
Kita pasti pernah melihat perkembangan hidup rakan-rakan atau selebriti setiap kali melayari media sosial. Ada yang sedang bercuti di tempat mewah, membeli kereta baharu, memiliki rumah sendiri atau sudah mendirikan rumah tangga.
Tanpa sedar, paparan seperti ini kadangkala membuatkan seseorang mula membandingkan diri dengan orang lain.
Hati menjadi gelisah, rasa tertinggal dan seolah-olah hidup sendiri masih belum cukup baik. Perasaan inilah yang dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO).
Secara ringkasnya, FOMO adalah perasaan resah (anxiety), bimbang dan tidak senang hati apabila melihat orang lain memiliki sesuatu yang kita belum ada. Dalam dunia hari ini, penggunaan media sosial yang terlalu kerap boleh meningkatkan lagi tekanan ini.
Lebih membimbangkan, sifat FOMO boleh mengganggu fokus seseorang terhadap dunia sebenar dan menjejaskan kesejahteraan hidup.
BACA JUGA: Islam Mengajar Kita Erti Kesederhanaan, Work Life Balance Sangat Penting
Ia boleh menyebabkan pengabaian terhadap tanggungjawab, merenggangkan hubungan dengan keluarga dan sahabat malah mencetuskan perasaan cemas, rendah diri serta kesunyian.
Dalam diam, FOMO sebenarnya sedang merampas kebahagiaan ramai orang dalam kehidupan moden hari ini.
Sebagai Muslim, keadaan ini wajar diberi perhatian kerana ia boleh membawa mudarat kepada jiwa. Lebih-lebih lagi apabila seseorang mula merasa terlalu rendah diri, gelisah secara berlebihan dan akhirnya menjadi toksik terhadap diri sendiri.
Pada masa sama, FOMO juga boleh menyebabkan kita kurang bersyukur terhadap nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT. Hidup kita tidak lagi tertumpu pada usaha memperbaiki diri, sebaliknya terlalu sibuk memerhati kehidupan orang lain.
Hakikatnya, jika kita terus bersaing dalam urusan dunia, membandingkan siapa lebih senang, lebih mewah dan lebih berjaya, perlumbaan itu tidak akan pernah berakhir.
Dunia ini sentiasa menawarkan sesuatu yang baharu dan tiada penghujungnya.
Sebab itulah Islam mengajarkan satu sifat yang menjadi penawar terbaik kepada penyakit hati ini, iaitu qanaah.
Qanaah ialah sifat merasa cukup dengan rezeki yang telah diusahakan dan reda menerima apa yang dimiliki. Sifat ini menjauhkan seseorang daripada rasa tidak puas hati dan perasaan sentiasa tidak cukup. Orang yang yang mengamalkan qanaah percaya bahawa segala yang dimilikinya adalah dengan izin dan ketentuan Allah SWT.
Namun, merasa cukup bukan bermaksud seseorang itu malas berusaha atau tidak mahu berjaya. Sebaliknya, qanaah ialah ketenangan hati yang hadir selepas seseorang berusaha bersungguh-sungguh, lalu menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Kekayaan itu bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.”
Riwayat al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kekayaan sebenar bukan terletak pada banyaknya harta benda. Harta yang melimpah juga belum tentu memberi ketenangan.
Sebaliknya, kekayaan yang sebenar ialah jiwa yang tenang, hati yang bersih dan kehidupan yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT.
Justeru, kita seharusnya bijak menggunakan platform digital agar ia menjadi jalan mendekatkan diri kepada Allah, bukan punca keresahan jiwa. Tukarkan perasaan FOMO kepada qanaah.
Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:
- Digital detox
Hadkan masa menggunakan media sosial. Ingatlah, apa yang dipaparkan di media sosial selalunya hanyalah sebahagian daripada “pertunjukan kehidupan”, bukan keseluruhan realiti kehidupan yang sebenar. - Sentiasa melihat ke bawah dalam urusan dunia
Rasulullah SAW berpesan agar kita melihat kepada mereka yang lebih susah daripada kita supaya hati sentiasa bersyukur.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Lihatlah orang yang di bawahmu dan janganlah melihat orang yang di atasmu.”
Riwayat Muslim
Pesanan ini sangat besar hikmahnya kerana ia mendidik hati agar tidak mudah merungut dengan nikmat yang telah Allah berikan.
- Biasakan diri dengan syukur
Mulakan hari dengan ucapan syukur kepada Allah SWT. Ucapkan Alhamdulillah setiap pagi kerana masih diberi peluang untuk menikmati nikmat kehidupan, kesihatan dan iman.
Apabila qanaah benar-benar diterapkan dalam diri, kita akan merasai perubahan yang besar. Hati menjadi lebih tenang, jiwa lebih damai dan kita tidak lagi mudah membandingkan hidup sendiri dengan orang lain.
Sebaliknya, kita akan lebih fokus untuk memperbaiki kualiti ibadah, memperelok hubungan dengan keluarga dan orang sekeliling, serta membina kehidupan yang lebih bermakna, bukan sekadar mengejar pengiktirafan atau perhatian di media sosial.
Sesungguhnya, bahagia itu bukan apabila kita memiliki segalanya, tetapi apabila kita tidak lagi memerlukan segalanya untuk merasa cukup.
Jika hari ini anda merasa ketinggalan, ingatlah kepada Allah SWT dan mulakan langkah untuk mengamalkan qanaah. Mudah-mudahan hati menjadi lebih tenang dan hidup terasa lebih bermakna.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







