Doa ibu boleh tembus ke langit tanpa ada filter. ‘Nak anak berjaya, kena doa dari baby.’ Jadilah rutin sejak anak kecil, doakan yang baik-baik untuk anak agar mereka anak yang hebat dunia dan akhirat.
Mustajabnya doa seorang ibu kerana doanya tiada hijab dan terus tembus ke langit. Seorang ibu perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Ibu tidak boleh berasa lemah atau berputus asa mendoakan yang lebih baik untuk anak.
Nak anak berjaya, mahu anak sentiasa dilindungi, nak anak dapat jodoh yang baik, nak anak rajin solat, kena doa dari anak masih baby.
Doa ibu pula tembus ke langit tanpa ada filter.
Boleh Tembus Ke Langit
8 doa mustajab yang boleh dibacakan oleh ibu kepada anaknya.
Ads
1. Doa untuk mengatasi anak yang nakal.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.’ (Surah Al-Furqan : 74).
2. Doa Anak Rajin Solat
‘Ya Tuhan ku, jadikanlah aku dan anak cucu ku orang yang tetap melaksanakan solat, ya Tuhan kami, perkenanlah doa ku.
(Surah Ibrahim : ayat 40)
Tanpa Ada Filter
3. Doa dapat keturunan yang baik
Ya Tuhan ku, berilah aku keturunan yang baik dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.’
(Surah Ali-Imran: ayat 38)
4. Doa agar dikurniakan anak
“Ya Tuhan ku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik.’
(Al- Anbiya: 89)
5. Doa agar mendapatkan anak yang soleh/solehah.
“Ya Tuhan ku, anugerahkanlah kepada ku (seorang anak) yang termasuk orang yang soleh.’ (As-Saffat : 100)
6. Doa memohon anak dan keturunan yang soleh
“Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah pada ku untuk bersyukur atas nikmat mu yang telah Engkau kurniakan pada ku juga pada orang tua ku. Dan ilhamkanlah pada ku untuk melakukan amal soleh yang Engkau redhai dan perbaikilah keturunan ku. (Al-Ahqaf, Ayat 15)
Ads
Kena Doa Dari Baby
7. Doa anak dilembutkan hati
“Allah Maha Lembut tadbir-Nya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihan-Nya) kepada hamba-hamba-Nya. Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang telah ditetapkan), dan Dialah yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.’ (As-Syura, Ayat 19)
8. Doa agar diberikan rahmat
Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan rahmatilah kami dan Engkau adaah sebaik-baik Pemberi Rahmat. (Al-Mukminun, Ayat 109)
Sehebat mana pun kita menjaga, Allah jualah sebaik-baik penjaga.
Semoga anak-anak kita emua sentiasa dalam jagaan Allah. Amin.
Kashoorga : Berdoalah selagi mampu tanpa rasa jemu.
Tiada latar belakang sekolah agama, jauh sekali alim. ‘Niat utama, hanya nak bantu orang susah uruskan jenazah.’ Kos menguruskan orang meninggal dunia, termasuklah van jenazah bukanlah sedikit kosnya.
Sedar dengan hakikat ini, bekas usahawan treler ini mengambil inisiatif untuk membantu orang susah yang kurang berkemampuan. Niat mulianya telah memberi harapan buat golongan susah.
“Bukan nak cakap besar, saya tidak pernah berdepan pengalaman mistik sepanjang menghantar dan bantu uruskan jenazah, tetapi Jumaat lalu, memang ada rasa lain sikit hingga meremang bulu roma,” kata Pengasas Persatuan Amal Jariah Sabah, Masrul Guding.
Masrul, 33, yang menawarkan khidmat penghantaran dan pengurusan jenazah kepada waris kurang berkemampuan mendapat perhatian di TikTok selepas memuat naik video lampu isyarat van jenazah tiba-tiba menyala 30 minit selepas di parkir di luar rumah.
Menurutnya, itu kali pertama dia berdepan pengalaman sebegitu dan sedar selepas diberitahu jiran.
“Memang kebiasaan saya parkir van jenazah di luar rumah dan akan periksa dulu lampu serta lain-lain sebelum masuk ke dalam rumah.
“Awal pagi Jumaat lalu, jiran hubungi saya beritahu nampak lampu isyarat van menyala, jadi saya pun keluar untuk periksa.
“Ingatkan ada masalah penggera, tetapi tiada apa-apa dan pada waktu itu, saya dah rasa lain macam. Bagaimanapun, saya anggap ‘benda’ itu sekadar nak mengusik.
“Perkongsian di TikTok itu juga sekadar mahu berkongsi pengalaman dan bukan menakutkan sesiapa,” katanya.
