Kita semua mahu amal ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Namun diterima atau tidak, tiada siapa yang tahu kecuali Allah Yang Maha Esa.
Namun sebahagian sarjana Muslim memberikan pandangan bahawa terdapat tanda-tanda amalan seseorang itu diterima. Demikian menurut Prof. Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Fakulti Pengajian Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau turut berkongsi tiga tanda tersebut dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau.
Pertama: Tidak kembali kepada maksiat
Ini adalah tanda yang paling utama. Seharusnya amalan seseorang menjauhkan diri mereka dari maksiat. Amalan tersebut menjadi sebati dalam dirinya, membentuk darah dagingnya sehingga menjadikan dirinya membenci maksiat.
Al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin:
أما إذا تذكَّر الذنبَ ففرح وتلذَّذ فلم يُقبل، ولو مكث على ذلك أربعين سنة
“Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun.” (Ibn al-Qayyim, Madarij al-Salikin)
Dengan sebab itu al-Imam al-Hasan al-Basri menegaskan:
فإذا قبل اللهُ العبدَ فإنه يُوفِّقه إلى الطاعة، ويَصْرفه عن المعصية
“Sekiranya Allah menerima amalan seseorang, maka dia akan membimbingnya untuk melakukan ketaatan yang seterusnya dan memalingkan hambaNya dari maksiat.”
Kedua: Amal kebaikannya seharusnya menghasilkan kebaikan yang lain
Dalam perihal ini al-Imam al-Hasan al-Basri berkata:
إنَّ مِن جزاءِ الحسَنةِ الحسَنة بَعْدَها، ومِن عقوبةِ السيئةِ السيئةُ بعدها
“Salah satu pulangan amal soleh adalah, ia menghasilkan amal soleh yang lain. Dan sekiranya dia melakukan kejahatan, kejahatan tersebut akan menghasilkan kejahatan yang seterusnya.
Malah al-Hasan mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya kebaikanmu tidak memberikan pertambahan (amal), maka di situ pasti ada kekurangan (kesempurnaan amalan tersebut).
Ketiga: Istiqamah dengan amal soleh
Al-Imam Ibn Kathir menyebut: Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia di mana Allah akan mencabut nyawa seseorang itu dengan amal yang dilakukan secara konsisten. Sekiranya seseorang konsisten melakukan kebaikan, maka dia akan mati dalam kebaikan. Sekiranya seseorang konsisten dengan kemungkaran, maka dibimbangi dia akan mati dengan perbuatan yang telah biasa dia lakukan.
Dengan sebab itu al-Bukhari merekodkan satu insiden yang menarik. Seorang sahabat telah meninggal ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram. Lalu Rasulullah meminta para sahabat mengkafankan beliau dengan pakaian ibadah tersebut.
Sabda Rasulullah:
كفِّنوه بثوبيه؛ فإنه يُبعَث يوم القيامة ملبِّيًا
Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah Haji yang memuji Allah).
Apa yang biasa kita buat selepas sejam waktu subuh? Biasanya bagi yang bekerja agar segera bersiap untuk ke tempat kerja. Keluar awal kerana mahu elak kesesakan jalan raya. Bagi ibu-ibu pula sambil bersiap ke tempat kerja, siapkan anak-anak untuk ke sekolah.
Kalau waktu hujung minggu pula ada yang mengambil kesempatan untuk tidur semula selepas selesai menunaikan solat subuh. Sebenarnya satu jam selepas subuh itu cukup bermakna dalam kehidupan kita.
1 jam selepas subuh menentukan bagaimana hala tuju hidup kita.
Jadi, apakah yang perlu kita buat 1 jam selepas subuh?
1. Jangan tidur lepas subuh. Ia menutup banyak pintu rezeki malah akan membuatkan tubuh jadi lemah. Kalau terlalu penat, tunggu waktu syuruk jam 7.00 pagi ke atas. Dan selepas itu rehatlah tak mengapa.
2. Biasakan untuk mandi dan bersihkan diri. Mandi sebelum dan selepas subuh akan membantu sistem badan menjadi segar dan sihat. Juga membuatkan wajah menjadi awet muda. Cubalah!
3. Sarapan. Makan sikit diwaktu pagi membuatkan sistem penghadaman akan berfungsi dengan baik. Ambil sepotong roti pun takpe. Segelas susu dan kopi pun baik. Janji makan atau minum sikit.
4. Ini yang terpenting. Baca Al Quran. Zikir. Selawat. Nak buat atau nak baca atau nak pasang sahaja di Youtube pun tak mengapa. Asalkan kita niat untuk memberi makan buat hati. Hati akan jadi kuat dan tidak akan lemah.
1 jam kita buat semua ini, insyaAllah hidup akan bermakna.
Dan kita mampu melangkah lebih jauh dan bertenaga.
Jin atau syaitan itu juga makhluk Allah. Mereka ada di mana-mana bersama kita. Tinggal lagi kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar. Jika kita lalai daripada mengingati Allah, maka mereka akan menguasai persekitaran di mana kita berada.
Ada tujuh tempat jin atau syaitan suka menempel dan tempat-tempat itu memang sangat dekat dengan kita.
1. Tempat kotor seperti tandas & tempat pembuangan sampah
Dari Zaid bin Arqam, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tandas-tandas itu dihuni oleh Jin. Oleh kerana itu, apabila seseorang di antara kalian masuk tandas, maka katakanlah:
Allahumma inni audzubika minal khubutsi wal khabaits Ertinya: Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari gangguan jin laki-laki dan jin perempuan” (HR. Abu Dawud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad).
Rasulullah SAW dalam salah satu hadisnya, dari Ali r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang masuk tandas kemudian berdoa: ”bismillahirrahmanirrahim“, maka mata jin akan tertutup dan tidak akan dapat melihat aurat keturunan Adam” (HR. Ahmad, Turmudzi dan Ibnu Majah).
2. Tempat kosong seperti rumah terbiar atau gurun/ padang pasir
Dari Ibnu Mas’ud RA berkata: “Suatu hari kami (para sahabat) berkumpul bersama Rasulullah SAW tiba-tiba kami kehilangan baginda, lalu kami cari-cari di lembah-lembah dan kampung-kampung (akan tetapi kami tidak mendapatkannya). Kami lalu berkata: “Rasulullah SAW telah diculik”.
Pada malam itu, tidur kami betul-betul tidak menyenangkan. Ketika pagi hari tiba, kelihatan Rasulullah SAW sedang bergegas menuju ke arah kami dari arah sebuah gua yang berada di tengah padang pasir.
Kami lalu berkata: “Ya Rasulullah SAW , malam tadi kami betul-betul kehilangan kamu, lalu kami cari-cari ke sana ke mari akan tetapi kami tidak menemukan kamu. Lalu kami tidur dengan keadaan sangat tidak menyenangkan”.
Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Malam tadi aku didatangi oleh utusan dari kelompok jin, ia membawa saya pergi menemui kaumnya untuk mengajarkan al-Quran”.
Ibnu Mas’ud RAbkemudian berkata kembali: “Lalu kami diajak oleh Rasulullah SAW untuk melihat bekas-bekas tempat dan perapian mereka (kelompok jin)”
Para jin itu kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai makanan mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Makanan kalian itu (wahai golongan jin) adalah setiap tulang yang masih ada sisa-sisa dagingnya yang berada di tangan kalian dan ketika memakannya disebutkan nama Allah serta semua tahi (kotoran) binatang ternak kalian”.
Rasulullah SAW kemudian melanjutkan sabdanya:
“Oleh kerana itu, janganlah kalian (para sahabat) beristinja (membersihkan najis seperti habis buang air kecil atau besar dengan menggunakan batu atau benda lainnya selain air) dengan keduanya (tulang dan kotoran binatang), kerana keduanya itu adalah makanan saudara kalian (golongan jin)” (HR. Muslim).
3. Dalam lubang-lubang
Dari Abdullah bin Sarjas, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seseorang di antara kalian kencing di lubang”. Mereka bertanya kepada Qatadah: “Mengapa tidak boleh kencing di lubang?” Qatadah menjawab: “Rasulullah SAW mengatakan kerana lubang itu adalah tempat tinggalnya golongan jin” (HR. Abu Dawud, Nasai dan Ahmad)
4. Dalam rumah
Dalilnya adalah hadits berikut ini:
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu rumah orang muslim pun kecuali di atap rumahnya terdapat jin muslim. Apabila ia menghidangkan makanan pagi, mereka (jin) pun ikut makan pagi bersama mereka. Apabila makan tengahari dihidangkan, mereka (jin) juga ikut makan bersama orang-orang muslim. Hanya saja, Allah menjaga dan menghalangi orang-orang muslim itu dari gangguan jin-jin tersebut” (HR. Abu Bakar sebagaimana ditulis oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari).
Tetapi golongan jin tidak dapat masuk ke dalam rumah orang-orang Islam apabila mereka membaca ayat-ayat Al-Quran di dalamnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW, mafhumnya:
“Apabila seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya terus menyebut nama Allah dan begitu juga ketika makan, maka syaitan berkata, maka tidak ada tempat tinggal dan tidak ada tempat makan.
Dan apabila disebut nama Allah ketika masuk tetapi tidak ketika makan maka syaitan berkata kamu dapat makan tetapi tidak dapat tempat tinggal.
Dan apabila tidak menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan maka syaitan mengatakan kamu dapat tempat tinggal dan dapat makan”.
Setiap rumah yang dibacakan surah Al Baqarah maka syaitan tidak akan masuk ke rumah itu selama tiga hari dari tarikh membacanya itu.
Sebagaimana mafhum sabda Rasulullah SAW :
“Jangan engkau jadikan rumahmu sebagai kubur sesungguhnya rumah yang dibacakan surah Al Baqarah tidak akan dimasuki oleh syaitan”. Mafhum sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Sahl bin Saad :
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada kemuncaknya, sesungguhnya kemuncak Al Quran itu adalah surah Al Baqarah, sesungguhnya sesiapa yang membacanya dia rumahnya pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk selama tiga malam, dan sekiranya dibaca pada waktu siang mereka tidak akan masuk selama tiga hari”.
