
Sewaktu Ramadan yang lalu mungkin ramai yang berjaya khatam al-Quran. Ada yang khatam lebih dari sekali. Alhamdulillah..
Tapi ada juga yang selepas menamatkan bacaan sebanyak 30 juzuk, kitab suci al-Quran ini terus disimpan dalam almari atau disusun di atas rak tanpa terus membacanya.
Pendakwah selebriti, Ustaz Aniq Muhaimin Ismail atau lebih dikenali sebagai Aniq Muhai mengingatkan, membaca al-Quran bukan sekadar mengejar khatam, tetapi harus dijadikan amalan sepanjang hayat.
“Ingatlah, syarat al-Quran ini bukan bermakna apabila kita sudah habis (khatam) al-Quran, maka sudah tidak perlu baca lagi seperti novel,” katanya memetik perkongsian daripada Sinar Harian.
Baca al Quran bukan macam baca novel, habis baca simpan
Benar, al-Quran bukan seperti sebuah novel yang apabila selesai dibaca, kemudian diletakkan kembali ke rak sehingga tahun berikutnya.
Ujar Ustaz Aniq Muhai, sebaiknya kalamullah itu ialah teman sejati yang seharusnya kita bawa dalam kehidupan seharian.
“Jadikan al-Quran teman kita. Jangan tunggu 11 bulan baru hendak buka semula,” katanya sambil mengingatkan bahawa Al-Quran bukan hanya untuk Ramadan tetapi sebenarnya sepanjang tahun dan setiap masa.
Dalam pada itu, Ustaz Aniq Muhai yang juga seorang penyanyi nasyid mengingatkan tentang kepentingan al-Quran yang tidak terbatas kepada sekadar membacanya, sebaliknya kitab suci itu harus dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Bila kita khatam, berusahalah untuk menghafalnya sebab dalam solat, kita tetap membaca bait-bait kalimah suci berkenaan.
“Takkan kita asyik hendak mengulang bacaan surah yang sama saja?” soalnya sambil mengingatkan umat Islam agar terus memperbanyakkan bacaan dan hafalan al-Quran supaya ia benar-benar menjadi cahaya dalam kehidupan kita.
Bukan ibadah bermusim
Di samping itu, beliau turut mengingatkan bahawa konsistensi dalam beribadah juga tidak kurang pentingnya yang mana Ramadan lalu sepatutnya menjadi titik mula dan bukan sekadar episod bermusim.
Apatah lagi katanya, kita sering menyaksikan keajaiban Ramadan yang mana hati keras boleh menjadi lembut dan yang jauh boleh kembali dekat. Keindahan itu katanya, ia perlu diteruskan selepas Ramadan.

Sumber: Sinar Harian
Artikel berkait: Bolehkah Masuk Syurga Kalau Tak Pandai Baca Al-Quran
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Memasak Untuk Suami, Tanggungjawab Atau Ihsan Isteri?

