‘Dulu bapa angkat, sekarang suami.’ jurang usia 21 tahun bukan penghalang. Begitulah kalau sudah jodoh, tak akan ke mana.
Sudah tertulis, dialah jodoh yang ditakdirkan maka bila tiba masanya berkahwinlah mereka. Jurang atau jarak usia 21 tahun tak menghalang gadis ini menerima suaminya.
Jurang usia 21 tahun bukan halangan untuk Nur Amira Hanim Hazreen Imran menerima Zaini Ramli yang dulu dianggap seperti bapa angkatnya sebagai suami.
Menariknya, Nur Amira Hanim, 25, yang terlebih dulu meluahkan perasaan terhadap Zaini, 46, kerana terpikat dengan keperibadian suaminya itu.
Berkongsi latar belakangnya, jelas Nur Amira Hanim, dia adalah ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun selepas berpisah dengan bekas suami pada 2020.
Sekarang Suami
Manakala, Zaini pula adalah duda anak enam dan hidup solo sejak 2012 sebelum berkahwin dengan Nur Amira Hanim pada 15 Ogos lalu.
“Kami berkenalan tahun lalu di tempat kerja iaitu dekat sebuah ladang kelapa sawit.
“Di situ (ladang), saya bekerja sebagai pengutip biji relai sawit manakala suami pemandu lori dan panggil dia (suami) abah saja kerana usianya lebih kurang sebaya dengan emak serta ayah.
“Kiranya, saya anggap suami macam ayah angkat saja namun lama kelamaan, timbul rasa suka jadi saya mulakan langkah dengan meluahkan perasaan terhadapnya,” katanya.
Menurut Nur Amira Hanim, suaminya terkejut pada awalnya namun tidak menolak ‘lamarannya’ itu.
“Dia soal saya adakah sudah buang tabiat namun saya beritahunya luahan perasaan itu bukan gurauan dan akhirnya dia terima saya.
“Jujurnya, saya sudah tertarik dengan suami ketika pertama kali melihatnya lagi kerana misainya mengingatkan saya kepada pelakon lama, Eman Manan.
Ads
“Lagipun, saya memang suka lelaki berumur 40 tahun ke atas kerana matang dan tidak pernah menutup pintu hati untuk berkahwin lagi selepas berpisah dengan bekas suami,” katanya.
21 Tahun
Tambah Nur Amira Hanim, dia bersyukur kerana niatnya untuk membina masjid tidak mendapat halangan keluarga.
“Selepas berterus terang dengan emak dan ayah, mereka terkejut sebab umur lebih kurang sebaya namun beri restu kerana melihat kesungguhan saya.
“Bagi saya, umur itu angka saja kerana yang penting adalah tanggungjawab suami untuk beri nafkah yang sepatutnya.
“Setakat ini, kami cuba cari keserasian dan syukurlah, suami banyak bertolak ansur.
“Kebetulan, kami berdua pernah gagal dalam perkahwinan sebelum ini jadi cuba belajar daripada pengalaman untuk jadi lebih baik,” katanya.
Bukan Penghalang
Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Nur Amira Hanim tidak menyangka video dimuat naiknya di TikTok akan mendapat tontonan ramai.
“Saya muat naik video itu petang kelmarin dan terkejut apabila ia raih tontonan tinggi dalam masa singkat.
“Kebanyakan komen positif dan terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.
Sementara itu, suaminya tidak menyangka akan berkahwin lagi tetapi menerimanya sebagai ketentuan Ilahi.
“Ingatkan nak menduda saja tetapi ditakdirkan jodoh sampai jadi saya terima saja walaupun pada awalnya anggap isteri macam anak saja.
“Anak saya (hasil perkahwinan terdahulu) semuanya okay, tiada masalah dan saya sukakan isteri kerana dia berani berterus terang serta sanggup terima saya seadanya,” katanya.
Kashoorga : Benarlah usia bukanlah penghalang untuk bahagia, semoga pasangan ini bahagia hingga ke Jannah.
Sudah hidup di zaman moden tapi ternyata pemikiran masih di tahap jahiliyah. Amat malang kejadian sebegini berlaku apatah lagi ia boleh mendatangkan trauma kepada pelajar yang diperiksa.
