
Hantu pocong, pontianak, langsuir antara kita kisah seram yang kita dengar sejak dari kecil di dalam kalangan masyarakat kita.
Malah baru-baru ini juga tular tentang kisah seorang wanita yang dikatakan menyewa sebuah rumah bersama dengan pocong. Ada yang percaya, dan tak dinafikan ramai juga yang menolak kewujudan entiti ini.
Namun dalam Islam adakah hantu yang selalu dimomokkan kepada kita ini wujud? Persoalan ini dirungkai oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam siri AL-AFKAR #85 : ADAKAH HANTU-HANTU YANG DIGAMBARKAN MASYARAKAT ITU WUJUD?
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah ini setiap muslim itu wajib beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari Hisab dan lain-lain. Di antara perkara ghaib yang wajib untuk diimani adalah kewujudan jin dan syaitan.
Kewujudan jin dan syaitan disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Di antaranya adalah yang terdapat di dalam kisah Nabi Sulaiman AS. Firman Allah SWT :
وَحُشِرَ لِسُلَيْمَـٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ
Maksudnya : “Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.” (Surah Al-Naml : 17)
Begitu juga Allah menceritakan akan kewujudan syaitan yang sentiasa menjadi musuh nombor satu kepada manusia. Firman Allah :
يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ
Maksudnya : “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)…” (Surah Al-‘Araf : 27)
Walaupun kita tidak dapat melihat mereka dengan mata kasar kita ia bukan bermakna syaitan dan jin tidak wujud. Kewujudan mereka tidak dapat dilihat oleh kita.
Pontianak, pocong dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak wujud
Bagaimanapun gambaran-gambaran hantu yang sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti pontianak, pocong dan lain-lain adalah sesuatu yang tidak wujud.
Ia tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan. Mereka diberikan kelebihan oleh Allah untuk berubah-ubah bentuk dan menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu untuk menakutkan manusia.
Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan. Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah Bin Malik Bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar. (Rujuk Aakam Al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 21)

Hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat kita seperti pontianak, langsuir, pocong dan lain-lain pada hakikatnya adalah penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan untuk menakut-nakutkan manusia.
Ia bukannya berasal dari roh orang mati sepertimana yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat kita. Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib.
Berhentilah mempercayai khurafat atau tahyul yang sering berlegar di dalam masyarakat. Semoga Allah memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI