Sejak tahun 2008 MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah mengeluarkan fatwa bahawa senaman yoga adalah haram buat umat Islam.
Ini kerana senaman yang berasal dari masyarakat Hindu ini bertentangan dengan syariat Islam. Senaman ini menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain. Justeru ia adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.
Namun begitu malangnya masih ramai umat Islam yang tetap mengamalkan senaman yoga ini malah tanpa rasa bersalah berkongsi aktiviti senaman yang dilakukan kepada umum.
Terpanggil untuk menegur isu berkenaan, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkongsi satu hantaran di laman Facebook, susulan pertemuannya dengan Presiden Persatuan Sukan Yoga Malaysia (MYSA), Prof Dr Lingham Pillai.
Menerusi hantaran tersebut, Firdaus berkata Dr Lingham memohon bantuannya untuk menguar-uarkan kepada umat Islam agar tidak terjebak dengan amalan senaman yoga.
“Hampir dua jam beliau berkongsi kebimbangannya dengan kami selain menunjukkan bukti demi bukti yang dibawa bersama.
Ads
“Sesuatu yang diberi highlight dari sesi hampir dua jam adalah kenyataannya ini:
“Saya tahu yoga berasal daripada agama Hindu. Saya sendiri tidak akan mempromosikannya kepada Muslim. Mana-mana guru atau pusat yoga tidak boleh mempromosikannya kepada Muslim.
“Orang Islam tidak sepatutnya menyertai yoga. Saya Hindu, saya tahu yoga adalah dari agama Hindu dan orang Islam sendiri harus menghormati fatwa Jakim yang melarang orang Islam menyertainya,” tulis Firdaus dalam hantaran berkenaan, sebagaimana yang disampaikan oleh Dr Lingham kepadanya.
Ads
Tambah Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Dr Lingham turut meluahkan kekesalan kerana ada segelintir pihak terang-terangan mempromosikan yoga kononnya baik untuk kesihatan jasmani.
“Beberapa guru yoga mempromosikan yoga kepada orang Islam dengan mengatakan yoga membantu mereka untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik!
“Yoga berasal dari agama Hindu bagaimana untuk menjadikan mereka menjadi Muslim yang lebih baik?
Ads
“Saya menjalankan kajian tentang pergerakan solat, cuma suruh orang Islam solat dengan betul kerana dalam gerakan solat Islam itu banyak manfaat kesihatan dalam semua pergerakan. Tolong beritahu orang Islam, jangan menyertai yoga!
“Yoga ini ritual dari agama Hindu! Muslim tak boleh sertai yoga!” ujar Dr Lingam lagi.
Dalam pada itu Firdaus mengakui berasa malu apabila seorang penganut Hindu malah Presiden Sukan Yoga Malaysia perlu datang berjumpa beliau dan meminta agar menasihati Muslim untuk hormat fatwa dan jangan terlibat dengan yoga.
Kebelakangan ini sudah menjadi trend untuk kaum wanita termasuk Muslimah bercuti secara sendirian atau solo. Bukan saja dalam negeri tapi terbang sendirian ke luar negara. Malah mereka ini turut berkongsi di dalam media sosial percutian ini.
Namun begitu menjadi persoalan bolehkah seorang muslimah keluar melancong bersendirian. Bukankah perlu ditemani mahramnya?
Penjelasan dimulakan dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.
Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)
Atau dalam riwayat yang lain:
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
Riwayat al-Bukhari (1763)
Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya[1]. Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.
Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan. Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.
Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram. Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/37-38].
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini.
Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.
Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
Pertama: Haram
Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.
Kedua: Harus
Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklahh ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 2/216-217, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 25/38]
Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:
Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hanbali.
Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat dua pandangan di kalangan ulama:
-Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
-Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.
Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga berkongsi pandangan dan juga pendapat mengenai isu ini. Kata mereka:
يجوز للمرأة أن تسافر بدون مَحرَم بشرط اطمئنانها على الأمان في دينها ونفسها في سفرها وإقامتها وعودتها، وعدم تعرضها لمضايقاتٍ في شخصها أو دِينها.
Maksudnya: Dibenarkan ke atas seseorang wanita untuk bermusafir tanpa mahram namun dengan syarat mestilah aman pada agamanya, pada dirinya dalam permusafirannya, ketika dia di destinasi dan juga dalam kepulangannya, dan tidak menghalangnya atau bertembung dengannya sebarang gangguan terhadap dirinya dan agamanya.