Sejak semalam, portal Malaysia Kini mendedahkan amalan pemeriksaan tubuh sehingga perlu diraba dari luar seluar dalam di kalangan pelajar asrama selain sekolah harian biasa oleh guru dan warden bagi memastikan pelajar beragama Islam yang mengaku datang haid tidak ponteng solat. Hal ini mendapat respon dari banyak pihak termasuk dari kalangan bekas Menteri, Pakar Obstetrik & Ginekologi serta NGO yang menyifatkan amalan ini memalukan pelajar dan menjatuhkan maruah mereka.
Memetik kenyataan dari Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun.
Wan Salim berkata demikian bagi mengulas tindakan pihak sekolah melakukan "pemeriksaan datang bulan" terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng waktu solat.
Menurut Wan Salim, setiap orang mempunyai maruah diri yang wajib dihormati oleh orang lain, termasuklah hak menutup bahagian-bahagian sulit tubuh mereka daripada dilihat oleh orang lain.
“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya kepada Malaysiakini.
Banyak pihak buat bantahan
Terdahulu, NGO berkaitan hak wanita All Women’s Action Society (Awam), Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Women:girls) dan Sisters In Islam (SIS) dalam kenyataan bersama mengecam tindakan pihak sekolah berasrama yang melakukan pemeriksaan haid terhadap pelajar yang mengakui diri mereka sedang datang haid. Pemeriksaan tersebut melibatkan sentuhan fizikal di bahagian sulit pelajar perempuan bagi membuktikan bahawa pelajar perempuan tersebut benar-benar datang haid dan tidak ponteng sesi waktu solat.
Mengulas lanjut isu tersebut, Wan Salim berkata Islam sememangnya mewajibkan setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia membenarkan kanak-kanak diperlakukan sedemikian rupa.
“Islam juga memerintahkan ibu bapa atau waris kanak-kanak membiasakan mereka menunaikan kewajipan ini sejak kecil lagi.
“Malah ibu bapa dan waris disarankan memukul secara lembut kanak-kanak yang malas menunaikan solat.
“Tetapi ini tidak bererti Islam membenarkan kanak-kanak diperlakukan dengan tindakan-tindakan yang boleh memalukan mereka seperti memeriksa bahagian sulit mereka untuk memastikan sama ada mereka kedatangan haid atau tidak,” katanya.
Perbuatan haram kerana menceroboh kehormatan seseorang
Katanya, perbuatan sedemikian adalah haram menurut hukum Islam kerana dianggap menceroboh kehormatan seseorang.
Malah katanya, terdapat banyak cara untuk memastikan seseorang gadis atau pelajar perempuan itu sedang didatangi haid, seperti bertanya kepada ibu bapa atau rakan mereka.
“Aurat seorang wanita Islam adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan. Setiap wanita Islam yang berakal dan sampai umur baligh adalah diwajibkan menutup aurat masing-masing.
“Tiada siapapun dibenarkan melihat aurat seorang perempuan selain suaminya yang sah,” jelasnya.
Jangan sulitkan keadaan
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Ahmad Shukri Ismail pula melihat perbuatan memeriksa di bahagian sulit kerana untuk mengelakkan pelajar ponteng solat adalah keterlaluan.
“Memadailah dengan pengakuan dari individu terlibat dan tak perlulah sampai nak periksa tuala wanita.
“Dalam Islam tidak ada unsur paksaan dan Islam itu mudah. Jangan kita sulitkan keadaan sehingga membuatkan orang melihat Islam terlalu rijid,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Shukri yang turut sependapat dengan Wan Salim berkata sekiranya ibu bapa telah mendidik anak untuk bercakap benar dan ada rasa tanggungjawab serta mengajar mereka untuk bersolat sudah memadai.
Tambahnya, dia yakin mereka yang berbohong mengenai didatangi haid itu hanyalah segelintir tetapi berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan kerana pihak sekolah boleh mendapatkan kepastian dengan cara lain.
“Mungkin terjadi satu atau dua kes tak perlu diperbesarkan dan melalui rakan mungkin kita boleh dapat kepastian. Dan penguatkuasaan adalah cara terakhir, seeloknya kaunseling dan ulang kaji fadhilat solat dan hukum meninggalkan solat.