Jelas Masrul, dia asalnya seorang usahawan lori treler, namun mula melakukan kerja amal dengan menawarkan khidmat penghantaran dan pengurusan jenazah secara percuma iaitu sebulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Menurutnya, dia tidak berseorangan sebaliknya bersama sepupunya menggerakkan inisiatif berkenaan malah turut membantu menghantar mayat bukan Islam.
“Saya tiada latar belakang belajar di sekolah agama jauh sekali alim orangnya, tetapi ada niat bantu orang dengan cara ini.
“Menyedari ramai orang berdepan kesulitan ketika PKP, maka saya nekad teruskan inisiatif itu.
“Pada awalnya, ada yang persoalkan niat saya, dipulaukan segelintir rakan dan ada juga orang lama cuba takutkan saya dengan cerita seram.
“Bukan setakat itu, saya juga pernah dihalau pemilik kedai makan yang tidak senang melihat saya parkir van jenazah di hadapan premis mereka,” katanya.
Masrul menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian dan bersyukur kerana terpilih serta dibukakan pintu hati untuk melakukan kerja amal itu.
“Persatuan saya terdiri daripada 20 sukarelawan dan awalnya dulu ada sebuah van saja, tetapi kini empat hasil sumbangan individu yang mewakafkannya.
“Syukur kerana perkhidmatan persatuan dapat diteruskan dengan sumbangan orang ramai dan kerja amal itu buatkan saya berasa tak mahu mengejar dunia, mungkin kerana banyak melihat kematian.
“Jika diizinkan, saya akan buat kerja itu sehingga akhir hayat kerana puas walaupun ia tidak menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Berkongsi perancangannya Masrul berkata, dia akan memperluaskan perkhidmatan dengan menawarkan pengangkutan ambulans percuma pula kepada mereka yang memerlukan.
“Sejak setahun lalu, saya cuba bantu individu kurang berkemampuan dengan menanggung kos pengangkutan menaiki ambulans swasta untuk ke hospital.
“Projek saya seterusnya tawarkan sendiri perkhidmatan ambulans milik persatuan.
“Idea itu tercetus selepas mendengar keluhan keluarga kurang berkemampuan mengenai kesulitan dan beban mereka setiap kali ke hospital,” katanya.
Kashoorga: Semoga perancangan Masrul dipermudahkan Allah dan lebih ramai orang susah mendapat bantuan Masrul. Insyallah.
Bercinta, bertunang, bernikah dan dikurniakan bayi yang comel adalah kurniaan rezekiNya. Menimang cahayamata terutamanya merupakan nikmat paling indah. Anak-anak adalah pintu rezeki dan doa anak yang soleh dan solehah akan mengiringi kita ke syurga nanti.
Tatkala ibu selamat melahirkan bayi, perkhabaran baik itu disambut penuh kesyukuran oleh sang ayah, ahli keluarga dan kenalan. Kalau boleh, satu dunia perlu tahu kehadiran si mungil.
Namun dalam kegembiraan tersebut, adab menyambut kelahiran bayi harus diutamakan bagi mendapat redha Allah.
Ayah perlu ambil tahu hal ini. Ikuti perkongsian Ustaz Rahman Iskandar, tentang adab-adab menyambut kelahiran bayi yang ramai ambil mudah.
Orang yang terbaik untuk menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada lelaki Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.
Bilik bersalin adalah tempat si ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa persalinan sebagai sokongan moral.
Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.
Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira
Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:
“Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa).”
Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:
“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”
Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran al-Hasan bin Ali.
Ada yang mengkritik hadis ini kerana statusnya dho’if. Bagaimanapun, Ibn al-Qayyim menggalakkannya kerana biarlah si anak mendengar ucapan yang membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.
Tahnik atau membelah mulut digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi.
Ketika ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis. Hikmahnya ialah untuk menguatkan gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.
Sunnah tahnik adalah berdasarkan sepotong hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dilaporkan Abu Musa r.a. berkata: “Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.”
Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi, iaitu menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran.
Begitu juga sebagai hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.
Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
“Bahawasanya Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah timbangannya dengan perak”.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang seperti ‘punk’.
Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini berdasarkan hadis yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya.
Sementara dalam hadis yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang lain pada hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Berdasarkan hadis riwayat Abu Daud :
“Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith dan Hammam manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”
Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.
Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya.
Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadis nabi, antaranya :
“Orang yang dimurkai Allah di hari kiamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki melainkan Allah.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi).
Majoriti mazhab menggalakkannya (sunat). Sementara mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.
Sunat anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut zahir hadis, memadai anak lelaki itu akikah dengan seekor kambing sahaja. Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh.
Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
Dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan.
Digalakkan melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran atau hingga usia mukallaf. Antara hikmah bersunat ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.
Anak-anak adalah saham kita untuk masa hadapan. Ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang soleh.
Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam surah
al-Furqan ayat 74:
“Tuhanku, kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertakwa.”
