
Tinggal di asrama atau rumah sewa yang dihuni penyewa beragama Islam dan bukan Islam merupakan perkara biasa, terutama dalam kalangan pelajar serta wanita yang bekerja jauh dari keluarga.
Disebabkan tinggal bersama rakan yang sama jantina, ada kalanya seseorang terlalu selesa sehingga terlepas pandang tentang batas aurat yang perlu dijaga. Ada yang membuka tudung, memakai seluar pendek, singlet atau pakaian tidur yang terlalu terdedah tanpa memikirkan hukum syarak.
Persoalannya, apakah batas aurat seorang wanita Islam ketika berada di hadapan wanita bukan Islam?
Allah SWT berfirman menerusi Surah An-Nur, ayat 31:
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Ayat ini menunjukkan betapa Islam sangat memelihara kehormatan dan maruah wanita, termasuk dalam perkara berkaitan penjagaan aurat.
BACA JUGA: Boleh Ke Baca Al-Quran Tanpa Menutup Aurat? Ini Hukumnya
Menurut pandangan jumhur ulama dan pendapat dalam mazhab Syafie, hukum asal bagi wanita Islam di hadapan wanita bukan Islam adalah menutup seluruh tubuh badan kecuali bahagian yang kebiasaannya terzahir ketika melakukan pekerjaan atau urusan harian.
Antara sebab pandangan ini dikemukakan adalah kerana dikhuatiri wanita bukan Islam tersebut akan menceritakan rupa bentuk tubuh wanita Muslimah kepada lelaki yang bukan mahram.
Kebimbangan ini bukan bertujuan mewujudkan jurang antara individu berlainan agama, sebaliknya sebagai langkah berhati-hati bagi menjaga maruah dan kehormatan seseorang wanita.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pandangan yang membenarkan wanita Muslimah menampakkan aurat di hadapan wanita bukan Islam sebagaimana batas aurat sesama wanita Islam.
Namun, kelonggaran tersebut tertakluk kepada beberapa pertimbangan. Antaranya, wanita bukan Islam berkenaan mestilah seorang yang boleh dipercayai, menghormati privasi dan tidak menceritakan keadaan tubuh atau aurat rakannya kepada orang lain.
Ini bermakna, keadaan persekitaran, tahap kepercayaan dan risiko berlakunya penyebaran gambar atau maklumat peribadi juga perlu diambil kira.
Walaupun terdapat kelonggaran dalam situasi tertentu, wanita Islam tetap disarankan supaya menjaga kesopanan ketika berpakaian.
Elakkan memakai pakaian yang terlalu terdedah seperti hanya berpakaian dalam, bersinglet nipis atau berseluar terlalu pendek. Pakaian yang sopan bukan sahaja menjaga aurat, malah dapat memelihara maruah dan mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Selain itu, pastikan tiada gambar atau rakaman video diambil ketika berada dalam keadaan tidak menutup aurat. Dalam zaman media sosia inil, gambar yang pada awalnya dianggap sebagai simpanan peribadi boleh tersebar tanpa pengetahuan pemiliknya.
Sekiranya tinggal bersama rakan bukan Islam, jelaskan dengan baik tentang keperluan menjaga privasi. Minta mereka supaya tidak merakam gambar atau video tanpa izin, terutama ketika berada di dalam bilik atau ruang peribadi.
Islam bukanlah agama yang menyusahkan. Setiap hukum dan panduan yang ditetapkan mempunyai hikmah untuk menjaga keselamatan, kehormatan serta maruah manusia.
Hidup bersama rakan berlainan agama tidak menjadi halangan untuk membina hubungan yang baik dan harmoni. Namun, dalam masa yang sama, seorang Muslimah perlu sentiasa peka terhadap batas syariat.
Sikap saling menghormati, menjaga privasi dan memahami keperluan agama masing-masing dapat mewujudkan kehidupan bersama yang lebih selesa tanpa mengabaikan tuntutan Islam.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