“Tindakan pihak berwajib di sekolah perlulah berhemah,” katanya.
Guru raba tubuh
Isu tersebut muncul selepas pengguna di Twitter mendedahkan bahawa terdapat guru-guru wanita meraba tubuh badan mereka untuk melihat sama mereka membawa barangan terlarang ke sekolah seperti memakai barang kemas, membawa telefon bimbit.
Menurut mereka, kadang kala mereka disuruh menanggalkan coli mereka kerana bagi memastikan ia tidak disembunyikan di situ.
Ada di antara mereka yang mendakwa bahawa payudara mereka diraba oleh guru-guru wanita sebagai sebahagian daripada pemeriksaan berikutan aduan daripada rakan mereka kerana memakai “training bra.”
Malah, pelajar juga pernah ditampar kerana mempunyai kuku yang panjang atau enggan untuk terlibat dalam cara pemakaian tudung dan dirotan kerana tidak memakai seluar pendek dalam baju kurung.
Menurut kenyataan gabungan tiga NGO tersebut, selain pemeriksaan haid terdapat pemeriksaan lain seperti memeriksa sama ada pelajar tersebut membawa barangan terlarang ke sekolah, memalukan mereka di khalayak ramai dari segi pemakaian dan hubungan intim dengan seseorang.
Insiden tersebut antara perkara yang dialami oleh pelajar di sekolah di Malaysia sehingga ia mendapat perhatian baru-baru ini.
Kenyataan bersama tersebut turut menggesa supaya Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) meneliti isu itu dengan berkesan.
Katanya ia melanggar autonomi peribadi seseorang serta memalukan melalui alasan hukuman tatatertib tetapi bersekat dengan gangguan dan penyalahgunaan kuasa.
“Kejadian yang dilaporkan itu turut melibatkan guru agama (ustazah dan ustaz) yang mengarahkan pelajar perempuan menyapu tisu atau kapas pada bahagian alat sulit mereka untuk menunjukkan bukti darah atau menanggalkan seluar dalam mereka untuk menunjukkan tuala wanita mereka sebagai bukti bahawa mereka sedang didatangi haid.
“Ini kerana ustazah tersebut menganggap bahawa haid digunakan sebagai alasan untuk mereka meninggalkan solat.
“Guru juga telah dikatakan meraba pakaian dalam dan seluar dalam (pelajar) untuk melakukan pemeriksaan haid,” kata kenyataan itu.
Mengganggu privasi wanita
Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.
"Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid)," kata Dr Harlina kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata dia menentang keras perbuatan memalukan seumpama itu.
"Tindakan meraba-raba anak gadis untuk pastikan sama ada mereka sedang haid atau tidak adalah gangguan seksual, manakala tindakan meminta mereka menunjukkan tuala wanita berdarah sebagai bukti haid adalah satu kesalahan membuli, mengaibkan dan mengganggu emosi gadis-gadis ini," katanya.
Reaksi pertubuhan wanita
Mengulas isu itu, All Women Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN: Girls) menuntut Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu gangguan seksual, perlecehan fizikal dan kecam badan (body shaming).
Katanya, perbuatan itu dilakukan dengan alasan tindakan disiplin terhadap pelajar, namun sebenarnya merupakan gangguan dan salahguna kuasa.
"Pemeriksaaan mengejut datang bulan; Pemeriksaan mengejut secara fizikal untuk 'barang terlarang'; badan, pakaian dan hubungan intim yang memalukan di khalayak ramai; pengantunan kanak-kanak (child grooming); cabul, menampar dan mencubit puting buah dada sebagai hukuman adalah beberapa kejadian pelanggaran yang dialami oleh pelajar di sekolah-sekolah di Malaysia yang mendapat perhatian orang ramai baru-baru ini,"kata kumpulan wanita itu dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menyebut insiden tersebut dilaporkan berlaku di institusi pendidikan – tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah berasrama dan universiti.
"Di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan perbuatan mengganggu kesantunan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, kes-kes ini boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah dan boleh dihukum oleh undang-undang.