Kashoorga: Untuk adab menyambut kelahiran bayi ini, kita utamakan yang wajib dahulu. Perkara yang sunat boleh dilakukan sekiranya mampu dan yang makruh, sebaiknya kita tinggalkan terus. Wallahu’alam
Baru dua bulan bernikah, suami dijemput Ilahi. ‘Niat untuk tinggal bersama tidak kesampaian. Luluh hati isteri ini bila suaminya pergi buat selamanya sebelum sempat dia berpindah untuk tinggal bersama suaminya di Melaka.
Al-Fatihah buat allahyarham dan semoga isterinya terus kuat meneruskan kehidupan mendatang. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Baru dua bulan melayari bahtera perkahwinan, bak kata orang baru merasa betapa manisnya berumahtangga, namun Nurul Huda Azanan, 20, terpaksa berdamai dengan takdir untuk melepaskan suami tersayang yang dijemput Ilahi, bulan lalu.
Suami Nurul Huda, Azizul Husen, 22, yang juga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang di Melaka meninggal dunia pada 10 Disember lalu.
Allahyarham Azizul meninggal dunia dalam tidur di rumahnya di Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kuala Ketil, Kedah.
Kisah pasangan itu mendapat perhatian warganet selepas Nurul Huda berkongsi cerita di TikTok dan pengguna media sosial itu turut mendoakannya sentiasa kuat dan tabah.
Berkongsi cerita, Nurul Huda berkata, dia dan suami bernikah pada 26 Oktober tahun lalu dan mereka tinggal berasingan sementara dia menguruskan beberapa urusan sebelum berpindah ke Melaka.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa suami sebulan sebelum Azizul meninggal dunia ketika pulang ke kampung untuk bercuti, namun mengakui arwah suaminya itu sudah menunjukkan beberapa perubahan.
“Kali terakhir kami berjumpa ketika menghantarnya di stesen bas Sungai Petani untuk pulang ke Melaka. Sebelum naik bas, beberapa kali suami berpatah balik ke arah saya sambil meminta menjaga diri dan tengokkan ibunya jika dia tiada.
“Ketika di kampung dia juga membawa saya meronda di kubur dan selalu memeluk serta mencium ibunya tetapi arwah suami kurang bercakap serta lebih banyak termenung,” katanya yang tinggal di Kuala Ketil, Kedah.
Menurut Nurul Huda, pada hari kejadian dia berbual dengan suaminya di telefon sebelum arwah mengadu pening kepala dan mahu tidur pada jam 1.30 pagi.
“Suami juga ada tanya kenapa darah dia beku dan saya sangka dia bergurau saja dan sangkakan dia pening sebab penat berkerja, tetapi ketika itu suami seperti biasa dan ceria.
“Pada 8 pagi, mak mentua beritahu keadaan suami dan mulanya saya sangka dia hanya pengsan saja. Mak telefon sekali lagi cakap suami sudah tiada,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang.
Katanya, ketika itu dia yang dalam perjalanan ke Melaka terkejut dan tidak percaya dengan berita itu sehingga pihak atasan suaminya memaklumkan Azizul sudah meninggal dunia.
“Kebetulan abang ipar ada di rumah suami (di Melaka) jadi dia yang menyedari keadaan suami sebelum menghubungi mak di Kedah.
“Suami tiada penyakit dan kesihatannya juga baik, malah beberapa hari sebelum itu dia membuat pemeriksaan kesihatan dan semuanya baik,” katanya memberitahu hasil bedah siasat juga mendapati keadaan suaminya baik dan tiada penyakit.
Nurul Huda berkata, dia reda dan menerima takdir suaminya pergi dulu, namun sedih kerana perancangan untuk tinggal bersama di Melaka tidak kesampaian dan menyifatkan arwah Azizul sebagai suami dan anak yang baik, disenangi ramai, suka membantu serta bersedekah.
“Kalau mengikut perancangan saya akan berpindah ke Melaka hujung Disember lalu kerana masih ada beberapa urusan perlu diselesaikan, malah suami sudah beria minta saya pindah cepat.
“Keterujaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri pertama bersama juga lenyap dan sebenarnya sedih kerana peluang berbakti sebagai isteri hanya sekejap saja tapi bagi saya hampir dua bulan ini memang bahagia menjadi isterinya.
“Saya memang sudah bersedia menjadi isteri tentera kerana tugas mereka menuntut masa menjaga negara, tetapi kali ini suami saya ‘pergi’ tidak kembali lagi,” katanya.
Menurutnya, dia turut berterima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama Kem Terendak yang banyak membantu dan memudahkan urusan pengebumian suami dari mula hingga akhir.
Kashoorga : Kehilangan orang tersayang bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditelan, namun sebagai hamba-Nya kita perlu berdamai dengan takdir. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.