cara mereka menikam item-item tersebut adalah dengan menggunakan Unknown Cash (UC) bagi permainan PUBG dan Diamond bagi permainan MLBB. Bagi mendapatkan UC dan Diamond tersebut, seseorang itu hendaklah menambah nilai menggunakan wang yang sebenar (RM). Apakah hukum melakukan transaksi sedemikian? Diharapkan pihak SS Mufti dapat meneliti terhadap isu ini yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Terima kasih banyak.
Jawapan Ringkas
Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Huraian Jawapan
Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.
Konsep Unknown Cash (UC)
Dalam permainan PUBG, selain daripada aktiviti utama iaitu peperangan dan aksi tembak-menembak sesama pemain, pemain juga disediakan ciri-ciri dan keistimewaan lain untuk menaik taraf penampilan karakter setiap pemain seperti set pakaian yang cantik, aksesori senjata yang unik, hiasan kereta dan motor yang menarik, dan sebagainya. Kesemua perkara tersebut boleh didapati melalui pelbagai medium. Antaranya, melalui shop (kedai barangan), medium Elite Royal Pass, pembukaan crates (peti), menyelesaikan misi-misi yang diberikan dan lain-lain.
Dalam masa yang sama, item dan barangan tersebut boleh diperoleh secara percuma melalui pemberian pihak PUBG sendiri, berbayar mahupun melalui tikaman. Proses bayaran dan tikaman memerlukan setiap akaun pemain mempunyai duit yang mencukupi. Duit tersebut mempunyai beberapa kategori seperti Unknown Cash (UC), Battle Points (BP), Ace Gold (AG) dan Silver. Pembelian secara terus boleh menggunakan kesemua kategori duit tersebut manakala pembelian secara tikaman hanya boleh menggunakan UC dan AG sahaja.
UC boleh dibeli dengan mata wang sebenar secara online dengan harga yang berbeza-beza mengikut penyedia (provider); seperti contoh 600 UC bersamaan RM39.90. Duit UC dan AG yang mencukupi melayakkan pemain untuk melakukan tikaman melalui pembukaan peti-peti istimewa seperti Premium Crate, PUBG Lucky Crate, Classic Crate dan sebagainya. Kos yang dikenakan bagi setiap tikaman pula berbeza-beza mengikut tahap keistimewaan sesebuah peti. Seperti contoh, kos sekali percubaan untuk membuka Premium Crate berharga 120 UC manakala bagi PUBG Lucky Crate berharga 60 UC.
Kebiasaan tikaman dibuat bagi mendapatkan item-item yang istimewa dan langka yang tidak boleh didapati melalui pembelian secara terus. Jadi, perbahasan di bawah akan membincangkan status hukum bagi transaksi tersebut.
Analisis hukum
Setelah membuat analisis dan pemerhatian terhadap kaedah transaksi di atas, kami mendapati ia bermasalah kerana beberapa sebab.
Utamanya, pemain hanya bergantung 100% terhadap hasil tikaman yang dibuat. Konsep sebegini dilarang dalam Islam kerana mengandungi unsur perjudian. Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama menyatakan ciri-ciri berikut:
(Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)
Kesemua ciri tersebut wujud dalam transaksi di atas. Huraiannya, pembeli atau pemain meletakkan taruhan mereka menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit, dalam masa yang sama pihak PUBG selaku penjual menawarkan item-item yang menarik untuk dimiliki.
Pemilikan hanya sah dengan cara tikaman dibuat. Sekiranya nasib menyebelahi pemain, maka dia akan dapat barang tersebut dengan sekali percubaan membuka peti sahaja. Jika sebaliknya, kemungkinan dia tidak akan dapat barangan tersebut walau berpuluh-puluh kali percubaan dibuat, bahkan beribu-ribu UC habis dilaburkan.
Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. Surah al-Ma’idah (90)
Tambahan pula, kaedah tikaman sebegini bergantung kepada nasib semata-mata. Sedangkan permainan yang bersandarkan kepada unsur nasib semata-mata turut dilarang oleh Syarak, apatah lagi disertakan bersama wang taruhan. Ini disebutkan dalam kitab fiqh bahawa:
“Setiap permainan yang berdasarkan nasib seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan sebegini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.”[1](Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/166)
Seterusnya, menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya. Kami merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) yang menyebut seperti berikut: “Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.”[2]
Hal ini jelas kelihatan tatkala pemain ingin menikam barang-barang yang ada dalam peti, contohnya Premium Crate. Pemain perlu membayar sebanyak 120 UC terlebih dahulu sebelum mempunyai peluang untuk menikam barang. Kemudian, berlaku proses pemilihan barang akan berlaku secara rawak. Terdapat kemungkinan pemain ‘dapat dan tidak dapat’ apa yang dimahukan. Jual beli sebegini mirip dengan gambaran jual beli Munabazah dan Mulamasah yang diharamkan oleh Syarak.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli secara sentuh-menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).” Riwayat al-Bukhari (5482)
Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) ada dinyatakan:-
“Dalam menafsirkan kedua-dua istilah ini, periwayat hadis ini berkata: Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya. Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.”[3]
Alternatif dan Saranan
Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.
Kami sedia maklum bahawa pembelian sebegini tidak membuatkan para pemain mendapat barang-barang yang istimewa dan langka. Namun, prinsip agama menyebut secara jelas bahawa matlamat tidak menghalalkan cara, bahkan item tersebut bukanlah kategori barang keperluan apatah lagi mendesak.
Dalam artikel kami sebelum ini, kami ada menyebut bahawa permainan PUBG secara umum hukumnya adalah makruh sekiranya tidak mempunyai unsur-unsur yang dilarang oleh Syarak. Namun begitu, hukum keharusan tersebut boleh berubah sekiranya terdapat elemen lain yang dilarang Syarak seperti mengabaikan perintah Allah, bermain terlalu lama sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai individu Muslim, mempunyai unsur perjudian, maksiat dan sebagainya.
Sehubungan itu, kami menasihatkan agar para pemain yang terlibat meninggalkan perbuatan menikam barang tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT sama ada perbuatan tersebut dilakukan secara sengaja mahupun tidak sengaja. Perkara halal dan haram perlu jelas ditentukan dan unsur-unsur haram perlu disingkirkan sekiranya ada. Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama. Wallahu a’lam.
Pecah jerawat bernanah ketika solat. ‘Kalau keluar sikit solat sah, tapi kalau banyak lain cerita.’ Selalunya jerawat di muka, nanahnya tak terlalu banyak hingga membatalkan solat.
Jerawat bernanah bukan saja buatkan kita tak selesa sebab rasa sakit yang dialami, tetapi kadang-kadang ia boleh pecah tentu masa termasuklah ketika solat.
Apakah solat kita diterima bila jerawat kita tiba-tiba pecah dan keluarkan nanah ketika kita sedang dirikan solat. Ikuti kemusykilan berkaitan isu ini yang dikongsikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan:
Semasa saya menunaikan solat, nanah jerawat bisul saya pecah dan mengalir keluar, adakah dianggap najis dan boleh membatalkan solat?
Jawapan:
Nanah jerawat yang kebiasaannya sedikit sekiranya pecah semasa menunaikan solat adalah tidak membatalkan solat kerana sedikitnya termasuk dalam perkara yang dimaafkan.
Sebaliknya, membatalkan solat sekiranya melihat nanah pecah yang mengalir keluar dalam kuantiti banyak. Kadar penentuan banyak mengikut pandangan kebiasaan adat masyarakat.
Antara syarat sah solat adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT : وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
Maksudnya : “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”
Surah Al-Muddathir (4)
Persoalan berkaitan nanah dan darah termasuk bab najis menurut Imam al-Nawawi.
Nanah ialah air nipis yang bercampur dengan darah dan luka air (ulser) atau lepuh yang berubah baunya.
Sementara ulser, gelembung berair (lepuh) yang tiada bau adalah suci berdasarkan kenyataan berikut :
القيح والصديد كالدم. وكذا ماء القروح والمتنفط الذي له ريح كذا بلا ريح في الأظهر قلت: المذهب طهارته والله أعلم
“Cecair kuning atau nanah seperti darah. Begitu juga air bisa luka dan gelembung berair (lepuh) yang mempunyai bau, begitu juga tidak mempunyai bau menurut pendapat paling zahir. Menurut pendapat ku (al-Nawawi) yang merupakan pendapat yang muktamad ia adalah suci (air bisa yang tidak berbau).
Berdasarkan kenyataan berikut, ulser dan gelembung berair (lepuh) yang mempunyai bau sama seperti darah dan nanah. Sebaliknya, ulser dan lepuh yang tiada bau adalah suci.
Sementara itu, bisul mahupun darah yang sedikit akibat suntik dan bekam adalah seperti jerawat iaitu dimaafkan yang sedikit.
“Bisul, luka, tempat suntik dan bekam menurut pendapat yang lain seperti jerawat. Maka dimaafkan darahnya yang sedikit dan banyaknya tidak memicitnya, maka dimaafkan hanya keluarnya sedikit sahaja”
Sementara, darah sedikit akibat daripada serangga yang tidak mempunyai darah mengalir terkena pada pakaian, badan dan tempat adalah dimaafkan.
Imam al-Nawawi tidak meletakkan kadar ukuran khusus melainkan menyatakan ukuran banyaknya darah ditentukan kebiasaan adat.
“Dimaafkan darah yang sedikit daripada kutu, najis lalat. Menurut pendapat yang paling sahih tidak dimaafkan yang banyak dan tidak sedikit yang tersebar dengan peluh.
Kadar mengetahui banyak itu ditentukan pada kebiasaan adat. Menurut pendapatku (al-Nawawi) yang paling sahih berdasarkan pendapat para muhakkik ulama (peneliti) adalah dimaafkan semata-mata.’
Kesimpulannya, hukum nanah seperti darah ialah najis, sekiranya jerawat nanah pecah kebiasaannya keluarnya hanya sedikit yang termasuk dalam perkara dimaafkan.
Justeru, solatnya masih sah dan tidak terbatal. Sebaliknya, sekiranya keluar dengan kuantiti yang banyak mengikut ukuran adat masayarakat, maka membatalkan solat.
Mesra-wuduk sering menjadi pilihan muslimah, tetapi adakah ia benar-benar menjamin sah wuduk dan solat? Ketahui fakta penting, peranan silikon dan pandangan ulama tentang produk mesra-wuduk.