Dalam kehidupan rumah tangga, tugas dan tanggungjawab antara suami isteri sering menjadi perbincangan yang tidak pernah lapuk ditelan zaman. Antara perkara yang sering dibahaskan ialah persoalan, adakah memasak itu tanggungjawab isteri atau suami?
Isu ini kembali mendapat perhatian apabila tular kenyataan seorang pempengaruh yang menyebut bahawa tugas menyediakan makanan adalah tanggungjawab suami, manakala jika isteri memasak, ia adalah atas dasar ihsan semata-mata.
Walau apapun pandangan yang dilontarkan, hakikatnya persoalan ini telah lama dibincangkan oleh para ulama dengan berpandukan dalil-dalil syarak serta teladan daripada Rasulullah SAW sendiri, Baginda yang merupakan sebaik-baik contoh dalam membina keluarga sakinah.
Pandangan Ulama Tentang Tugas Memasak
Menurut pendakwah, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, isu ini bukanlah sesuatu yang baru, malah telah diperbahaskan dalam kitab-kitab fiqh terdahulu.
Beliau merujuk kepada penjelasan dalam Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, di mana terdapat dua pandangan utama ulama:
- Mazhab Syafie dan Hambali
Kebanyakan ulama termasuk Mazhab Syafie dan Hambali berpandangan bahawa isteri tidak diwajibkan melakukan kerja rumah seperti memasak, menguli tepung atau membakar roti. Ini kerana akad perkahwinan adalah untuk membina hubungan yang penuh kasih sayang dan tolak ansur, bukan semata-mata untuk tugasan rumah tangga. - Mazhab Maliki
Menurut Mazhab Maliki, isteri wajib melakukan kerja-kerja rumah seperti menguli tepung, menghampar tilam atau menuang air, namun ia bergantung kepada adat kebiasaan setempat. Bagi wanita daripada golongan bangsawan, kewajipan ini tidak terpakai kerana status mereka.
Namun demikian, menurut PU Salman memetik dalam Sinar Harian, apa yang lebih utama adalah melihat kepada contoh akhlak Rasulullah SAW bersama para isteri Baginda, di mana wujudnya kerjasama, tolong-menolong dan saling berkhidmat demi kebahagiaan rumah tangga.
Teladan Rasulullah SAW dalam Rumah Tangga
PU Salman turut memetik beberapa hadis sahih yang menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW sendiri membantu melakukan kerja-kerja rumah tanpa rasa segan atau merendahkan martabat Baginda sebagai ketua keluarga.
Antaranya:
“Rasulullah SAW berkhidmat untuk isterinya. Bila tiba waktu solat, Baginda segera mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat lain, disebutkan: “Rasulullah SAW menjahit baju, memperbaiki kasut dan melakukan apa yang lelaki biasa lakukan di rumah.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
Bahkan menurut hadis-hadis lain, Rasulullah SAW turut membantu membersihkan baju, memerah susu, menyapu sampah dan memberi makan kepada haiwan peliharaan.
Semua ini menunjukkan betapa Baginda mengamalkan budaya saling membantu dan berkhidmat sesama ahli keluarga, tanpa memandang rendah atau meletakkan beban sepenuhnya ke atas bahu isteri.
Para Isteri dan Puteri Nabi Juga Berkhidmat dalam Rumah
Selain Rasulullah SAW, para isteri dan puteri Baginda turut menunjukkan teladan dalam berkhidmat untuk keluarga. PU Salman menyebut, Sayidatina Aisyah RA pernah menyikat rambut dan membersihkan baju Rasulullah SAW, manakala Fatimah RA pula pernah mengadu sakit tangan akibat mengisar tepung.
Begitu juga Sayidatina Asma’ RA berkhidmat untuk suaminya, Zubair RA, dan isteri Ummu Said menyediakan makanan untuk para tetamu termasuk Rasulullah SAW sendiri.
Walaupun Mazhab Syafie dan jumhur ulama menyatakan isteri tidak diwajibkan memasak, namun menurut PU Salman, wanita sangat digalakkan berkhidmat dalam rumah tangga kerana besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya layanan baik seorang isteri kepada suaminya, taat dan patuh kepada kehendaknya (selagi tidak melanggar syarak), ganjarannya menyamai pahala haji, umrah, jihad, solat Jumaat, ziarah orang sakit dan menyaksikan jenazah.” (Riwayat Al-Wasiti dalam Tarikh Wasit)
Para Isteri Rasulullah SAW Juga Memasak untuk Baginda
Seiring dengan penjelasan PU Salman, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, turut berkongsi bagaimana para Ummahatul Mukminin (isteri-isteri Nabi) berkhidmat untuk Rasulullah SAW dengan penuh kasih sayang.
Menurutnya, dalam satu riwayat oleh Abu Ya’la, Sayidatina Aisyah RA pernah memasak hidangan khazirah (sejenis makanan berasaskan daging dan tepung) lalu menghantarnya kepada Rasulullah SAW.
Malah, pembantu Aisyah RA yang bernama Barirah menceritakan bahawa Aisyah RA pernah tertidur ketika menguli tepung untuk keperluan ahli keluarganya.
Sayidatina Safiyah RA juga menyediakan makanan untuk Baginda SAW sehingga mendapat pujian daripada Aisyah RA sendiri:

“Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pandai menyediakan makanan seperti Safiyah. Beliau sering menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW lalu menghantarnya kepada Baginda.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Tidak ketinggalan, Sayidatina Ummu Salamah RA juga pernah menghantar makanan kepada Rasulullah SAW dan juga untuk para sahabat Baginda.
Rumah Tangga Adalah Tempat Saling Berkhidmat
Rumah tangga bukanlah medan untuk menuding jari atau mencari siapa lebih berhak dalam soal tugas harian. Sebaliknya, ia adalah tempat untuk saling melengkapi, saling memahami dan berusaha bersama-sama demi kesejahteraan keluarga.
Teladan Rasulullah SAW dan para isteri Baginda menjadi bukti, tiada siapa yang terlalu tinggi atau terlalu rendah untuk membantu dan berkhidmat dalam rumah tangga.
Andai para Ummahatul Mukminin sanggup menyediakan makanan dan berbakti kepada keluarga, mengapa tidak kita? Setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas pasti ada ganjarannya di sisi Allah SWT.
Semoga rumah tangga kita semua dilimpahi mawaddah, rahmah dan sakinah, serta mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW dan para isteri Baginda.
Sumber: Sinar Harian
Baca Lagi: Betul Ke Memasak Untuk Suami, Halang Isteri Dari Bahang Api Neraka?
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum Beri Zakat Kepada Orang Tak Solat & Pelaku Maksiat

Hukum beri zakat kepada orang yang tidak solat dan pelaku maksiat. Dalam hal ini ada yang beranggapan bahawa zakat hanya wajar diberikan kepada mereka yang taat dalam beragama, manakala yang melanggar syariat tidak layak menerima bantuan tersebut.
Namun begitu, persoalan ini perlu diteliti berdasarkan panduan syarak dan pandangan ulama yang muktabar. Berikut adalah penjelasan yang dikongsi oleh Ustaz Azhar Idrus.
Sebelum menjawab persoalan ini, terang penceramah bebas ini perlu difahami dulu orang Islam dikategorikan dalam beberapa golongan.
- Islam yang taat menjalankan syariat Islam.
- Orang Islam yang terlibat dengan amalan bid’ah yang boleh membawa kepada kekufuran.
- Orang Islam yang buat maksiat.
- Orang Islam yang buat bidaah yang sifatnya tidak sampai peringkat kekufuran.
Orang Islam yang pertama sememang tidak diragukan lagi boleh diberikan zakat.
Berkata Ibnu Taimiyah: “Sudah mesti setiap orang memperhatikan orang-orang yang berhak mendapat zakat dari kalangan fakir, miskin, orang yang berhutang dan golongan lainnya. Semestinya yang dipilih untuk mendapatkan zakat adalah orang yang berpegang teguh dengan syariat.”
Haram diberikan zakat kepada golongan…
Orang kedua iaitu ahli bidaah yang sampai peringkat menjadi kafir, haram diberikan zakat kepadanya.
Orang ketiga dan keempat iaitu ahli maksiat dan ahli bid’ah yang tidak sampai jadi kafir, maka jika diketahui dengan sangkaan kuat bahawa ia akan menggunakan zakat tersebut untuk maksiat, maka tidak boleh diberikan zakat padanya.
Namun kalau diberikan juga, sah zakat tersebut. Kalau sangkaan kuat bahawa ia tidak menggunakan zakat yang diberikan untuk perkara maksiat, maka harus diberikan kepadanya.
Berkata al-Jurdani dalam kitabnya Fath al-Allam:
وَيَجُوْزُ دَفْعُهَا لِفَاسِقٍ اِلاَّ إِنْ عُلِمَ أَنَّـهُ يُصَرِّفُهَا فِى مَعْصِيِّةٍ فَيَحْرُمُ
Maksudnya: “Boleh diberikan zakat kepada orang yang fasik (orang muslim yang berterusan melakukan maksiat) kecuali apabila diketahui sesungguhnya ia menggunakan zakat tersebut untuk maksiat, maka haram diberikannya.”
Dalam kitab al-Syarqawi ‘Ala al-Tahrir disebutkan:
(قَوْلُهُ وَشُرِطَ آخِذُ الزَّكَاةِ الخ) … وَيُعْلَمُ عَلَى مَا ذُكِرَ أَنَّهُ يَجُوْزُ دَفْعُهَا لِفَاسِقٍ اِلاَّ اِنْ عُلِمَ أَنَّهُ يَسْتَعِيْنُ ِبهَا عَلَى مَعْصِيِّةٍ فَيَحْرُمُ وَاِنْ أَجْزَأَ
Maksudnya: “(Perkataan pengarang, disyaratkan orang yang mengambil zakat….), maka diketahui sesungguhnya boleh diberikan zakat kepada orang yang fasik kecuali apabila diketahui ia mengambil pertolongan dengan harta zakat (yang diberikan itu) untuk perbuatan maksiat, maka haram memberinya, meskipun sah zakatnya.”
Dalam kitab Tarsyih al-Mustafidin disebutkan:
وَيَجُوْزُ دَفْعُهَا لِفَاسِقٍ اِلاَّ اِنْ عُلِمَ أَنـَّهُ يَسْتَعِيْنُ بِهَا عَلَى مَعْصِيِّةٍ فَيَحْرُمُ اِنْ أَجْزَأَ
Maksudnya: “Boleh memberikan zakat kepada orang fasik kecuali apabila diketahui sesungguhnya ia menggunakannya untuk perbuatan maksiat, maka haram hukumnya meskipun (pemberian tersebut) sah.”
Dalam kitab Tanwir al-Qulub disebutkan:
وَأَيْضًا يَحْرُمُ اِذَا عَلِمَ الدَّافِعُ أَنَّ اْلآخِذَ يُصَرِّفُهَا فِى مَعْصِيَّةٍ
Maksudnya: “Demikian juga dihukumkan haram (memberikan zakat pada orang yang meninggalkan solat) apabila orang yang menyerahkan zakat itu mengetahui bahawa orang yang menerima zakat itu menggunakannya untuk kemaksiatan.”
Tidak sah beri zakat secara terus
Bagi orang yang meninggalkan solat atau pelaku maksiat yang tidak menggunakan zakat yang diberikan untuk tujuan maksiat, maka tidak mengapa zakat diberikannya. Namun tidak sah diberikan terus kepadanya, tetapi hendaklah diberikan kepada penjaganya.