Maka untuk menghalang mereka masuk ke rumah kita selama-lamnya, hendaklah dibaca surah ini pagi dan malam.
5. Dalam pasar dan tempat perniagaan (Mall)
Selain di rumah, Jin juga ada yang tinggal di pasar atau mall. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam sebuah riwayat di mana Salman al-Farisi pernah berwasiat kepada para sahabat yang lain:
“Kalau boleh, janganlah kalian menjadi orang yang pertama kali masuk ke pasar atau menjadi orang yang paling akhir keluar dari pasar, kerana pasar itu merupakan tempat berseterunya para syaitan. Dan di pasarlah syaitan menegakkan benderanya” (HR. Muslim)
6. Dalam kandang unta
Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kalian solat dalam kandang unta kerana di sana terdapat syaitan, solatlah di kandang biri-biri kerana dia itu membawa berkah” (HR. Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)
7. Jin juga tinggal di kampung-kampung, di gunung-ganang, dari lembah-lembah
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang disebut oleh Abusy-Syeikh di dalam kitabnya “العظمكة” :
“Telah berlaku pertengkaran di antara jin Islam dan jin musyrikin, maka mereka memohon kepadaku untuk menempatkan mereka, secara berasingan.
Maka aku letakkan jin Islam di kampung-kampung dan gunung ganang dan aku letakkan jin kafir di antara gunung dan laut.”
Kesimpulannya
Jadikan al-Quran sebagai benteng pertahanan melindungi diri sendiri dan keluarga. Al-Quran itu berfungsi sebagai benteng diri apabila ia dibaca dan didengari bukan ditampal pada dinding.
Tidak salah untuk menampal tulisan khat ayat suci al-Quran di dinding tetapi pastikan kita membaca dan menghayati bacaan al-Quran. Semoga kita semua didalam jagaan Allah.
Hari ramai yang meminjam wang atau berhutang tapi dalam masa yang sama mengambil mudah tanggungjawab untuk membayarnya. Sampai satu tahap pemberi hutang pula yang harus menagih wang sendiri dari yang peminjam.
Ada juga yang langsung tidak membayar dan hilang tanpa khabar berita. Hakikatnya orang yang sengaja tidak mahu melunaskan hutang sangatlah rendah tahapnya di akhirat kelak.
Hadis daripada Suhaib bin Sinan ar-Rumi r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Yang bermaksud: “Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)
Malah mereka yang lewatkan membayar hutang juga termasuk dalam mereka yang zalim. Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَطلُ الغنيِّ ظلمٌ
Yang bermaksud: “Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam pada itu ramai juga pada hari ini yang masih berhutang tapi dalam masa yang sama bermusafir bercuti bersuka ria berhari-hari lama tanpa mereka sedar musafir orang yang berhutang adalah antara kategori perjalanan maksiat sekiranya tidak diizinkan oleh orang yang memberi hutang.
Perkara ini dikongsi oleh Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil dalam satu hantaran dalam akaun Facebook beliau.
Malah terangnya penghutang yang bermusafir seperti ini diharamkan untuk melakukan solat jamak dan qasar kerana ia perjalanan yang mengundang dosa.
Musafir orang yang berhutang
Antara kategori perjalanan maksiat adalah kemusafiran yang dilakukan oleh orang yang berhutang (penghutang) tanpa izin pemiutang (pemberi pinjaman). Walaupun jarak destinasi kurang dari 2 marhalah.
Maksud hutang di sini ialah kategori hutang yang wajib dilunaskan oleh penghutang dengan segera (الدين الحالّ) kepada pemiutang. Manakala hutang yang tertangguh (الدين المؤجل) berdasar persetujuan bersama pemituang tidak termasuk dalam hukum ini, seperti pinjaman bank dan koperasi.
Diharamkan jamak dan qasar solat
Oleh yang demikian, penghutang yang bermusafir diharamkan untuk menjamak dan menqasarkan solatnya disepanjang kemusafirannya sebab ia adalah perjalanan yang mengundang dosa. Ini kerana biaya perjalanan itu sepatutnya disalurkan untuk membayar hutang yang wajib disegerakan, bukan digunakan untuk perkara yang bukan wajib.
Kategori ini seperti seseorang yang lari atau enggan membayar hutang tetapi dalam masa yang sama bermusafir untuk tujuan yang diharuskan (bukan darurat), seperti melancong, ziarah saudara dan rakan.
Melainkan jika pemiutang mengizinkan penghutang untuk bermusafir walaupun hutang belum terlunas. Ini bermakna penghutang diharamkan untuk bermusafir selagi tidak mendapat keredaan pemiutang. Melainkan keadaan darurat atau keperluan mendesak, maka tidak memerlukan izin pemiutang. Kesimpulannya, jangan lari dari bayar hutang.
Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Dalam menjadikan zikir dan selawat...