Maksudnya: ‘Adiyy berkata: ” aku melihat seorang wanita mengendarai kenderaan berjalan dari Al Hirah hingga melakukan tawaf di Ka’bah tanpa takut kecuali kepada Allah S.W.T.
Riwayat al-Bukhari (3595)
Maka, daripada hadith ini, ulama’ mengambilnya sebagai salah satu dalil yang mengharuskan permusafiran seorang wanita sekiranya aman. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menambah lagi:
ومما سبق يتبين لنا أن توفر الأمن هو المعول عليه عند الفقهاء في الإقدام على السفر والامتناع منه. والذي عليه الفتوى أن سفر المرأة وحدها عبر وسائل السفر المأمونة وطرقه المأهولة ومنافذه العامرة؛ من موانئ ومطارات ووسائل مواصلات عامَّة، جائز شرعًا ولا حرج عليها فيه؛ سواء أكان سفرًا واجبًا أم مندوبًا أم مباحًا، وأنَّ الأحاديث التي تنهى المرأة عن السفر من غير محرم محمولة على حالة انعدام الأمن، فإذا تَوَفَّرَ الأمن لم يشملها النهي عن السفر أصلًا. والله سبحانه وتعالى أعلم
Maksudnya: Dan berdasarkan keterangan ini, dapatlah difahami bahawa keamanan merupakan ‘illah di sisi fuqaha’ dalam mengharuskan dan juga menghalang permusafiran. Disebabkan itu, kami datangkan ke atasnya satu fatwa bahawa permusafiran wanita secara bersendirian menggunakan apa-apa cara musafir yang aman, laluan yang menjadi tumpuan orang ramai, kawasan yang tidak sunyi, sama ada di pelabuhan, lapangan terbang dan jalan perhubungan awam yang lain, maka ia dibenarkan secara syarak dan tiada kesusahan ke atasnya padanya (untuk bermusafir) sama ada permusafiran yang wajib, sunat atau harus, dan sesungguhnya hadith-hadith yang melarang wanita dari musafir tanpa mahram adalah kerana digantungkan pada keadaan ketiadaan aman, maka sekiranya wujud keamanan tidak terangkum pengharaman ke atas permusafiran secara asalnya.
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:
1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.
2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.
Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya. Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.
Sabda Rasulullah SAW:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةَ.
رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: “Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tiada balasan bagi haji yang mabrur (diterima) melainkan syurga”.
Riwayat al-Bukhariy dan Muslim
Ini antara ganjaran mereka yang menunaikan haji dan umrah yang disebut dalam al-quran. Namun bagaimana pula bagi mereka yang belum ada kesempatan atau rezeki untuk ke Mekah mengerjakan ibadah ini.
Sebenarnya ada banyak amalan yang disebut dalam al-Quran yang ganjarannya sama seperti mengerjakan haji dan umrah. Malah ada beberapa amalan-amalan ini mudah untuk kita praktikan setiap hari.
Memetik penjelasan dari laman web Maktabah Al Bakri berikut adalah antaranya.
Maksudnya: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, kemudian solat sunat dua rakaat, maka baginya pahala haji dan umrah yang sempurna, (pahala haji dan umrah) yang sempurna, (pahala haji dan umrah) yang sempurna.” Hadith riwayat al-Tirmizi (586)
Daripada Abu Darda’ R.A, dia mengadu kepada Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya dengan keuntungan mereka, mereka menunaikan haji dan kami tidak mengerjakan haji, mereka berjihad dan kami tidak berjihad, begitu dan seterusnya.”
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kalian lakukannya, maka kamu telah melakukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang dikerjakan (haji) oleh salah seorang dari mereka (orang-orang kaya)? Selepas solat, kamu bertakbir sebanyak 34 kali, bertabih sebanyak 33 kali, dan bertahmid sebanyak 33 kali.”
Hadith riwayat al-Nasa’ie (9902)
Di dalam hadith di atas, Nabi SAW mengajarkan Abu Darda’ R.A untuk membaca zikir-zikir di bawah setiap kali selesai solat:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci (berwudhu’) untuk menunaikan solat fardhu, maka ganjaran pahalanya seperti ganjaran orang yang melakukan haji dan berihram. Dan sesiapa yang keluar rumah untuk menunaikan solat sunat Dhuha, tiada perkara lain yang menyibukkan dirinya kecuali solat tersebut, maka ganjaran pahalanya seperti ganjaran orang yang melakukan umrah.” Hadith riwayat Abu Dawud (558), dan Ahmad (22304).