"Dengan melakukan tindakan tersebut atau membiarkan tindakan tersebut dilakukan oleh guru / warden / pengetua, pihak berkuasa sekolah di Malaysia mengajar semua pelajar adalah OK untuk mencabul tubuh badan orang lain tanpa persetujuan mereka dan memperlakukan mereka tanpa rasa hormat atau maruah," kata kumpulan itu.
Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching berkata setakat ini tidak jelas sama ada terdapat garis panduan kementerian yang secara khusus menjelaskan mengenai kaedah bagi menentukan sama ada seseorang pelajar perempuan mengalami haid atau sebaliknya.
Malaysiakini juga telah menghubungi Menteri Pendidikan, Radzi Md Jidin untuk mendapatkan respons.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Umum sudah mengetahui pelakon yang terkenal dengan imej seksi Kilafairy sudah berhijab sepenuhnya minggu lalu.
Ternyata perubahan itu sangat menggembirakan kedua ibu bapanya. Malah keduanya juga selama ini tak henti berdoa agar anak kesayangan mereka ini akan berubah.
Dia yang memiliki hampir sejuta pengikut di medium sosial ini hanya memuat naik foto terkini dirinya serta foto lama memaparkan gambar kucing peliharaan serta aktiviti seni terdahulu.
Ramai yang memuji perubahan dilakukan Kilafairy dan mendoakan agar dia terus kekal istiqamah. Dalam artikel di Berita Harian, Kilafairy memberitahu keputusannya untuk bertudung hadir dengan sendirinya dan bukan paksaan sesiapa.
‘Baca dengan tenang, jangan kelam-kabut.’ Bacaan rukuk dan sujud, wajibkah buat tiga kali? Bacaan-bacaan tasbih atau zikir dalam rukuk dan sujud ini merupakan sunnah-sunnah yang bacaannya dituntut dalam solat fardhu lima waktu.
Sekiranya kita tidak melakukannya atau tidak cukup tiga kali, adakah solat kita sah? Ikuti penerangan Ustaz Mohd Riza dan semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.
Ustaz Riza yakin semua di antara kita tahu dan praktis bacaan tasbih dalam sujud dan rukuk setiap kali menunaikan solat fardhu lima waktu. Tetapi permasalahan yang ingin dirungkai kali ini adalah berapa kali perlu dibaca bacaan-bacaan tasbih ini.
Sama ada, sekali, dua kali atau tiga kali atau berapa yang paling tepat. Pertama sekali bacaan tasbih dalam rukuk ini merupakan Sunnah-sunnah qauli dalam solat, yang bacaan ini dituntut.
Tetapi jika seseorang itu tidak melakukannya solat tetap sah menurut pendapat Mazhab Imam Syafie kerana hukumnya sunat dibaca, setiap kali kita menunaikan solat.
Namun begitu, bacaan tasbih ini harus diingat perlu dibaca dengan jelas dan tenang. Persoalannya di sini, mengapa kita digalakkan untuk membaca tiga kali.
Sebenarnya, setiap bacaan tasbih yang dibaca tiga kali adalah bagi menyempurnakan rukun solat iaitu iktidal.
Di samping itu, jelas Ustaz Riza, bacaan-bacaan dalam solat perlu dibaca dengan tenang kerana ketika kita mendirikan solat adalah umpamanya kita berhadapan dengan Allah.
Maka oleh hal demikian, bacalah dengan tenang supaya kita dapat menjiwai solat. Cara terbaik untuk menjiwai solat, Ustaz Riza sarankan ambil sedikit masa google dan cari makna bacaan-bacaan dalam solat.
Ambil masa baca terjemahan bacaan dalam solat, insyallah dengan sedikit usaha ini, sedikit sebanyak membantu kita menjiwai solat.
Sekali lagi ingat bahawa solat adalah saatnya kita berbicara dengan Allah SWT. Di akhir video, Ustaz Riza ingatkan sekali lagi bahawa sama ada baca sekali atau tiga kali bacaan rukuk dan sujud perlulah dilakukan dengan tenang dan jangan kelam kabut.
Kashoorga : Semoga solat kita sempurna dan tidak menjadi perbuatan yang sia-sia.