Berkata al-Jurdani dalam kitabnya Fath al-Allam:
وَلاَ يَصِحُّ دَفْعُ الزَّكَاةِ لِمَنْ بَلَغَ تَارِكًا لِلصَّلاَةِ اَوْ مُبَذِّرًا لِمَالِهِ بَلْ يَقْبِضُهَالَهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Tidak sah memberikan zakat kepada orang yang sudah baligh (mukallaf) yang meninggalkan solat atau orang yang membazirkan hartanya, akan tetapi walinya yang berhak menerima zakat untuk orang tersebut.”
Perlu diingatkan bahawa apabila seseorang hendak memberikan zakat kepada seseorang miskin misalnya, maka tidak dibebankan kepadanya untuk mencari-cari informasi adakah orang itu melakukan solat lima waktu atau tidak. Sebab, mencari-cari sesuatu yang tidak Allah s.w.t perintahkan merupakan tindakan al-takalluf atau berlebihan yang membawa kepada kepayahan.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus & muftiterengganu.gov.my
Baca lagi: Bayar Zakat Selain Negeri Tempat Bekerja Memang Sah Tapi Hukumnya Haram
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Lapan Aktiviti Yang Dilarang Dalam Perniagaan, Jangan Asal Fikir Keuntungan Semata

Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang mengalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan. Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’. Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.
Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti pernigaan.

Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:
1. Riba.
Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.
Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.
2. Memeras ugut dan mengambil harta dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Megambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan
Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.
Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.
Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.
4. Rasuah
Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan. Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu mendapat projek dan peluang pernigaan yang lebih luas, memudahkan perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.
Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih sayang.
5. Memonopoli barangan (ihtikar)
Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti gula, beras, minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudharatan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.
Dalam satu hadis Rasullah SAW bersabda;
عن معمر أن النبي (ص) قال: ” من احتكر فهو خاطئ” . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. رواه مسلم.
Maksudnya:
Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan
Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.
Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak

Sebagaimana dijelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang dan menegah sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan ketakwaan.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:
عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : « من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها »
Maksudnya:
Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedangia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.
8. Haram menjual najis
Telah berlaku Ijma’ dikalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ianya boleh mendatagkan mudarat dan kerosakkan dimuka bumi.
عن جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ…
Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullahkatanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.
Demikian adalah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti jual-beli atau perniagaan. Sekiranya semua manusia berpegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Sumber kredit: e-muamalat.islam.gov.my
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?