Berdasarkan hadith di atas, terdapat dua kelebihan yang disebutkan bagi orang yang keluar rumah dan menuju ke masjid dalam keadaan berwudhu’:
-Jika dia menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu lima waktu, maka baginya pahala seperti mana pahala orang yang mengerjakan haji dan sedang berihram.
-Jika dia menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Dhuha, maka baginya pahala seperti mana pahala orang yang menunaikan umrah.
Banyak lagi hadith lain yang menceritakan amalan kecil dan mudah, tetapi pelakunya akan memperoleh ganjaran yang amat besar seperti mereka yang mengerjakan haji atau umrah. Amalan yang disebutkan di atas amatlah mudah untuk dilakukan dalam sehari-hari kita.
Keluar pergi bekerja untuk menyara keluarga seawal pagi, matahari pun belum terbit lagi dan pulang pula ketika hari sudah pun senja dan ada kala malam.
Bagi yang bekerja menggunakan tenaga memang akan terasa kepenatannya. Namun janganlah merungut kerana kepenatan mencari nafkah ini adalah kepenatan yang disukai Allah dan Rasulullah SAW.
Malah suami yang beroleh rezeki dari pekerjaan ini dan memberikan pula hadiah buat isteri dan anaknya juga turut diberi ganjaran pahala sedekah.
Perkara ini dijelaskan oleh Dr Ahmad Sanusi dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia dalam satu perkongsian beliau mengenai kepenatan yang disukai Allah SWT
Tulis beliau kesungguhan ibu bapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah kepenatan yang disukai oleh Allah dan RasulNya.
Rasulullah pernah bersabda bahawa setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala. Sabda Nabi ﷺ:
وَلَسْتَ تُنْفِقُ نَفَقَةً تَبْتَغِى بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلاَّ أُجِرْتَ بِهَا حَتَّى اللُّقْمَةُ تَجْعَلُهَا فِي فِيّ امْرَأَتِكَ
“Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala).
(HR Muslim).
Bahkan isteri yang bersungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya akan turut diberikan ganjaran yang besar oleh Allah. al-Imam Muslim meriwayatkan satu insiden yang menyayat hati.
Menurut Saidatina Aisyah, seorang ibu telah datang ke rumahnya bersama dengan dgn dua orang anak perempuannya. Ibu tersebut meminta sumbangan daripada Aisyah. Namun, ketika itu tiada apa yang boleh disumbangkan melainkan sebiji tamar lalu diberikan kepada si Ibu tersebut.
Apa yang berlaku dihadapan Aisyah sangat menyentuh hatinya. Si Ibu tersebut membelah tamar tersebut kepada dua bahagian lalu diberikan kepada kedua orang anak perempuan yang bersama dengannya sedangkan dia sendiri tidak mendapat sebarang makanan. Peristiwa ini diberitakan kepada Nabi.
Rasulullah lalu bersabda:
فَقَالَ إنَّ اللَّهَ قَدْ أَوْجَبَ لَهَا بِهَا الْجَنَّةَ أَوْ أَعْتَقَهَا بِهَا مِنْ النَّارِ
“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) Allah akan membebaskannya dari neraka.
(HR Muslim).
Bahkan Rasulullah turut menegaskan bahawa duit yang ibu dan ayah sumbangkan untuk keluarga mereka adalah sebaik-baik nafkah di jalan Allah. Sabda Rasulullah:
أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ
“Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya”
(HR al-Bukhari).
Malah membelikan hadiah buat isteri juga dianggap sebagai perilaku baik seorang suami. Amru ibn Umayyah pernah membeli sepasang kain. Seorang sahabat bertanya, apa yang kamu lakukan kepada kain tersebut. Amru lalu menjawab:
تصدقت به عَلَى سخيلة بنت عبيدة ، وكانت امرأته ، وَقَالَ : سمعت رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يقول فِي الصدقة : ” الصدقة عَلَى الأهل صدقة
“Aku telah hadiahkannya kepada isteriku Sukhailah bint Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah. (HR Abu Ya’la).
Justeru, berusahalah menyara keluarga dan berilah hadiah buat isteri. Sesungguhnya ia adalah perkara yang dipuji Allah dan Rasul.
Lelaki berpakaian seperti wanita menjadi isu hangat di media sosial. Ketahui pandangan Islam, dalil hadis serta kesan normalisasi perbuatan yang ditegah syarak.