“Ganjaran Pahala Besar Kahwin Dengan Orang Yang Sakit & Berbahagia Diakhirat Kelak” – Ustaz Riza Kamaruddin

Share

Drama Sweet Dreams arahan pengarah Michael Ang lakonan Mira Filzah dan Ben Amir cukup viral dan trending diperkatakan warga net. Ramai yang tidak sabar menunggu episod terakhir drama yang cukup meruntun jiwa anak muda ini.

Semua tertanya-tanya dan membuat andaian bagaimana kesudahan drama ini yang mengetengahkan jalan cerita di mana pasangan kekasih yang sanggup berkahwin dan mahu sehidup semati walaupun tahu salah seorang daripadanya akan meninggal dunia kerana sakit.

Itu adalah drama tetapi dalam dunia realitinya adakah ada pasangan yang sanggup bersusah payah dan bersedia untuk hidup bersama walaupun tahu hayatya tidak lama.

Apakah cinta sejati itu sudah cukup dan mengatasi segala-galanya tanpa memikirkan kehidupan selepas pasangannya kelak telah tiada.

Menjawab persoalan ini, menurut Pendakwah Bebas, Ustaz Riza Kamaruddin memberitahu berkahwin itu sunnah yang utama dilakukan. Dan sekiranya kedua-dua pasangan reda antara satu sama lain, Allah juga akan reda kepada mereka berdua.

“Berkahwin itu sunnah yang utama dilakukan” – Ustaz Riza Kamaruddin

“Kalau dua-duanya sudah reda, maka Allah juga akan reda dengan niat mereka. Malah itu juga merupakan amal soleh yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

“Apabila kedua-duanya ikhlas berkahwin kerana Allah, walaupun pasangannya itu sudah dalam keadaan uzur maka tiada balasan yang paling mahal di sisi Allah melainkan syurga,” ujar Ustaz Riza memberitahu.

Menurutnya lagi menziarahi orang sakit dan orang mati pun ada ganjaran pahala yang besar diberikan oleh Allah.

“Inikan pula yang berhajat mahu mendirikan rumahtangga bersama seseorang yang uzur dengan niat untuk menjaga, merawat dan menemaninya hingga akhir hayat.

“Sudah tentu ganjaran pahala yang juga besar menanti mereka. Berbahagialah mereka di akhirat kelak,” tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM DRAMA SWEET DREAMS

IKLAN