Halalkah Gaji Jika Bekerja Di Syarikat Kosmetik Kerana Ramai Wanita Beli Kosmetik Untuk Bertabarruj?

Share
Soalan

Adakah halal pendapatan saya bekerja dengan syarikat kosmetik yang menjual produk kosmetik. Kerana kebanyakan wanita hari ni beli kosmetik untuk bertabarruj. Jadi saya jadi sedikit was-was dalam hal ini. Terima kasih.

Jawapan

Makna tabarruj, ia adalah perbuatan wanita berhias secara berlebihan dengan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh hingga menarik perhatian lelaki bukan mahram.

Merujuk kepada persoalan ini, dari sudut jualan produk tersebut, jika produk dan proses transaksi jual beli adalah patuh syariah, maka hasil yang diterima adalah halal dan sah.

Adapun niat dan tujuan pembeli tidaklah ditanggung oleh penjual produk, kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruk ke atas diri masing-masing.

Siapa yang melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (al-Isra’: 15)

Tambahan pula, ada kemungkinan yang beli produk tersebut adalah untuk berhias dihadapan suami mereka, ini adalah diharuskan.

Sumber: Mufti Selangor

IKLAN